Tuesday, March 10, 2015

Spiderman pembela nasib gelandangan



LELAKI yang memakai kostum Spiderman ini menarik perhatian umum apabila membantu golongan gelandangan. - AGENSI


BIRMINGHAM, Britain – Seorang lelaki misteri di sini yang berpakaian lengkap seperti watak adiwira labah-labah terkenal, Spiderman dirakam bermurah hati apabila sering mengagihkan sandwic kepada golongan gelandangan.
Pemuda berusia 20 tahun itu pada mulanya membeli sandwic di pasar raya Tesco dengan berpakaian normal sebelum menyarung kostum adiwira tersebut di lorong kedai bagi menyembunyikan identitinya.
Menurutnya, kostum Spiderman dipilih untuk dipakai setelah rakan-rakannya memberitahu, dia memiliki wajah seiras watak utama filem berkenaan, Peter Parker yang dilakonkan oleh aktor Tobey Maguire.
Lelaki dermawan yang mula membantu golongan susah sejak berusia 17 tahun berkata, dia gembira melihat sambutan positif terhadap usahanya itu.
"Selain dapat melihat senyuman daripada mereka yang menerima bantuan, ada juga pejalan kaki ingin bergambar dan mendapat inspirasi untuk melakukan perkara yang sama," katanya.
Spiderman dunia nyata itu juga memiliki akaun Twitter iaitu @brumspiderman bagi memudahkan orang ramai mengikuti perkembangannya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Tx8VGcim 
Hakcipta terpelihara 

Pengantin ditahan sebelum berkahwin dapat ganti rugi £21,000


SUN dan suaminya hanya sempat bergambar tanpa upacara perkahwinan pada hari mereka ditangkap polis.– AGENSI


LONDONDERRY, Ireland – Sepasang suami isteri menerima wang pampasan sebanyak £21,000 (RM116,750) selepas pihak polis melakukan kesilapan menahan mereka sejurus sebelum ikrar perkahwinan dilafazkan.
Pasangan tersebut, Neil Elwee, 28, dan isterinya, Yanan Sun, 22, ditahan ketika berada dalam upacara perkahwinan mereka pada 19 Julai 2011 di sini di hadapan kira-kira 50 orang yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.

PASANGAN ini meneruskan upacara perkahwinan pada keesokan harinya dengan hanya berpakaian kasual.– AGENSI


Sun yang kini ibu kepada dua orang anak, meluahkan rasa kecewanya kerana mereka ditahan selama empat jam walaupun pihak polis sedar dalam tempoh masa 40 minit bahawa tangkapan itu merupakan satu kesilapan.
Mereka sebelum itu disyaki cuba mengatur satu perkahwinan palsu.
"Ketika berada di balai polis, Neil memberitahu rakan yang berada di hotel itu untuk meneruskan majlis berkenaan tanpa kehadiran kami berdua kerana tidak mahu mengecewakan semua yang hadir, malah kami juga sudah bayar untuk majlis tersebut," kata Sun.

PASANGAN Elwee dan Sun kini dikurniakan dua cahaya mata.– AGENSI


Tambahnya, upacara perkahwinan dijalankan semula pada keesokan harinya tanpa pakaian pengantin dan rakan-rakan kecuali ahli keluarga terdekat.
Tidak puas hati dengan detik memalukan itu, pasangan suami isteri tersebut membuat aduan terhadap pegawai polis yang menahan mereka pada Jun 2012 menyebabkan empat pegawai digantung tugas selain menerima sejumlah pampasan. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Tx79fbI7 
Hakcipta terpelihara 

Monday, March 9, 2015

Rakyat Malaysia wanita terkaya di Australia


MELBOURNE - AUSTRALIA . Rakyat Malaysia, Vicky Teoh, yang memiliki kekayaan dianggar berjumlah A$938 juta, sekali lagi dinobatkan sebagai Wanita Paling Kaya Di Australia Melalui Usaha Sendiri oleh majalah BRW (Business Review Weekly).

Vicky, 57, dan suaminya, David Teoh, 58, berhijrah dari Malaysia pada 1986 dan mengasaskan TPG Telecom.

Menurut BRW, Vicky memiliki sebahagian besar saham TPG dan memainkan peranan aktif dalam penubuhan perniagaan baharu keluarga itu seperti Oscar Wylee, yang terlibat dengan perniagaan runcit cermin mata secara dalam talian.

