KUALA LUMPUR - Sambutan luar biasa diterima Parti Pekerja Malaysia apabila 35,000 borang keahlian yang dicetak habis dalam masa tiga hari selepas parti itu dilancarkan semula.

Setiausahanya, Anuar Tahir berkata, ketika ini mereka sedang melakukan cetakan borang baru untuk diedar ke beberapa negeri lagi termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan luar biasa, kami juga terkejut kerana baru sahaja pelancaran rasmi dibuat sudah ramai yang berminat.

"Kita dalam proses mencetak borang keahlian baru dan dijangka dalam tempoh sebulan ini kita boleh capai 50,000 keahlian," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya adakah 35,000 borang itu sudah diisi dan diserahkan semula kepada pihak parti.

Beliau berkata, sebahagian besarnya sudah dikembalikan kepada parti bagaimana masih belum mendapat angka rasmi.

Menurut Anuar, pada 16 September depan Parti Pekerja Malaysia akan bertukar nama kepada Parti Amanah Negara.

"Kita sudah mengemaskini proses perundangan bagi penukaran nama parti. Setakat ini itulah nama yang diputuskan (Parti Amanah Negara)," katanya.

Tambah beliau lagi, keahlian yang diterima kebanyakan adalah bekas ahli Pas dan daripada Dewan Himpunan Penyokong  Pas.

"Majoriti yang masuk parti kita ada Melayu,  kedua India dan sebilangan kecil sahaja Cina. Walaupun membawa wadah Islam namun kita terbuka pada semua kaum," katanya
.