Thursday, October 30, 2014

Prosiding Masuk Hari Ketiga, Giliran Muhammad Shafee Jawab Hujah


Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 8:52 AM
Bangunan Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan bersama lima hakim yang akan memutuskan kes rayuan terakhir berhubung kes Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA: Prosiding rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan Khamis dengan peguam keempat yang mengemukakan hujah, Ramkarpal Singh dijadual menyambung hujahnya pada sesi pagi.

Pendengaran yang masuk hari ketiga ini juga akan menyaksikan  Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan akan menjawab di sebelah petang.

Muhammad Shafee dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada hari pertama pendengaran, peguam utama Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram telah memberikan hujahnya yang panjang lebar.

Ia diikuti oleh peguam kedua, N. Surendran yang meneruskan penghujahannya di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.  

Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop. 

Masuk hari kedua prosiding iaitu pada Selasa, seorang lagi peguam Anwar Sangeet Kaur Deo berhujah mengenai sampel yang diambil daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur susulan laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai dakwaan kejadian itu.

Sementara itu, Ram Karpal pula berhujah dengan terperinci mengenai analisis DNA di mana beliau mempertikaikan integriti sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.

Walaupun sebelum ini dimaklumkan perbicaraan ini akan berjalan selama dua hari dan berakhir Rabu, prosiding rayuan mungkin berlanjutan sehingga Jumaat.

Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penghujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.

Sementara itu, pada Rabu timbul isu apabila sekumpulan peguam mendesak Majlis Peguam menyatakan pendirian berhubung tindakan hakim bersara yang menjadi peguam bela di mahkamah.

Ia ekoran Sri Ram yang muncul di Mahkamah Persekutuan bagi mewakili Anwar dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd Saiful.

No comments:

Post a Comment