Monday, November 24, 2014

Kerajaan Sudan, pemberontak Darfur syor gencatan senjata akhiri konflik

ADDIS ABABA: Kerajaan Sudan dan pemberontak Darfur memulakan perbincangan hari ini susulan pasukan pengaman mendesak gencatan senjata bagi menamatkan peperangan lebih sedekad dengan kumpulan pemberontak memberi amaran negara berkenaan kini di ambang 'keruntuhan'.
Ketua Pengantara Kesatuan Afrika, Thabo Mbeki menggesa gencatan senjata antara kerajaan dan dua puak pemberontak sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas bagi membendung pelbagai pemberontakan di Sudan.
Beberapa tahun sebelum ini, rundingan dibuat menangani konflik di rantau berkenaan yang sudah mengorbankan lebih 300,000 nyawa dan menyebabkan dua juta penduduknya hilang tempat tinggal.
"Tidak boleh ada sesiapa di Sudan yang akan mendapat manfaat daripada konflik ini," kata Mbeki yang juga bekas Presiden Afrika Selatan di ibu pejabat Kesatuan Afrika di Ethiopia hari ini.
"Ini adalah penting bahawa segala-galanya perlu dilakukan untuk menamatkan semua konflik keganasan di seluruh negara bagi memudahkan dialog kebangsaan diadakan," katanya.
Pemberontak yang mengangkat senjata pada 2003 menuduh kerajaan Arab yang didominasi Khartoum melakukan peminggiran.
Pemimpin delegasi kerajaan, Amin Hassan Omer menegaskan, Sudan menzahirkan komitmen yang tinggi bagi mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata itu.
Bagaimanapun, ketua pemberontak melahirkan keraguan terhadap keinginan kerajaan Sudan bagi mencapai keamanan.
Minni Minnawi yang menyelaras gabungan Barisan Revolusi Sudan (SRF) mendakwa kekejaman yang dilakukan Khartoum berada di tahap pembunuhan beramai-ramai dan berkata, Sudan di ambang keruntuhan. - AFP

No comments:

Post a Comment