Kekayaan peribadi keluarga Teoh itu meningkat hampir sekali ganda pada tahun lepas kepada A$2 bilion (RM5.7 bilion), daripada A$1.06 bilion (RM3.0 bilion) sebelumnya.

Senarai Wanita Terkaya BRW itu, yang diterbitkan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, menonjolkan 30 wanita paling kaya di Australia melalui usaha sendiri.

Menurut majalah itu, untuk layak disenaraikan dalam senarai berkenaan, seseorang wanita mestilah berusaha sendiri untuk meraih kekayaan, bukan dengan mewarisinya daripada generasi terdahulu.

Jutawan perlombongan, Gina Rinehart tidak dimasukkan dalam senarai itu kerana beliau mewarisi kekayaan daripada bapanya, Lang Hancock, walaupun wanita itu mencapai kejayaan besar dalam perniagaan.

Jika digabungkan kekayaan yang dimiliki 30 wanita yang terdapat dalam senarai itu, jumlahnya ialah A$5.4 bilion (RM15.3 bilion), bertambah daripada$4.5 bilion (RM12.8 bilion) pada 2014, dengan setiap individu mencatat peningkatan kekayaan.

Wanita kedua paling kaya selepas Vicky Teoh ialah Charlotte Vidor dari Toga Hotels Group, yang memiliki kekayaan dianggarkan berjumlah A$360 juta (RM1.02 bilion). - Bernama

'Mumia' ditemui di kawasan gunung


 'Mumia' ditemui di kawasan gunung
Mumia ditemui di puncak gunung Pico de Orizaba
PICO  DE ORIZABA - MEXICO. Seramai 12 ahli pasukan penyelamat terkejut selepas menemui dua rangka manusia dipercayai membeku sehingga menjadi 'mumia' sewaktu menjalankan usaha mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan tertinggi Mexico, baru-baru ini.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, rangka manusia itu ditemui membeku dalam salji 1,000 kaki (310 meter) dari puncak  gunung Pico de Orizaba yang setinggi 5,636 meter.

Menurut Datuk Bandar Chalchicomula de Sesma, Juan Navarro, penemuan kedua pula dilaporkan berhampiran dengan puncak gunung tersebut.

"Rangka kedua ditemui 500 kaki (300 meter) dari mumia pertama. Rangka ditemui dalam keadaan beku.

"Identiti bagi kedua mumia itu masih lagi misteri dan hanya akan diketahui sebaik kedua-dua rangka itu dibawa turun dari kawasan pergunungan," katanya.

Sejak laporan tersebut didedahkan, pihak berkuasa tempatan mengesahkan menerima pelbagai panggilan dan maklumat kehilangan individu yang menjalankan aktiviti mendaki di kawasan pergunungan tersebut.

"Berdasarkan pemerhatian awal, mayat tersebut mungkin pendaki yang menjalankan pendakiannya di tahun 1959.

"Pada tahun tersebut, seramai empat pendaki dilaporkan berjaya kembali dari pendakian dengan selamat. Manakala tiga lagi dilaporkan hilang dan tidak dijumpai sehingga kini.

"Mayat ketiga mungkin akan dijumpai oleh pasukan penyelamat sebaik mereka kembali semula ke puncak gunung tersebut," katanya lagi.

Buat masa ini, pasukan penyelamat berhadapan detik sukar dalam meneruskan usaha mencari berikutan kabus tebal menyelubungi kawasan pergunungan terbabit.

'Gadis cantik jadi penjenayah'


'Gadis cantik jadi penjenayah'
CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang gadis yang memiliki rupa paras yang cantik dan menawan, kini menjadi terkenal di laman sosial Twitter selepas gambarnya disebar kepada umum apabila ditahan polis kerana mencuri.

Memetik laporan portal MTV.COM, gadis yang berasal dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Alysa Bathrick, 18, juga pernah ditahan beberapa kali di atas pelbagai kesalahan termasuk menyerang orang.

Alysa atau nama gelarannya ‘cute mugshot girl’ berasal dari wilayah North Carolina sebelum ini dengan bangga memuatnaik gambar wajahnya di dalam lokap di laman Twitternya yang mana gambar itu dikongsi lebih 1,000 kali.

