Tuesday, October 28, 2014

Kes saman Presiden: Semoga Allah permudah urusan


HARAKAHDAILY | .
Salahuddin, Suhaizan, Dr Syed Azman dan Abang Ahmad Kerdee menunggu penerbangan ke Kuala Terengganu, pagi ini.
KUALA LUMPUR: Para pengunjung facebook Pemuda PAS Malaysia, pagi ini berharap semoga Allah memudahkan segala urusan berhubung kes saman terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini.

Amri Bakar mengharapkan yang terbaik kepada Tuan Guru Abdul Hadi, mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan dan dibebaskan dari belenggu khianat.

Abu Fayyadh pula mengharapkan agar kemenangan diberikan kepada pihak Tuan Guru Abdul Hadi, semoga sinar kebenaran kembali bersinar cemerlang.

"Alhamdulillah, mudahan dipermudahkanNya urusan perjalanan tuan-tuan semua ke Terengganu. Insya'allah, Amin ya Rabb'," tulis Muhammad Izzuddin Mohd Tahir sebagai respons kepada foto di atas yang dimuatkan dalam facebook Pemuda PAS Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat yang turut hadir bersama-sama di UM malam tadi.

"Tabarakallah..Terus Membangun Bersama Islam," tulisnya. -HARAKAHDAILY 28/10/2014

Statistik terkini jumlah permohonan kes murtad


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan apakah statistik terkini jumlah permohonan kes murtad bagi penganut agama Islam dan apakah langkah penyelesaian yang sudah diambil untuk menanganinya.  

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan demikian dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang turut disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah Kerajaan bercadang membuka pejabat Konsulat General Malaysia di Istanbul memandangkan pentingnya kota itu untuk rakyat dan negara kita.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan berapakah kadar pungutan yang diperoleh oleh PLUS daripada cukai 3% kepada peniaga mengikut setiap R&R PLUS di seluruh negara.  

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan:-  
(a) statistik terkini penjawat awam Persekutuan serta pengambilan penjawat awam secara lantikan tetap dari tahun 2010 hingga 2014 dan adakah Kerajaan bercadang mewujudkan proses pengambilan dalam pengisian oleh penjawat awam sedia ada yang berpengalaman dan berkelayakan untuk mengisi jawatan lebih tinggi yang dibuka pada orang awam; dan
(b) jumlah penjawat awam mengikut gred yang akan bersara wajib pada usia 60 tahun berkuat kuasa tahun 2014 dan jumlah mereka yang disambung perkhidmatan secara kontrak.

Ustaz Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan sasaran yang telah dicapai oleh Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) untuk melahirkan usahawan belia dalam industri padi negara.  

Dr Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatanmenyatakan sejauh manakah sambutan sektor industri terhadap Konsep Ekologi Perindustrian yang bakal diwujudkan di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).  

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan peranan yang dimainkan oleh “Malaysian Green Technology Corporation (MGTC)” dalam mempromosikan Teknologi Hijau di negara ini. Sejauh manakah pencapaian MGTC berbanding objektif awal yang disasarkan. - HARAKAHDAILY 28/10/2014

Hasan Ali nafi terima tajaan UMNO, BN, KBS untuk ceramahnya

KUALA LUMPUR: Presiden Jalur Tiga Malaysia (JATI), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menafikan dakwaan kononnya beliau menerima tajaan atau sumbangan daripada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam setiap siri ceramahnya.
Beliau membuat penafian itu dalam perbicaraan kes samannya terhadap Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar di Mahkamah Tinggi di sini berhubung satu kenyataan bahawa Hassan menerima bantuan kerajaan.
Hasan berkata, setiap siri ceramahnya dibiayai wang poketnya dan sumbangan daripada masyarakat.
"Saya ingin katakan perkataan yang dikatakan oleh defendan (Mahfuz) dalam sidang media bertarikh 2 Mac 2012, di Ibu Pejabat PAS berhubung ceramah ditaja oleh KBS adalah palsu dan tidak benar sama sekali," katanya ketika disoal peguamnya Hasnal Rezua Merican.
Bekas Naib Presiden PAS itu turut memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan oleh Mahfuz itu bersifat fitnah serta menjejas reputasinya.
Hasan berkata, kenyataan Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu menunjukkan plaintif seorang yang tidak jujur, bersifat hipokrit serta tidak layak untuk menjawat jawatan politik atau pertubuhan kemasyarakatan.
"Kandungan kata yang serius dan tohmahan itu telah menjejaskan usaha saya untuk melaksanakan kewajipan serta amanah yang diletakkan ke atas saya," katanya.
Hasan berkata, perkataan Mahfuz itu juga adalah fitnah kerana Mahfuz menyatakan bahawa plaintif merelakan dirinya diperguna sebagai perkakas dan alat untuk mencapai agenda politik UMNO dan BN.
Pada 12 April 2012, Hasan memfailkan saman itu atas dakwaan Mahfuz itu yang kemudiannya diterbitkan di beberapa akhbar serta laman portal.
Hasan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan injunksi menghalang Mahfuz mengulangi kata-kata fitnah berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin bersambung esok.
- BERNAMA

