Wednesday, April 15, 2015

Konservatif di depan



CAMERON berselfie dengan seorang penduduk ketika berkempen di Alnwick, timur laut England, semalam.



London: Parti Konservatif melonjak enam mata mendahului Parti Buruh dalam kempen pilihan raya Britain, seterusnya meletakkan David Cameron dalam kedudukan selesa untuk meraih kemenangan majoriti.

Dengan hanya tinggal tiga minggu lagi sebelum hari pengundian, kaji selidik dilakukan menunjukkan 39 peratus pengundi mengaku memilih Konservatif berbanding 33 peratus untuk Buruh, menurut laporan yang dikeluarkan ICM yang bertanggungjawab menjalankan kaji selidik itu.

Hasil tinjauan mengejut itu diterbitkan semalam selepas Parti Konservatif mengumumkan manifesto pilihan raya termasuk untuk membatalkan cukai warisan bagi rumah keluarga yang bernilai sehingga £1 juta (RM5.4 juta).

Laporan itu pasti mengecewakan ketua Buruh, Ed Miliband yang mengumumkan manifesto partinya semalam, berikutan beberapa tinjauan sebelum ini membayangkan partinya mendahului Konservatif.

Menurut tinjauan ICM untuk akhbar The Guardian, pihak Konservatif melonjak tiga peratus dalam tempoh sebulan lalu manakala Buruh jatuh dua mata.

Parti Liberal Demokrat masih tidak berubah kedudukan lapan peratus manakala Ukip dan Greens masing-masing tujuh.

Tinjauan berasingan oleh bangsawan Dewan Pertuanan dari Parti Konservatif, Lord Ashcroft, menunjukkan parti itu dan Buruh dalam kedudukan seri iaitu 33 peratus, manakala Ukip dan Liberal Demokrat masing-masing 13 serta sembilan mata.

Kempen Konservatif pasti lebih bersemangat dengan hasil tinjauan ICM Guardian itu kerana ia menggambarkan sokongan paling kuat terhadapnya sejak 2012, selain tiga mata lebih tinggi daripada sokongan diterima pada 2010.

Cameron berulang kali menyatakan keyakinan Konservatif mampu mendapat kemenangan majoriti pada pilihan raya 7 Mei ini.

Dia memerlukan 23 kerusi lagi untuk menjadikan jumlah kerusi yang dikuasai partinya kepada 326, jumlah majoriti di Parlimen.

Cameron menganggap pilihan raya itu sekadar pilihan antara dirinya dengan Miliband dan hasil tinjauan diumumkan semalam jelas menunjukkan rakyat berpuas hati dengan prestasinya sebagai Perdana Menteri.


No comments:

Post a Comment