Wanita serah RM5.1 juta kepada kekasih alam maya


Wanita serah RM5.1 juta kepada kekasih alam maya
Sarah, yakin hubungannya dengan Olsen akan berjaya. – Foto Metro.uk.
CALIFONIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita mengaku menghabiskan sehingga AS$1.4 juta (RM5.1 juta) termasuk menggadaikan apartmennya untuk kekasihnya yang hanya dikenali menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, wanita itu memberitahu media, dia tidak pernah menyesal untuk berbuat demikian demi lelaki yang dicintainya.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, wanita yang hanya menggelar dirinya sebagai Sarah itu berkata, walaupun sudah mengalami perceraian sebanyak dua kali, dia mengakui masih tidak serik untuk menjalin hubungan cinta.

Kata Sarah lagi, meskipun dia tidak pernah bertemu dengan lelaki yang dipanggil Chris Olsen, perkenalan selama 18 bulan dan perbualan berjam-jam menerusi telefon tidak pernah menggoyahkan perasaannya.

Sebaliknya, wanita itu bertambah yakin untuk memindahkan sejumlah besar wang ke akaun lelaki itu setelah didesak berulang kali oleh Olsen.

“Walaupun suara dan loghat percakapannya sering berubah, tapi saya yakin 95 peratus dia benar-benar wujud.

“Dia beritahu saya dia berasal dari Milan dan menjalankan perniagaan di Afrika Selatan,” kata Sarah seperti yang dipetik menerusi laporan portal berkenaan.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut turut mendakwa bekerja di Nigeria dan Benin di Afrika Barat.

Menurut Sarah lagi, Olsen juga memberitahu sering ditangkap dan ditahan polis setiap kali lelaki itu cuba melintasi sempadan AS semata-mata untuk berjumpa dengannya.

“Dia sangat baik dan lemah-lembut. Tidak mungkin dia akan menipu saya.

“Saya percaya dia (Olsen) menganggap saya sebagai isterinya,” katanya lagi.

Sarah yang yakin dengan kejayaan hubungannya kini bergantung kepada seorang pengacara televisyen eksklusif, Dr Phil untuk membantu menyatukan mereka berdua.

Sunday, March 8, 2015

Warga emas dipenjara enggan roboh rumah

Naypyidaw: Dua wanita warga emas yang pernah dijatuhi hukuman penjara selama sebulan kerana enggan merobohkan rumah mereka tahun lalu, didakwa semula atas kesalahan yang sama lapor media semalam.
Tin Hlaing, 88, dan Daw Nyo, 82, dituduh mengganggu pihak berkuasa kerana enggan merobohkan rumah mereka walaupun arahan mengenainya sudah dikeluarkan.
Menurut Tin Hlaing, dia menetap di rumah berkenaan sejak 2009 dan hanya menjual buah-buahan.
“Ke mana saya harus pergi jika pondok ini dirobohkan?” katanya.
Menurut Tin, dia tidak faham mengapa kerajaan mengambil tindakan terhadapnya yang miskin serta tua sedangkan dia penduduk asal di situ.
“Inikah yang dikatakan kempen membasmi kemiskinan seperti yang diucapkan presiden di televisyen?” katanya.
Menurut anak perempuan Tin pula, hakim membuat keputusan berat sebelah kerana enggan memihak kepada orang susah sepertinya.
“Ibu saya sakit dan saya juga tidak boleh melawatnya di penjara terlalu kerap,” katanya.
Sementara itu, Daw Nyo yang juga didakwa berkata, tanah tapak rumah setinggan itu adalah miliknya.
“Saya sudah menetap di sini sejak 40 tahun lalu. Jika saya merobohkannya, di mana saya harus tinggal?” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:09 AM


TIN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35263#sthash.dT4eQjNH.dpuf

Hero si miskin

Birmingham: Adi wira Spider-Man memang terkenal dengan kuasa sesawangnya untuk membanteras dan menangkap penjenayah.
Namun, apa berlaku di Birmingham lebih mengejutkan.
Di luar layar perak dan tanpa mainan kamera, seorang ‘Spider-Man’ muncul untuk mengagih-agihkan makanan serta minuman kepada golongan gelandangan pada waktu malam.
Dia yang ditemubual stesen penyiaran BBC berkata, amalan itu dilakukan sejak tiga atau empat tahun lalu.
Katanya, dia suka melihat senyuman di wajah mereka setiap kali bantuan dihulurkan.
“Kemudian saya terfikir, tentu senyuman itu lebih manis jika bantuan berkenaan diberikan oleh Spider-Man,” katanya.
Lelaki terbabit kemudian mula keluar pada waktu malam dengan berpakaian seperti watak rekaan Stan Lee itu.
Untuk memudahkan dia mengemas kini aktivitinya, ‘Spider-Man’ berkenaan membuka akaun Twitter menggunakan nama @brumspiderman.
Ternyata dia begitu terkenal di Birmingham kerana jumlah pengikut di Twitter semakin meningkat. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:07 AM