Liwat 2: Istana Kehakiman Mula Jadi Tumpuan


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 7:59 AM
Skuad AMK) merupakan kumpulan penyokong yang tiba paling awal iaitu kira-kira pukul 7.30 pagi.

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir  Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan, bermula Selasa.

Hari pertama pendengaran, mahkamah tertinggi negara di Putrajaya mula dipenuhi wartawan dan jurugambar dari dalam dan luar negara yang mula berkumpul seawal pukul 6 pagi.

Difahamkan, wartawan hanya dibenarkan masuk untuk mengikuti pendengaran pada pukul 8.30 pagi.
Sekumpulan wartawan yang mengikuti kes pendengaran kes Anwar menunggu di luar mahkamah.


Pasukan keselamatan ditempatkan di sekitar bangunan Istana Kehakiman untuk mengawal keadaan sekiranya berlaku insiden yang tak diingini selain penghadang  besi turut diletakkan di bahagian hadapan bangunan.

Pendengaran terakhir ini sudah tentunya tidak dapat lari daripada kehadiran anggota parti dan penyokong-penyokong Anwar.

Skuad Timbalan Setia Angkatan Muda Keadilan (AMK) merupakan kumpulan penyokong yang tiba paling awal iaitu kira-kira pukul 7.30 pagi.

Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin  yang memimpin kumpulan ini berkata kumpulan yang terdiri daripada 200 anggota ini hadir dengan tujuan membantu pihak berkuasa memantau dan membuat kawalan khususnya terhadap pimpinan parti dan penyokong.

Sebaik tiba, kumpulan ini membacakan doa sebelum diberikan taklimat oleh ketua mereka.Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Ini merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar.

Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.

Anwar Dakwa Ceramah Di Subang Jaya Ucapan Terakhir


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 12:40 AM

SUBANG JAYA: "Jika ini adalah ucapan terakhir saya, ingatlah pesan saya untuk memperjuangkan hak anda (rakyat)," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas memberi gambaran bahawa ceramahnya pada lewat malam Isnin merupakan ucapan terakhirnya sekiranya disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat dan dipenjarakan.
Ketua pembangkang itu mengingatkan kira-kira 1,000 penyokong Pakatan Rakyat yang hadir dalam ceramahnya supaya terus memperjuangkan hak bagi membela nasib mereka di samping melakukan perubahan lebih baik.
"Lawan memanglah lawan tapi kalaulah saya ditakdirkan kena masuk (penjara), ingatlah pesan saya. Perjuangkanlah hak, ini yang saya minta," katanya pada Himpunan Solidariti di Stadium Mini 3K, MPSJ di sini, lewat malam Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat supaya memperkuatkan Pakatan Rakyat.
"Perkuatlah PKR, DAP, PAS dan perkuatkan Pakatan Rakyat. Kerjasama dalam Pakatan Rakyat amat perlu," katanya.
Anwar turut berkata bahawa beliau juga memperjuangkan hak walaupun usahanya itu bukan mudah.
"Saya berjuang, saya lawan tapi bukannya mudah. Inilah perjuangan kecil saya," katanya.
Pada Selasa dan Rabu ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung kes liwat keduanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Undang-Undang Cegah Hasutan Perlu Dikekalkan - TPM


