Friday, September 5, 2014

Insiden tumbuk jurugambar perbuatan tidak wajar - Maslan

JUMAAT, 5 SEPTEMBER 2014 @ 4:40 PM

 
KUALA LUMPUR: Insiden jurugambar sebuah akhbar tempatan cedera ditumbuk ketika membuat liputan pesawat malang MH17 di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi, 2 September lalu adalah tidak wajar, kata Penasihat Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA), Datuk Ahmad Maslan.

"Kita harus hormat satu sama lain walau dalam apa juga keadaan, saya pasti jurugambar bertugas membuat liputan berita tersebut tidak berniat selain membuat kerja mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Lensa Murni 2014 anjuran MPPA di pekarangan Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata pihak media perlu dilindungi dan diberi kerjasama yang baik kerana mereka bertanggungjawab dalam tugas memberi laporan serta gambar kepada sesuatu berita untuk rakyat mengetahui perkembangan semasa.

"Itu satu daripada risiko menjadi jurugambar...saya berharap mereka yang berada di luar sana sama ada individu atau ahli politik perlu faham pihak media hanya menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.



Sementara itu, beliau turut menyokong usaha murni MPPA melalui 'MPPA bikers' yang mengambil inisiatif beramal.

Kembara tiga hari yang bermula hari ini, disertai 25 jurugambar media cetak dan elektronik daripada pelbagai agensi yang akan menunggang motosikal berkuasa tinggi manakala 15 lagi akan menaiki van ke rumah anak yatim Darul Aitam Walmasakin Tunku Abdul Rahman di Alor Star, Kedah.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment