Friday, May 21, 2010

Hospital lembab dan tidak profesional

Singki ragut nyawa murid

HIBA...Rosilah (tengah) sebak ketika pengebumian Muhammad Rusydi Asyraaf, semalam.
HIBA...Rosilah (tengah) sebak ketika pengebumian Muhammad Rusydi Asyraaf, semalam.

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut akibat kehilangan banyak darah selepas pahanya dihempap mangkuk singki dalam bilik air rumahnya di Perumahan Rakyat Lembah Subang, dekat sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa, Muhammad Rusydi Asyraaf Mohd Azrul Fahsha yang dipercayai tergelincir berpaut pada singki seramik berkenaan yang tiba-tiba terjatuh dan menghempap paha kanannya.

Ibu mangsa, Rosilah Alam, 28, berkata ketika kejadian, anaknya baru pulang dari sekolah dan seperti biasa terus ke bilik air untuk membersihkan diri.

“Ketika berada dalam bilik air, anak saya terkunci dari dalam sebelum saya terdengar bunyi dentuman kuat diikuti jeritan, mama...sakit, sakit...,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara di sini, semalam.

Menurutnya, dia cuba membuka pintu bilik air tetapi gagal sebelum memanggil jiran untuk membantu.
“Apabila pintu dibuka, saya melihat anak saya sudah tersandar di dinding dengan paha kanannya berlumuran darah manakala air masih memancut dari singki.

“Saya kemudian membawanya ke Klinik 1Malaysia di tingkat bawah rumah sebelum pihak klinik menghantar anak saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans,” katanya.

Dia berkata, apa yang menyedihkan apabila terpaksa menunggu lebih dua jam untuk menerima rawatan kecemasan di PPUM sedangkan keadaan anaknya parah dan kehilangan banyak darah.

Menurutnya, dia terkilan kerana pihak hospital lambat merawat anaknya.

“Selepas menunggu lebih dua jam, anak saya terus dimasukkan ke unit kecemasan kira-kira jam 5 petang dan menjalani pembedahan.

Doktor memaklumkan pembedahan itu berakhir kira-kira jam 8.30 malam dan berjaya mencantumkan semula urat saraf anak saya. Keadaan anak saya dilaporkan stabil.

“Apa yang mengejutkan, sejam kemudian kami diberitahu anak lelaki sulung saya itu sudah meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah,” katanya.

Rosilah berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bukit Bintang, Seksyen 14 di sini, tidak menunjukkan kelakuan pelik sebelum kejadian, malah dia seorang anak yang bertanggungjawab.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pun ketika itu dan saya cukup terkilan dengan apa yang terjadi,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga akan mendapatkan pandangan pihak tertentu sebelum memutuskan sama ada mahu menyaman PPUM atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan kematian anaknya.

Sementara itu, Pengarah PPUM, Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail menolak dakwaan keluarga pesakit yang berlaku kecuaian ketika rawatan diberikan.

“Kami mencuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Ketika tiba di hospital jam 3 petang, mangsa sudah tenat dan dalam keadaan kritikal.

“Doktor yang memeriksa pesakit ketika ambulans tiba melaporkan denyutan nadinya sudah lemah dan kami sedaya-upaya cuba menstabilkannya.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8.40 malam, pesakit disahkan meninggal dunia selepas kehilangan banyak darah menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah,” katanya.

Awas! 3 perompak di Nibong Tebal


Wanita baru bersalin dirompak 3 lelaki



2010/05/21
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
NIBONG TEBAL: Seorang wanita yang baru lima hari bersalin menempuh saat paling menakutkan apabila dirompak sekumpulan tiga lelaki di Taman Sintar Indah, Jawi dekat sini, kelmarin.
Malah, dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Jamie Thian, 32, terpaksa menggagahkan diri menaiki tangga ke tingkat atas rumah dua tingkatnya hanya untuk menunjukkan bilik utama.
“Ketika itu hanya saya bersama dua anak berusia lima hari dan tujuh tahun berada di rumah.

“Tiba-tiba seorang lelaki bertopeng muncul dari bilik air yang menghubungkan bilik sebelah meluru ke arah saya dan mengarahkan saya tidak membuat bising serta menyerahkan barang kemas,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, perompak berkenaan memegang sebilah parang dan mengugut mencederakannya dan anak jika tidak menyerahkan barang kemas.

Jamie berkata, dia memaklumkan perompak terbabit tidak memiliki wang kerana baru lepas bersalin dan muncul dua lagi perompak mengarahkannya menunjukkan bilik lain di tingkat atas.