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 12:33 AM

MELAKA: Undang-undang bagi mencegah perbuatan menghasut seperti Akta Hasutan 1948 penting untuk dikekalkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuat kenyataan sehingga mengguris perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sekiranya akta itu perlu dipinda, pindaan yang dibuat mesti memperkukuhkan lagi peranan akta itu dalam melindungi perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan dan membendung perbuatan menghasut daripada berleluasa.
"Saya menyambut baik pandangan banyak pihak termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mahukan akta ini diperkemaskan lagi dengan memasukkan peruntukan mengenai agama Islam di dalamnya supaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak mudah dipersoalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-15 bertemakan Wasatiyyah Asas Perpaduan Ummah di sini, Isnin malam.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Presiden DMDI Tan Sri Mohd Ali Rustam.
Muhyiddin berkata akta itu juga perlu melindungi agama-agama lain daripada dihina atau dicemuh oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata pengalaman kerajaan mengurus hubungan kaum di Malaysia selama ini menunjukkan kewujudan peruntukan undang-undang komprehensif dalam membendung perbuatan menghasut adalah penting untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan masyarakat negara ini.
"Undang-undang seperti ini adalah satu bentuk mekanisme kawalan yang digunakan sebagai pilihan terakhir apabila terdapat pihak yang membelakangi semangat kompromi dan toleransi antara kaum, yang merupakan asas persefahaman dan perpaduan di negara kita," katanya.
Malah, katanya negara majmuk lain seperti Singapura turut mempunyai undang-undang yang sama dan mereka tidak bercadang memansuhkannya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata pandangan sesetengah pihak bahawa kewujudan undang-undang itu akan menghakis hak kebebasan bersuara, adalah tidak tepat.
"Kita seharusnya bijak dalam meletakkan garis perbezaan antara kebebasan bersuara dan kenyataan yang boleh ditafsir sebagai menghasut.
"Kebebasan bersuara dalam sebuah masyarakat bertamadun seharusnya digunakan untuk mengajak rakyat supaya terus bersatu padu dan hidup dalam suasana yang harmonis, bukan mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan masyarakat pelbagai kaum sehingga menyebabkan perbalahan dan perpecahan," katanya.
Muhyiddin berkata prinsip wasatiyyah yang mementingkan keadilan dan keseimbangan dalam hubungan sesama manusia merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Menurutnya penerimaan terhadap kepelbagaian hanya dapat direalisasikan sekiranya masyarakat dapat menghindari sikap yang melampau sama ada dalam amalan agama atau sentimen kaum.
"Malaysia telah mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam mengekalkan keharmonian negara sejak sekian lama dengan kesediaan masyarakat untuk bertoleransi dan berkompromi dalam perkara-perkara yang menyentuh tentang kepentingan kaum dan agama.
"Namun, beberapa perkembangan mutakhir yang berlaku di negara kita khususnya yang berkait dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, memerlukan masyarakat di negara kita kembali menghargai dan menghayati semangat toleransi yang wujud sejak sekian lama," kata beliau.

Pakatan Adakan Mesyuarat Tergempar Jika Anwar Dipenjara


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 6:50 PM

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang akan mengadakan mesyuarat tergempar Rabu ini jika pemimpin utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah dan dipenjarakan.

Mesyuarat khas itu dilihat bertujuan untuk membincangkan mengenai masa depan kerjasama politik Pakatan Rakyat tanpa Anwar.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hingga kini pimpinan Pakatan Rakyat sudah bersiap sedia untuk berhadapan apa jua situasi khususnya jika dipenjarakan.

“Kami akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada hari tersebut (Rabu). Sekiranya apa yang kita tidak ingini berlaku, maka MPT Pakatan Rakyat akan mengadakan satu mesyuarat tergempar di kalangan pemimpin tertinggi sekiranya Datuk Seri Anwar disumbatkan ke penjara.

"Ini menunjukkan ketegasan dan keutuhan pimpinan tinggi Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas meyuarat MPT Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen pada Isnin.

Mengulas lanjut, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang membayangkan bahawa Pakatan Rakyat akan terus bersama walaupun tanpa Anwar.

Mengambil semangat pasukan gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United, Guan Eng menegaskan bahawa pakatan pembangkang akan berjuang menuntut keadilan terhadap Anwar hingga ke saat akhir.

"Kita akan sokong sehingga ke hujung dan kami sudah menyerap semangat Manchester United (MU).

"Saya adalah peminat MU dan sentiasa ingat semangat kumpulan MU di bawah pimpinan Alex Ferguson yang mana akan berlawan sehingga minit akhir," katanya.

Peserta Program 40 Tahun Dari Universiti Malaya Ke Penjara rempuh masuk

KUALA LUMPUR: Program '40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara' di UM malam ini dicemari dengan tindakan peserta merempuh pagar utama universiti berkenaan.
Kejadian itu berlaku pada jam 9.20 malam, kira-kira 15 minit sebelum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di universiti terbabit.
Tindakan merempuh pagar itu dilakukan selepas seorang jurucakap program berkenaan memberi tempoh tiga minit kepada pengawal keselamatan supaya membuka pagar.
Namun, permintaan jurucakap itu tidak dipenuhi anggota keselamatan, memaksa mereka membuat provokasi dan bertindak kasar.
Terdahulu, beberapa wakil penganjur dilihat mengadakan rundingan dengan pihak keselamatan universiti terbabit, meminta peserta yang berada di dalam pagar universiti, dibenarkan keluar.
Pihak keselamatan UM kemudian memberi kelonggaran itu, namun peserta tetap mahu memasuki universiti berkenaan untuk menuju ke Dewan Tuanku Canselor (DTC).
Program '40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara' yang tidak mendapat kebenaran universiti berkenaan dianjurkan Persatuan Mahasiswa UM.
Beberapa pemimpin pembangkang turut hadir antaranya Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Samsul Iskandar Mohd Akin dan Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul serta pemimpin PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin.

Penyokong Anwar mula berkumpul di masjid sekitar Putrajaya


Penyokong mula bergerak dan berkumpul di hadapan istana kehakiman. - Foto NSTP
Putrajaya: Lebih 100 penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula berkumpul di perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini, bermula jam 7 pagi.
Sebahagian besar daripada mereka datang menaiki bas dan dipercayai tiba sejak malam tadi dan awal pagi ini.
Segelintir daripada penyokong turut kelihatan membawa peralatan untuk mandi di masjid berkenaan.
Sekumpulan penyokong sudah mula berarak ke Istana Kehakiman dengan membawa sepanduk dan kain rentang menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Kumpulan penyokong sedikit demi sedikit mula bergerak menuju ke Istana Kehakiman, antaranya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Anwar masih menaruh harapan dibebaskan

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih menaruh harapan untuk dibebaskan dalam rayuan kes liwatnya yang akan didengar semula di Mahkamah Persekutuan, esok.
Ketua umum PKR itu ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 pelajar di pekarangan Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaya (UM) sebentar tadi turut menyatakan sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuk dipenjarakan jika rayuannya ditolak.
"Saya masih berharap hakim (Mahkamah Persekutuan) membuat keputusan berlandaskan undang-undang. Jika saya dipenjarakan, saya harus menerima dengan tenang.
"Saya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keputusan tidak menyebelahi saya.
"Saya sudah beritahu (Datin Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan Nurul Izzah (Anwar) serta adik-adiknya supaya bersabar dan perlu ada sedikit pengorbanan," katanya yang berucap kira-kira 23 minit, di sini.
Anwar sebelum itu diarak masuk menuju ke DTC menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama Wan Azizah serta Izzah.
Ketika menyampaikan ucapannya juga, Anwar menjelaskan beliau lebih memilih untuk pulang ke negara ini ketika berkunjung ke London baru-baru ini bagi berdepan rayuan kes liwatnya, biarpun ada pihak meminta untuknya tidak berbuat demikian.
Anwar hadir di UM malam ini bagi memenuhi jemputan Persatuan Mahasiswa UM dalam program '40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara'
Terdahulu, sebelum perarakan masuk Anwar ke universiti berkenaan, situasi tegang di hadapan pintu masuk UM apabila sebahagian peserta bertindak ganas merempuh pagar universiti yang berkunci.

Syed Azmi wajib bertaubat nasuha


Ipoh: Bukan sekadar permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak kerana menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini, malah penganjur program ‘I Want To Touch A Dog’ wajib bertaubat.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, permohonan maaf yang dibuat dalam sidang media ringkas Sabtu lalu dalam keadaan wajah tersenyum tanpa reaksi kekesalan serta tidak mahu melayan sebarang pertanyaan wartawan, seolah-olah menunjukkan ia hanya satu bentuk permainan penganjur.

“Ia seolah-olah ‘melepaskan batuk di tangga’, dia penganjur tidak perlu minta maaf, tetapi yang perlu dia bertaubat kepada Allah sebab sudah melanggar hukum Tuhan.

