Rousseff yang merupakan Presiden wanita pertama negara ini memperoleh 51.6 peratus undi berbanding 48.4 peratus yang diperoleh pencabarnya, Aecio Neves dalam pusingan kedua pilihan raya tersebut.
Selepas tempoh berkempen yang menyaksikan perpecahan antara penduduk miskin di utara negara dan golongan kaya di selatan Brazil, Rousseff berjaya memperoleh sokongan cukup daripada golongan pertengahan di tenggara negara ini untuk mengekalkan kemenangan Parti Buruh pimpinannya buat kali keempat.
Beliau akan memulakan penggal kedua pentadbirannya pada 1 Januari ini dan bakal menghadapi pelbagai cabaran termasuk mengembalikan keyakinan pelabur dan pasaran, ekonomi lembap dan rasuah.
Pemimpin berumur 66 tahun itu berikrar akan memulihkan perpaduan dalam negara, memulihkan ekonomi dan menangani rasuah.
“Saya bersedia untuk mengadakan dialog terbuka. Tindakan ini merupakan pendekatan utama dalam pentadbiran penggal kedua saya.
“Saya mahu menjadi Presiden yang lebih baik berbanding sebelum ini,’’ katanya selepas diumumkan memenangi pilihan raya tersebut.
Terdahulu, Neves, 54, menghubungi Rousseff untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya itu. – AFP