SPIDER-MAN menghampiri seorang lelaki tidak berumah di Birmingham untuk menyerahkan bantuan makanan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35404#sthash.GVd4Xdqo.dpuf

Pulih daripada amnesia selepas dakap adik



INMAN yang menghidap amnesia hampir dua tahun lalu, kini kembali mengenali keluarga, kawan dan dirinya selepas dipeluk adik lelakinya, Caleb baru-baru ini.


DEVON, Britain – Seperti satu keajaiban apabila seorang remaja perempuan di sini kembali pulih daripada penyakit amnesia yang dihidapinya selepas dipeluk adik lelakinya.
Remaja tersebut, Chloe Inman, 16, menderita kehilangan memori hampir dua tahun lalu apabila melakukan rawatan mengeluarkan cecair dari tulang belakangnya.

KASIH sayang seorang adik berjaya mengembalikan ingatan Inman selepas dua tahun menghidap amnesia. - AGENSI


Doktor serta ibu bapanya telah mencuba pelbagai cara untuk memulihkan ingatan Inman, namun remaja tersebut masih gagal untuk mengenal keluarga, kawan-kawan mahupun dirinya sendiri.
“Ia suatu detik yang sukar apabila hilang seluruh kehidupan saya,” katanya.
Namun, semuanya berubah apabila dia dipeluk oleh adik lelakinya, Caleb, 7, yang pada waktu itu datang ke biliknya baru-baru ini.
Inman memberitahu, sebaik Caleb memeluknya, ingatan terhadap keluarganya kembali pulih seperti sediakala. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3TkME1gTV 
Hakcipta terpelihara 

Mumia di puncak gunung bersalji



IMEJ yang didedahkan oleh Majlis Perbandaran Chalchicomula menunjukkan salah satu daripada mumia yang ditemui berdekatan puncak Gunung Pico de Orizaba yang terletak di antara sempadan negeri Veracruz dan Puebla di Mexicio pada Khamis lalu.


BANDAR MEXICO – Dua mayat seperti mumia ditemui dalam keadaan berpelukan di puncak tertinggi negara ini dan dipercayai milik dua pendaki gunung yang hilang dalam run­tuhan salji pada 1959, lapor pihak berkuasa.
Seorang anggota penyelamat kelmarin mendedahkan satu misi untuk mengeluarkan mayat-mayat itu dari Gunung Pico de Orizaba terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin ini bagi membina satu bekas khas untuk mengangkut mayat berkenaan dalam keadaan asalnya.
Misi mencari mayat tersebut dimulakan Khamis lalu selepas beberapa pendaki menemui satu tengkorak manusia di permukaan ais gunung tersebut awal minggu ini.
“Kumpulan mencari itu mengorek ais di sekeliling kepala tersebut kemudian menemui satu lagi mayat. Kedudukan kedua-dua mayat itu mengejutkan kami kerana umpama sedang berpelukan,” kata salah seorang pendaki yang menemuinya, Francisco Rodriguez.
Cuaca kabus tebal menyebabkan hanya dua daripada 12 anggota ­penyelamat tiba di tapak mayat-mayat tersebut ditemui iaitu kira-kira 300 meter dari puncak gunung dengan ketinggian 5,610 meter itu.
Penemuan itu juga diharap merungkai misteri kehilangan pendaki di situ sejak 55 tahun lalu.
Pasukan penyelamat juga berpendapat kemungkinan ada satu lagi mayat akan ditemui memandangkan mereka baru menggali setengah meter salji di tapak tersebut.
Beberapa waris dari Jerman dan Sepanyol yang kehilangan saudara di gunung itu juga telah menghubungi pihak berkuasa di sini untuk pengesahan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3TkKWpIvn 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, March 7, 2015

New York umum hari raya sebagai cuti sekolah

DE BLASIO ketika mengadakan sidang akhbar mengenai pengumuman menjadikan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sebagai cuti persekolahan di New York pada Rabu lalu. - AGENSI