“Kita tersinggung kerana kita beragama Islam, tetapi Tuhan murka kerana dia melakukan penghinaan terhadap hukum Allah, wajib dia bertaubat,” katanya selepas menyampaikan ucap utama pada Seminar Kebangsaan al-Quran dan Negara Toyyibah anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta Majlis Muafakat Pertubuhan Bukan Kerajaan (MAMPAN) di sini semalam.

Sabtu lalu, penganjur program itu, Syed Azmi Alhabshi ditemani peguamnya, Syahredzan Johan, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak di atas penganjuran program itu yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:16 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4650#sthash.CJTZbcJ0.dpuf

Pagar UM roboh

Fardy Bungga dan Mohd Rizal Abdullah 

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pintu pagar utama Universiti Malaya (UM) di sini roboh apabila mahasiswa dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) merempuh pagar itu bagi membolehkan pidato Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di dalam kawasan universiti, malam tadi.
Walaupun pagar itu dikunci dan dirantai pihak keselamatan universiti namun lebih 500 penuntut universiti dan penyokong PKR menolak pagar itu sebelum berarak ke Dewan Tunku Canselor.
Keadaan agak tegang apabila ada antara penyokong dan penuntut UM melaung jeritan provokasi hingga hampir mencetuskan pertengkaran dengan pihak keselamatan UM.
Anwar ditemani isteri yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar tiba dengan menaiki sebuah pacuan empat roda pada jam 9.40 malam.
Turut kelihatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sean, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang Chua Yee Ling, ADUN Rawang Gan Pei Nie, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin, aktivis siswa Safwan Anang dan pensyarah Dr Azmi Sharom.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:14 AM


PESERTA perhimpunan merempuh pintu masuk ke UM, malam tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4632#sthash.U6g7p2km.dpuf

Polis trafik guna Google Glass

Dubai: Polis trafik mula menggunakan peranti Google Glass untuk mengawasi pelaku kesalahan jalan raya di setiap laluan seluruh negara.
Ketua Pengarah Polis Trafik Dubai Saif al-Mazrouie berkata, peranti itu digunakan untuk kali pertama di rantau itu.
“Ia membolehkan anggota polis merakam pesalah trafik dengan kamera di tepi alat berkenaan.
“Imej itu kemudian dihantar ke Ibu Pejabat Polis Dubai menggunakan sistem khas,” katanya.
Google Glass juga boleh mengenal pasti kenderaan dikehendaki polis
Kata Saif, polis hanya perlu melihat ke arah nombor kenderaan terbabit dan secara automatik Google Glass akan mengimbasnya dan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ia mempunyai rekod kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:03 AM


GOOGLE Glass akan mengenal pasti kenderaan dikehendaki di jalan raya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4533#sthash.RCU3AkEB.dpuf

Bencana banjir mula melanda



MAHADZIR (tiga dari kiri) menghulurkan bantuan beras kepada seorang mangsa banjir di Kampung Charuk Pelanduk, Sik semalam.


SIK – Banjir mula melanda negeri Kedah apabila kira-kira 200 rumah di lapan buah kampung di sini semalam dinaiki air limpahan Sungai Jeniang yang berlaku selepas hujan lebat lebih enam jam bermula petang kelmarin.
Kampung yang dinaiki air mulai pukul 8 pagi semalam itu ialah Kampung Charuk Pelanduk, Tanjung Setar, Kemelong, Kuala Begia, Sungai Semiar, Charuk Padang, Tanjung Besar dan Kuala Teloi.
Bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga lewat petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, kebanyakan penduduk tidak boleh membawa keluar kenderaan kerana jalan masuk ke kampung digenangi air sehingga mencecah paras lutut.
“Briged Sukarelawan 1Malaysia daerah Sik juga diarah bersiap sedia bagi membantu mangsa banjir jika keadaan semakin buruk malam ini,” katanya ketika ditemui semasa melawat lokasi kejadian semalam.
Sementara itu, di Sintok, dua pelajar Universiti Utara Malaysia terperangkap di dalam kereta selepas Jalan Sintok-Bukit Kachi dinaiki air secara tiba-tiba akibat limpahan air Sungai Bukit Kachi kelmarin.
Ketika kejadian pukul 11.40 malam itu, Mohd. Saiful Afendi Azlan, 25, dan rakannya, Siti Nor Aishah Mohd. Zain, 24, dalam perjalanan ke kolej kediaman di Bukit Kachi.
Turut terperangkap ialah seorang penunggang motosikal, Nor Zaimi Ibrahim, 39, yang terpaksa berpaut pada tiang elektrik kerana arus deras.
Kesemua mereka berjaya di–selamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Di Kelantan, banjir yang melanda Rantau Panjang kelmarin didapati semakin pulih apabila paras air Sungai Golok mula surut semalam.
Bacaan paras air Sungai Golok setakat pukul 7 malam semalam turun kepada 7.95 meter berbanding 8.61 meter kelmarin.
Beberapa buah kampung seperti Kampung Lanchang, Bukit Lata, Putat Tujuh, Jeram Perdah, Bongor dan Jejawi yang terlibat banjir sudah mula pulih.
Kebanyakan laluan masuk ke kampung itu juga boleh dilalui kenderaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3HNkJX2rI 
Hakcipta terpelihara 

