Monday, November 24, 2014

Subsidi rakyat hapus tapi untung syarikat minyak dijamin, kata PKR

shell malaysia
Pemimpin PKR menyelar Putrajaya kerana menghapuskan subsidi bahan api yang mendedahkan rakyat dengan risiko turun naik harga petrol dan diesel ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider

Pemansuhan subsidi bahan api Putrajaya menyaksikan rakyat bakal berhadapan dengan turun naik harga petrol dan diesel, namun kerajaan masih tetap menjamin keuntungan syarikat minyak, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Putrajaya menjamin sebanyak 30sen setiap liter petrol dan diesel yang dijual syarikat minyak di negara ini apabila menetapkan beberapa pertambahan daripada jumlah harga rujukan yang ditetapkan Means of Platts Singapore (MOPS) melalui Penetapan Harga Automatik.
“Ini termasuk kos dan keuntungan syarikat minyak yang mengendalikan loji penapisan kerana MOPS menentukan harga petrol dan diesel yang siap diproses,” kata Rafizi pada sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Pemimpin PKR itu berkata, kerajaan bertindak menambah “alpha”, atau bayaran pampanan sebanyak 5 sen (petrol) dan 4 sen (diesel) kepada syarikat minyak, ditambah “kos operasi” dan keuntungan syarikat minyak sebanyak 5 sen (petrol) dan 2.25 sen (diesel), serta keuntungan stesen minyak sebanyak 12.19 sen (petrol) dan 7 sen (diesel).
“Ini bermakna, sementara rakyat terpaksa berhadapan dengan risiko turun naik harga petrol dan diesel di pasaran dunia ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia, Barisan Nasional (BN) meneruskan kaedah menjamin keuntungan syarikat minyak melalui formula di atas,” kata Rafizi.
Beliau berkata, subsidi bahan api tidak seharusnya dimansuhkan kerana Putrajaya seharusnya berlaku adil dengan membela kebajikan rakyat dan pada masa yang sama kekal menjamin keuntungan syarikat minyak.
“Sebelum ini, rakyat menerima subsidi yang mengimbangi jaminan keuntungan diberikan kepada syarikat minyak.
“Sebab itu saya terus menegaskan subsidi itu adalah tanggungjawab sosial dan moral yang perlu Putrajaya tanggung kerana sistem sedia ada memunggah kekayaan kepada syarikat besar dan memangsakan rakyat,” katanya.
Rafizi berkata, dengan penghapusan subsidi, rakyat bukan sahaja terpaksa menanggung kos kenaikan petrol dan diesel tetapi juga keuntungan syarikat-syarikat minyak. Baca lanjut diThe Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment