Monday, November 3, 2014

PAS Tutup Mulut Rayuan Gantung 2 Adun


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 6:00 PM
Hasnul Baharuddin (kiri) dan Saari Sungib.

KUALA LUMPUR: Nasib dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS berhubung rayuan terhadap keputusan parti itu menggantung keahlian mereka daripada parti itu tidak akan didedahkan kepada umum.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan untuk merahsiakan hasil mesyuarat majlis itu dibuat bagi menghormati kedua-dua Adun berkenaan.

"Kita akan hantar surat keputusan kepada dua orang yang merayu, lepas itu baru kita beritahu.

"Kandungan surat itu hanya boleh diberitahu dua tiga hari selepas ini, ini sebagai penghormatan kepada mereka berdua," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS di sini, Ahad.

Hasnul dan Saari ketika hadir pada sidang media menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar pada Ogos lalu.
Bagaimanapun Nik Muhammad Zawawi mengesahkan keputusan Majlis Syura Ulama terhadap rayuan Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) dicapai secara sebulat suara.

"Kita semua bersetuju dengan keputusan yang diambil, sebulat suara. Tak ada seorang pun yang bercanggah dengan keputusan itu," katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Jawankuasa PAS pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa serta merta.

Namun pada 27 Oktober lalu, kedua-dua mereka mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.

Saari dan Hasnul sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar ketika Selangor dilanda krisis jawatan tersebut.

Kedua-dua Adun itu kemudiannya dipanggil oleh Jawatankuasa PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah dan membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti.

No comments:

Post a Comment