300 sertai pertandingan janggut, misai



Agensi - ROWLEY diumumkan sebagai juara pertandingan jambang dan misai tercantik yang berlangsung di Portland, Amerika Syarikat baru-baru ini.


PORTLAND, Amerika Syarikat – Seramai 300 peserta menyertai pertandingan janggut dan misai tercantik yang berlangsung di Auditorium Keller di sini baru-baru ini.
Pertandingan tersebut dipecahkan kepada 17 kategori termasuklah kategori janggut semula jadi tercantik dan janggut gaya bebas tercantik.
Menurut penganjur, seramai 300 peserta dari sembilan buah negeri bertanding dalam kejohanan kali itu untuk mewakili Amerika Syarikat di pertandingan peringkat dunia yang berlangsung di Austria pada tahun depan.
Katanya, pemenang dipilih berdasarkan kecantikan dan keunikan janggut serta misai milik mereka.
Juara keseluruhan dimenangi oleh seorang lelaki dari bandar ini, Madison Rowley. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3HNjpW1De 
Hakcipta terpelihara 

Jururawat individu pertama dikuarantin di AS



AP - BEBERAPA pekerja perubatan mengusung mayat seorang wanita yang mati akibat wabak Ebola di Monrovia, Liberia kelmarin.


WASHINGTON – Seorang jururawat yang dikenakan perintah kuarantin di negeri New Jersey mengkritik peraturan baharu tersebut dan mendesak ahli politik tidak mengganggu keputusan yang berkaitan dengan perubatan.
Jururawat tersebut, Kaci Hickox dikuarantin sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty pada Jumaat lalu selepas bertugas membantu mangsa wabak Ebola Sierra Leone.
Tiga negeri di Amerika Syarikat (AS) iaitu New Jersey, Illinois dan New York menguatkuasa perintah kuarantin terhadap mereka yang baru pulang dari negara di barat Afrika yang terjejas dengan wabak Ebola.
Hickox merupakan individu pertama yang dikuarantin di bawah peraturan baharu tersebut.
Tiga negeri itu menguatkuasakan peraturan ber­kenaan kerana bimbang langkah yang diambil oleh kerajaan persekutuan tidak mampu menyekat penularan wabak Ebola yang kini membunuh hampir 5,000 orang selepas menjangkiti lebih 10,000 pesakit.
“Saya berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti wabak Ebola.
“Saya mahu pulang ke­rana mahu berjumpa suami dan keluarga yang sudah lama menunggu kepulangan saya,” katanya dalam satu wawancara melalui telefon dengan syarikat penyiaran CNN.
Sebelum ini seorang doktor dari New York, Craig Spencer disahkan dijangkiti Ebola beberapa hari selepas dia pulang ke AS selepas bertugas di Guinea.
Spencer dibimbangi menyebarkan virus berkenaan selepas dia melawat beberapa lokasi di New York. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3HNjfzu00 
Hakcipta terpelihara 