NEW YORK – Bandaraya ini bakal menjadi metropolis pertama di Amerika Syarikat (AS) apabila memberi cuti persekolahan di sekolah-sekolah awam bagi meraikan dua perayaan utama umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasio berkata, keputusan itu dibuat sebagai satu titik perubahan bagi satu kumpulan masyarakat yang telah menghadapi pelbagai diskriminasi sejak serangan 11 September 2001.
Beliau berikrar untuk menjadikan New York itu lebih toleransi dan inklusif serta menambah dasar baharu yang bakal diperkenalkan pada musim persekolahan akan datang sebagai satu lambang keadilan.
Melalui pengumuman yang disampaikan di gimnasium sebuah sekolah di Bay Ridge Rabu lepas, de Blasio yang ditemani aktivis Muslim serta pegawai-pegawai bandar turut disoal mengenai tentangan yang bakal dihadapi ekoran keputusannya.
“Bagi yang hendak mengkritik, mereka perlu melihat kembali Perlembagaan AS. Negara ini dibentuk untuk menjadi sebuah negara yang mempunyai pelbagai kepercayaan dan budaya,” katanya.
Sekolah-sekolah di daerah lain seperti Vermont, Massachusetts dan New Jersey terlebih dahulu telah menjadikan perayaan umat Islam itu sebagai cuti umum sekolah dan New York menjadi bandar terbesar yang melaksanakannya buat kali pertama.
Dalam pada itu, aktivis Islam menyifatkan pengumuman datuk bandar itu sebagai kemenangan besar dan tanda-tanda bahawa badan itu telah matang dalam soal polisi awam. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3TdNs4xF2 
Hakcipta terpelihara 

Indonesia tolak tawaran Australia tukar banduan


Joko Widodo Jokowi
JAKARTA - Kerajaan Indonesia menolak tawaran Australia untuk membuat pertukaran banduan bagi menyelamatkan dua warganegaranya yang dihukum mati di Indonesia berhubung kes pengedaran dadah.

Media-media utama di negara ini memetik Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi berkata, Indonesia tetap menjaga hubungan baik dengan negara-negara jiran namun masih terdapat batasan yang perlu dihormati oleh semua pihak iaitu menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara.

"Kedaulatan hukum tetap kedaulatan hukum, kedaulatan politik tetaplah kedaulatan politik," katanya.

Jokowi dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas tawaran Menteri Luar Australia, Julie Bishop untuk menukar dua banduan warga negara Australia, Andrew Chan dan M.Sukumaran yang dihukum mati kerana kesalahan pengedaran dadah.

Beliau berkata, gejala penagihan dadah di negara ini adalah serius dan ia disebabkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang semakin berleluasa.

Katanya, hukuman mati tidak seharusnya hanya dilihat dari perspektif banduan terbabit tetapi juga mangsa-mangsa yang telah terkorban akibat dadah.

"Lihatlah berapa yang meninggal, generasi muda kita. Jangan selalu dilihat yang dihukum. Lihatlah korban-korbannya ... pada setiap tahun terdapat empat hingga lima juta orang yang terpaksa menjalani rawatan pemulihan dadah," katanya.

Siaran-siaran televisyen tempatan hampir setiap hari menyiarkan laporan secara langsung mengenai perkembangan hukuman tembak itu yang belum ditentukan tarikhnya.

Hukuman itu akan dilaksanakan di Lapangan Tembak di penjara Nusakambangan, di Jawa Tengah dan semua banduan terbabit sudah ditempatkan di bilik akhir penjara di pulau itu.

Di Indonesia, hukuman berkenaan dilaksanakan oleh pasukan penembak khas selepas waktu tengah malam. - Bernama

Friday, March 6, 2015

Asri, Kazim jelas salah faham


Asri Kazim
KANGAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd Kazim Elias akan mengadakan sidang media hari ini bagi menjelaskan salah faham membabitkan mereka.

Ini berikutan penyebaran surat mufti tersebut yang tidak bersetuju Kazim dijemput sebagai ahli panel  Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis yang disebarkan pihak tertentu di luar pengetahuan Asri.

Dalam surat yang dihantar kepada pegawai kanan di pejabat Menteri Besar Perlis, Asri memaklumkan ketidaksetujuannya atas alasan Kazim terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Melalui entri terbaharu Facebooknya, Mohd Asri kesal dengan penyebaran surat dalaman urusan kerajaan itu melalui internet.

