Thursday, September 3, 2015

Lima individu terbabit rusuhan diburu


ALOR SETAR: Pihak polis sedang memburu lima individu berumur antara 22 hingga 28 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan antara dua kumpulan kongsi gelap di Taman Bandar Baru dan Taman Kelisa Emas, Bedong dekat Sungai Petani pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, setakat ini 14 lelaki dari dua kumpulan kongsi gelap telah ditahan.

Beliau berkata, rusuhan itu bermula Isnin lalu kira-kira 10.30 malam dan berlanjutan hingga keesokan hari ini dengan melibatkan lebih 20 individu di tiga lokasi berbeza di sekitar Bedong.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang melibatkan kedua-dua kumpulan di kuil Hindu ketika upacara keagamaan sedang berlangsung.

"Ia berjaya dileraikan oleh polis. Namun pada 10.30 malam Isnin lalu, 15 lelaki kongsi gelap pertama yang bersenjatakan parang telah menyerang kumpulan kongsi gelap kedua di Taman Bandar Baru sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera parah pada tangan dan bahu kiri akibat ditetak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nashir berkata, mangsa yang berusia sekitar 20-an kini mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Beliau berkata, sekumpulan lelaki kongsi gelap kedua kemudiannya melakukan serangan balas dengan membakar 11 buah motosikal milik kumpulan pertama di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pertama.

Katanya, pada 12 tengah malam Selasa, 12 lelaki dari kumpulan kongsi gelap pertama menyerang pula rumah seorang anggota kongsi gelap kedua dan memecahkan gril rumah, mengelar leher anjing, merosakkan motosikal dan cuba menyerang anggota keluarganya.

"Kita merampas tiga bilah parang, sebilah pedang samurai, sebilah pisau rambo dan dua batang kayu snuker," katanya.

Mohd Nashir berkata lapan daripada individu yang ditahan itu direman sehingga 6 Sept ini manakala enam yang lain direman hingga 7 September.

Katanya, terdapat suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau bagi kes pecah rumah dan ordinan darurat.

Beliau berkata, kes turut disiasat kerana merusuh, mendatangkan kecederaan, mendatangkan bencana dengan api dan samun bersenjata. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 5:02 PM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74761#sthash.AcM3uAet.dpuf

No comments:

Post a Comment