Cecilia Cheung berang 
dituduh bawa lelaki pulang



Cecilia Cheung
Cecilia Cheung
HONG KONG 27 Okt. – Aktres, Cecilia Cheung berang apabila khabar angin tersebar di jaringan sosial China, Weibo, menyatakan dia membawa seorang lelaki pulang ke rumahnya di sini.
Menurut Asian E-News Portal, Cheung dan lelaki tersebut dikatakan bertengkar di bumbung rumahnya pada waktu tengah malam.
Pelakon berumur 34 tahun tersebut bagaimanapun menafikan kejadian itu berlaku.
“Kejadian yang dilaporkan di Weibo itu tidak benar dan bersifat fitnah. Kepada mereka yang menyebarkannya, tolong padamkannya di Weibo,’’ katanya.
Dakwaan tersebut kemudian terus dipadam oleh mereka yang menyiarkannya di jaringan sosial itu.
Cheung berpindah ke Singapura pada tahun lepas selepas bercerai dengan suaminya, Nicholes Tse pada 2011.
Dia mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cecilia-cheung-berang-8232-dituduh-bawa-lelaki-pulang-1.17564#sthash.DAbNT3HW.dpuf

Rousseff pertahan jawatan Presiden Brazil


Presiden Brazil, Dilma Rousseff (tengah) meraikan kemenangannya
Presiden Brazil, Dilma Rousseff (tengah) meraikan kemenangannya mempertahankan jawatan Presiden di Brasilia, kelmarin. – AFP
BRASILIA 27 Okt. – Presiden Brazil, Dilma Rousseff berjaya mempertahankan jawatannya buat penggal kedua selepas menang tipis dalam Pilihan Raya Presiden yang diadakan semalam.
Rousseff yang merupakan Presiden wanita pertama negara ini memperoleh 51.6 peratus undi berbanding 48.4 peratus yang diperoleh pencabarnya, Aecio Neves dalam pusingan kedua pilihan raya tersebut.
Selepas tempoh berkempen yang menyaksikan perpecahan antara penduduk miskin di utara negara dan golongan kaya di selatan Brazil, Rousseff berjaya memperoleh sokongan cukup daripada golongan pertengahan di tenggara negara ini untuk mengekalkan kemenangan Parti Buruh pimpinannya buat kali keempat.
Beliau akan memulakan penggal kedua pentadbirannya pada 1 Januari ini dan bakal menghadapi pelbagai cabaran termasuk mengembalikan keyakinan pelabur dan pasaran, ekonomi lembap dan rasuah.
Pemimpin berumur 66 tahun itu berikrar akan memulihkan perpaduan dalam negara, memulihkan ekonomi dan menangani rasuah.
“Saya bersedia untuk mengadakan dialog terbuka. Tindakan ini merupakan pendekatan utama dalam pentadbiran penggal kedua saya.
“Saya mahu menjadi Presiden yang lebih baik berbanding sebelum ini,’’ katanya selepas diumumkan memenangi pilihan raya tersebut.
Terdahulu, Neves, 54, menghubungi Rousseff untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya itu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rousseff-pertahan-jawatan-presiden-brazil-1.17544#sthash.7pB0aRMn.dpuf

Retno Menteri Luar wanita pertama Indonesia


Retno Lestari
Retno Lestari

JAKARTA 27 Okt. – Buat kali pertama dalam Kabinet Indonesia, jawatan Menteri Luar negara disandang oleh diplomat kanan wanita, Retno Lestari Priansari Marsudi yang juga Duta Besar Indonesia ke Belanda.
Jakarta Globe melaporkan, Retno mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal luar negara yang biasanya didominasi oleh pemimpin lelaki.
“Indonesia memiliki banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada dunia. Kita juga perlu bekerja keras untuk mengekalkan peranan di peringkat global,” katanya.
Retno, 52, yang disenaraikan sebagai seorang daripada 99 wanita berpengaruh oleh majalah Global Asia berkahwin dengan arkitek, Agus Marsudi dan memiliki dua cahaya mata.
Beliau merupakan lulusan Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dan memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Hague.
Retno dilantik sebagai Duta Indonesia ke Norway dan Iceland semasa berusia 42 tahun sebelum sebagai Ketua Pengarah Hubungan (Amerika dan Eropah) di Kementerian Luar.
Beliau dilantik sebagai Duta Besar Indonesia ke Belanda pada 2012.
Retno dilihat sebagai calon tepat bagi menggantikan Marty Natalegawa apabila beliau berjaya memulihkan semula hubungan Indonesia-Belanda, disusuli kunjungan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ke Indonesia pada tahun lalu. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/retno-menteri-luar-wanita-pertama-indonesia-1.17528#sthash.jTQh7HZa.dpuf