“Surat itu tidak menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan  tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan yang bersempena Keputeraan Raja Perlis,” kata Asri.
Menurutnya, ia adalah surat dalaman pentadbiran dan penyebaran surat itu tidak sepatutnya berlaku.    
 
Berikutan itu, Asri turut menyertakan satu salinan muka surat buku yang ditulis oleh Kazim, "Tuhan Sedang Menguji Kita' sebagai rujukan. 
 
Antara lain, kandungan buku itu menyatakan, 'manakala kenduri Rasulullah SAW yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari' yang dikatakan menjadi punca ketidaksetujuan Asri terhadap cadangan mengundang Kazim sebagai panelis forum.
 
Ketika dihubungi Sinar Harian, Asri enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sebaliknya meminta wartawan memetik kenyataan daripada Facebooknya.
 
Dalam pada itu, Kazim pula ketika dihubungi menyatakan pihak berkenaan sepatutnya menghubungi beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan berhubung apa yang dianggap sebagai riwayat palsu itu.
 
"Sebelum menganggap saya bawa riwayat palsu, panggillah saya dulu untuk jelaskan. Itu yang sebaiknya," katanya.
 
Mengenai cerita roti jala yang dikaitkan, Kazim menjelaskan: “Apa saya kata dalam buku itu hanya secara kiasan, Rasulullah SAW, buat kenduri kahwin dengan menghidangkan roti dengan kuah kambing yang saya kiaskan sebagai roti jala dan kari.
 
“Perlu baca sepenuhnya ayat saya itu di mana saya mahu menerangkan, perkahwinan Rasulullah paling mahal adalah perkahwinan baginda dengan Zainab Jahsy apabila menghidangkan roti dengan kambing. Sebagai penceramah, saya mahu guna bahasa kampung, tidak salah kenduri buat roti jala dengan kari kambing.” 
 
Kazim berkata, salah faham timbul apabila ada pihak mengambil sebahagian sahaja petikan ayat daripada buku itu.
 
“Saya mahu mudahkan, setiap roti dibuat dengan tepung, campur air dan garam. Roti paling senang dibuat adalah roti jala. Cuma mereka (ketika itu) tidak panggil roti jala. Saya ceramah guna bahasa kampung,” katanya.

Tutup pusat sembelih lembu


Mumbai: Anggota kumpulan nasionalis Hindu semalam mengarahkan rumah penyembelihan di negeri Maharashtra ditutup selepas satu undang-undang diluluskan bagi mengharamkan penjualan daging lembu.
Kumpulan nasionalis Vishwa Hindu Parishad (VHP) atau lebih dikenali sebagai Majlis Hindu Dunia yang mempunyai hubungan dengan parti Perdana Menteri Narendra Modi menutup rumah penyembelihan selepas mendapat perintah mahkamah untuk menghentikan penyembelihan lembu.
“Anggota VHP datang ke rumah penyembelihan di Deonar pada waktu malam dan meminta menghentikan penyembelihan sambil mengemukakan salinan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Presiden Persatuan Penjual Daging Pinggir Bombay, Mohammad Ali Qureshi.
Deonar terletak di pinggir Mumbai dan menempatkan rumah penyembelihan terbesar di India.
Penjualan daging dikuasai minoriti Islam dan larangan itu dibimbangi akibat didorong penyokong setia Modi yang memperjuangkan agenda agama Hindu.
Presiden Pranab Mukherjee minggu lalu meluluskan Rang Undang-undang Pemuliharaan Haiwan Maharashtra yang tergantung sejak 20 tahun lalu.
Undang-undang itu meluaskan pengharaman penyembelihan lembu betina yang dianggap suci oleh penganut Hindu kepada lembu jantan.
Undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah memiliki daging lembu.
Kerajaan negeri memberitahu undang-undang itu mungkin mengambil masa selama beberapa minggu sebelum boleh dikuatkuasakan.
Keputusan itu menyebabkan VHP memfailkan satu petisyen ke Mahkamah Tinggi Mumbai pada Selasa lalu bagi mendesak undang-undang berkenaan dikuatkuasa serta-merta.
“Kenapa perlu tunggu selama lima atau enam hari untuk formaliti dan draf akhir?.
“Sekiranya kami masih menunggu, beribu-ribu lembu akan disembelih,” kata Setiausaha VHP, Vyankatesh Abdeo.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34742#sthash.cq8pw9Mw.dpuf

