Tuesday, October 28, 2014

Peserta Program 40 Tahun Dari Universiti Malaya Ke Penjara rempuh masuk

KUALA LUMPUR: Program '40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara' di UM malam ini dicemari dengan tindakan peserta merempuh pagar utama universiti berkenaan.
Kejadian itu berlaku pada jam 9.20 malam, kira-kira 15 minit sebelum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di universiti terbabit.
Tindakan merempuh pagar itu dilakukan selepas seorang jurucakap program berkenaan memberi tempoh tiga minit kepada pengawal keselamatan supaya membuka pagar.
Namun, permintaan jurucakap itu tidak dipenuhi anggota keselamatan, memaksa mereka membuat provokasi dan bertindak kasar.
Terdahulu, beberapa wakil penganjur dilihat mengadakan rundingan dengan pihak keselamatan universiti terbabit, meminta peserta yang berada di dalam pagar universiti, dibenarkan keluar.
Pihak keselamatan UM kemudian memberi kelonggaran itu, namun peserta tetap mahu memasuki universiti berkenaan untuk menuju ke Dewan Tuanku Canselor (DTC).
Program '40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara' yang tidak mendapat kebenaran universiti berkenaan dianjurkan Persatuan Mahasiswa UM.
Beberapa pemimpin pembangkang turut hadir antaranya Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Samsul Iskandar Mohd Akin dan Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul serta pemimpin PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin.

No comments:

Post a Comment