Thursday, October 30, 2014

Jawapan pasukan pendakwa raya sekadar kenyataan politik - Anwar



DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama barisan peguamnya selepas mahkamah ditangguhkan pada hari ketiga bagi mendengar keputusan rayuan terakhir berhubung kes liwat di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan pasukan pendakwa raya mampu menjawab kesemua keterangan dibangkitkan peguam bela dalam rayuan kes liwatnya, namun mendakwa ia sekadar kenyataan politik.
"Saya fikir apa pun boleh dijawab, termasuk cadangan Peguam Negara dan pendakwa raya untuk tambah hukuman, tetapi ini semua (jawapan yang bakal diberi hanya) kenyataan politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman di sini, sebentar tadi.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut mendakwa pasukan peguam bela yang mewakilinya sudah memberikan perincian hujah yang kukuh.
"Saya kira (hujah yang diberikan dibuat) sebaik mungkin yang kita boleh harapkan.
"Saya tidak fikir munasabah untuk mendapat keputusan sebaliknya, iaitu melepaskan saya daripada tuduhan fitnah jahat ini," katanya.
Prosiding rayuan kes liwat ketua pembangkang itu yang berlangsung pagi tadi ditangguhkan pada jam 12.40 tengah hari tadi dan akan disambung semula pagi esok dengan hujah oleh pasukan pendakwa raya diketuai Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

No comments:

Post a Comment