Ibu lahir cucu


London: Seorang wanita merealisasikan impian anak lelakinya menjadi bapa dengan melahirkan cucunya setelah menjadi ibu tumpang.
Prosedur yang dianggap pertama di dunia itu dilakukan di sebuah klinik kesuburan yang merancang kehamilan wanita berkenaan menggunakan telur yang didermakan dan sperma anak lelakinya.
Wanita itu menawarkan diri untuk mengandungkan cucunya selepas mendapat persetujuan suami dan kebenaran mahkamah.
Keputusan itu diambil selepas seorang saudara wanita mereka yang bersetuju untuk menjadi ibu tumpang menarik diri akibat masalah kesihatan.
Prosedur luar biasa itu terdedah selepas seorang hakim Mahkamah Tinggi membenarkan anak wanita itu mengambil bayi lelaki berkenaan sebagai anak angkat.
Lelaki itu juga menjadi bapa yang sah kepada bayi berkenaan walaupun mengikut undang-undang mereka juga adik-beradik.
Beberapa pihak mengkritik prosedur berkenaan yang dianggap ‘meragukan’ dan mendesak kerajaan meminda undang-undang kesuburan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Theis tidak mendedahkan nama keluarga, klinik atau bandar keluarga berkenaan tinggal.
“Rancangan ini sangat luar biasa, tetapi menurut undang-undang sedia ada ia sah,” katanya.
Bayi itu yang sudah berusia tujuh bulan kini tinggal bersama bapanya.
Bagaimanapun, Theis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memilih prosedur serupa tanpa mendapat ‘nasihat perundangan yang lengkap’ kerana ia sangat rumit.
Sementara itu, penyelidik dasar kekeluargaan Britain, Patricia Morgan berkata, bayi itu berisiko mengalami masalah emosi kerana latar belakangnya sangat mengelirukan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34757#sthash.wGtr805c.dpuf

Tukang sapu paling bergaya

Deyang: Gambar seorang tukang sapu sedang menyapu di jalan raya di Deyang di wilayah Sichuan dengan skirt mini hitam, stokin dan kasut tumit tinggi menjadi viral di media sosial China.
Ada sesetengah pengguna Internet menggelarnya ‘Tukang Sapu Paling Bergaya China.’
Gambar itu tersebar selepas wanita itu dirakam seorang pengguna jalan raya minggu lalu dan memuatnaiknya ke Internet.
Ia menjadi viral dalam sekelip mata.
Akhbar Sichuan News berjaya menjejaki wanita itu, Liu Junhua di pejabat majikannya.
Bagaimanapun, menurut Liu, pakaian yang dipakainya itu bukan uniform yang sepatutnya dia pakai ketika menjalankan tugas.
“Saya tidak bekerja hari itu dan keluar membeli-belah apabila seorang rakan menelefon dan memberitahu dia tidak dapat bekerja. Dia meminta saya menggantikannya.
“Kerana tidak sempat untuk pulang dan menukar uniform, saya lakukan tugas itu dengan skirt mini dan kasut tumit tinggi,” kata Liu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:42 AM


GAMBAR menunjukkan Liu menyapu sampah dengan berkasut tumit tinggi dan skirt mini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35006#sthash.MNKSdRFU.dpuf

Wad dalam tandas

Huddersfield (Britain): Seorang pesakit yang cemas kerana menunggu giliran menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini terkejut selepas ditempatkan di dalam tandas.
Kejadian itu berlaku apabila Darren Walters, 36, diberikan notis singkat oleh doktor untuk datang ke hospital kerana pembedahan membuang buasirnya dijadualkan semula.
Apabila tiba di hospital tag yang dipakai Walters tertukar dengan pesakit lain menyebabkan doktor membuat persiapan pembedahan yang salah.
Kesilapan berkenaan disedari doktor tidak lama selepas itu dan mereka terpaksa menangguhkan pembedahan terhadap Walters.
Disebabkan tidak mempunyai ruang untuk menempatkan Walters, seorang jururawat menyediakan sebuah katil di dalam tandas di wad berkenaan.
Katil terbabit diletakkan di bawah pancuran air dan bersebelahan dengan tandas.
Bapa tiga anak itu berkata, dia berada di dalam bilik kecil itu selama empat jam sebelum pembedahan dijalankan.
Lebih menyakitkan lagi, dia diberikan enema yang menyebabkan dia terpaksa menggunakan tandas berulang kali.
“Saya mengambil gambar di atas katil dan menghantar gambar itu kepada isteri saya.
“Isteri saya terkejut dengan keadaan itu dan meminta saya keluar, tetapi saya enggan,” katanya.
Ujarnya, dia bersetuju masuk ke dalam tandas kerana doktor memberitahu pembedahannya terpaksa ditangguhkan.
“Pihak hospital memberitahu mereka sudah melakukan yang terbaik.
“Tetapi adakah tindakan mereka menempatkan saya di dalam tandas baik untuk semua orang?
“Tiada siapa di dalam wad yang boleh masuk ke dalam tandas sepanjang saya berada di dalamnya,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:46 AM


