Mail Online melaporkan, robot itu merakamkan gambar-gambar kemusnahan tersebut ketika melakukan pemeriksaan ke atas cecair minyak di dalam salah satu daripada enam reaktor nuklear terbabit.
Robot tersebut berjaya berada di dalam reaktor yang terjejas akibat tsunami itu yang meragut lebih 16,000 nyawa, selama tiga jam.
Robot yang dibina oleh Hitachi-GE Nuclear Energy dan Institut Penyelidikan Antarabangsa untuk Penyahtauliahan Nuklear, sepatutnya mampu melaksanakan misi selama 10 jam di dalam reaktor yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia.
Namun, jangka masa misi itu terpaksa dipendekkan selepas salah satu daripada komponen robot itu gagal berfungsi dengan baik.
Misi kedua yang di jadual berlangsung, semalam turut dibatalkan bagi membolehkan jurutera meneliti masalah yang dihadapi.
Syarikat Tokyo Electric Power yang bertanggungjawab mengendalikan reaktor nuklear Fukushima berkata, robot berkenaan hanya berjaya melaksanakan dua pertiga daripada misi yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun, kami mendapat maklumat yang cukup bagi membolehkan robot dihantar lebih jauh ke dalam reaktor pada masa akan datang,” jelas Syarikat Tokyo Electric Power dalam satu kenyataan.