KATIL Walters yang ditempatkan dalam tandas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35007#sthash.UmRUmhfB.dpuf

4 anak daripada 4 madu


Kesanggupan bapa menjadi ‘guru’ bawa kecemerlangan SPM anak-anaknya

ZULKepLI MOHAMAD (kiri) bersama empat anaknya  (duduk dari kiri,)
ZULKEPLI MOHAMAD (kiri) bersama empat anaknya (duduk dari kiri,) Juliana Aziera, Ayu Syaheera, Zul Azril dan Zul Azrul berbual bersama Pengetua SMK Putri Saadong, Ramli Dolah (tengah) sambil disaksikan keempat-empat isteri Zulkepli di Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR
KOTA BHARU 3 Mac - Mereka sebaya dan mempunyai bapa sama. Latar belakang itu menyebabkan ramai menyangka empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong, di sini yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 adalah kembar.
Tambahan pula, usia mereka sekadar dibezakan oleh bulan kelahiran selain dilihat amat akrab um­pama belangkas termasuk menjadi rakan sekelas. Malah, empat remaja tersebut turut berkongsi impian sama iaitu mahu berjaya dalam bidang perakaunan.
Hakikatnya, Juliana Aziera Zulkepli, 18, serta adik-adiknya, Ayu Shaheera, 18; Zul Azril, 18, dan Zul Azrul, 18, adalah adik beradik berlainan ibu hasil perkongsian seorang ahli perniagaan, Datuk Zulkepli Mohamad, 51, bersama empat isteri.
Juliana Aziera, anak Zulkepli bersama isteri pertama mendapat 8A 2B. Keputusan sama turut diperoleh Ayu Shaheera, anaknya bersama isteri kedua serta Zul Azril, anaknya bersama isteri ketiga.
Sementara itu, Zul Azrul, anak beliau bersama isteri keempat pula mendapat 10A dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik SMK Putri Saadong.
Zulkepli yang pernah menjadi tukang karut dikir barat dan tersohor dengan panggilan Zul Wisma berkata, selain hasil didikan guru di sekolah, kecemerlangan anak-anaknya turut didorong oleh kebahagiaan yang berjaya dicipta dalam rumah tangga beliau.
Menurut Pengerusi Eksekutif Zulkepli & Co. itu, empat isterinya, Datin Hasnah Mat Ya, 56; Rafizah Senawi, 48; Nurida Razali, 48, serta Norreha Abdul Rahman, 45, amat rapat dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, keakraban isteri-isterinya itu membolehkan kesemua 11 anak mereka turut membesar sebagai satu keluarga dalam suasana harmoni.
Bercerita lanjut mengenai rahsia kecemerlangan anak-anaknya, Zulkepli memberitahu, mereka berempat tidak menghadiri sebarang tuisyen, sebaliknya sekadar mengikuti sesi pembelajaran khas bersama beliau sendiri.
“Empat bulan sebelum SPM, kami buat kelas intensif. Mereka berempat dikehendaki hadir ke pejabat saya selepas jam 4 petang setiap hari kecuali Jumaat untuk belajar bersama-sama. Kami turut mengerjakan solat Asar, Maghrib dan Isyak berjemaah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Zulkepli, beliau sanggup mengupah guru untuk mengajar dirinya sendiri dalam semua mata pelajaran semata-mata mahu memastikan beliau mampu menjadi seorang ‘guru’ yang bagus kepada anak-anaknya.
Sementara itu, anak-anak Zulkepli mengakui berasa seronok dapat belajar bersama beliau kerana tidak perlu malu untuk bertanya soalan selain berpeluang bermesra dengan bapa sendiri.
- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/4-anak-daripada-4-madu-1.65846#sthash.LUJmAsVe.dpuf