“Dalam keadaan tidak bermaya dan kesakitan, saya bawa anak sulung berusia tujuh tahun menemani saya ke tingkat atas.

“Selepas perompak menggeledah bilik, saya diarah turun dan duduk di ruang tamu serta tidak membuat bising,” katanya yang bersyukur kerana dia serta anak tidak dicederakan.

Suami mangsa, Tee Teck Shang, 32, berkata Jamie menghubunginya menyatakan dia dirompak lalu bergegas pulang serta menghubungi ahli keluarga lain.

“Perompak menggunakan sarung bantal di bilik utama untuk mengisi barang kemas dan wang tunai.

“Begitupun, saya bersyukur anak dan isteri tidak dicederakan,” katanya.

Dimana anak anda berada sekarang? mungkin ditengah jalanraya


Bayi duduk di tengah jalan berseorangan

MIKE HUBBARD mendekati bayi itu.


SAN ANTONIO, Amerika Syarikat (AS) - Satu rakaman kamera video yang disiarkan kelmarin menunjukkan seorang bayi perempuan yang memakai lampin duduk berseorangan di tengah sebatang jalan raya di sini pada tengah malam, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang lelaki yang sedang memandu sebuah bas di jalan itu, Mike Hubbard pada mulanya menyangka bayi tersebut merupakan seekor anjing.
Namun, dia bertindak menghentikan basnya dengan tiba-tiba selepas mendapati bayangan seperti haiwan itu sebenarnya seorang bayi yang memakai lampin.
"Saya tidak dapat mengenal pasti apakah sebenarnya yang terdapat di atas jalan itu. Ia seperti seekor anjing dan bergerak di sekitarnya. Saya mula memperlahankan bas dan kemudiannya saya mengetahui bahawa terdapat seorang bayi di tengah jalan," katanya kepada stesen televisyen WOAI-TV.
Menurutnya, dia kemudian turun dari bas dan mendapati bayi itu mungkin berumur lapan bulan dan matanya besar kerana memerhati bas di hadapannya.
Namun, tiba-tiba, bapanya muncul dan terus melarikan anaknya manakala pemandu berkenaan membuat laporan kepada sebuah agensi perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.
Kejadian itu dirakamkan pada Mei tahun lalu oleh kamera video yang terdapat di papan pemuka bas tersebut tetapi hanya didedahkan kelmarin dalam kes untuk mendapatkan hak penjagaan anak itu antara bapa dan ibu bayi berkenaan.
Menurut ibu bayi itu, Catherine Gonzalez, 25, semasa kejadian, dia dan suaminya mendengar bunyi hon dan bas membrek dengan tiba-tiba di luar rumah.
Catherine berkata, dia tidak mengetahui bagaimana anaknya itu boleh keluar dari rumah. - Agensi

Thursday, May 20, 2010

Jangan biarkan anak anda dijaga orang lain


Bayi tiga bulan maut tercekik susu
Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my
2010/05/20

NOOR SARIMA menunjukkan gambar  Aqil Adam yang meninggal dunia akibat tercekik susu di pusat jagaan,  semalam.
NOOR SARIMA menunjukkan gambar Aqil Adam yang meninggal dunia akibat tercekik susu di pusat jagaan, semalam.
Doktor sahkan mangsa alami pendarahan otak

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tidak menyangka perasaan berat hati dan tangisan anak sulung berusia tiga tahun ketika dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak di Taman Impian Emas di sini, petanda beliau kehilangan bayi yang juga anak bongsunya berusia tiga bulan selepas dipercayai mati akibat tersedak susu. 

Lebih menyedihkan Noor Sarima Ruslan, 28, bayinya, Aqil Adam Azrul sempat dua kali bernafas ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran pusat jagaan berkenaan, walaupun sebelum itu dia dimaklumkan sudah tidak bernafas.
Noor Sarima ketika ditemui Berita Harian di rumahnya, berkata Isnin lalu, anak sulungnya, Amirul Adam menangis ketika dihantar ke pusat jagaan itu pada sebelah pagi seperti baru pertama kali berada di situ tetapi beliau membuang segala prasangka buruk dan menganggapnya perkara biasa.
Sangkaan itu menjadi kenyataan apabila menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira jam 2 petang sebelum bergegas ke sana. 

“Ketika sampai, saya dapati Aqil Adam dalam keadaan lemah manakala muka dan bibirnya pucat, sebelum saya membawanya ke klinik berhampiran. 

“Doktor kemudian memberikan bantuan pernafasan, selepas lebih 10 minit, beliau menyatakan bayi saya tidak mempunyai harapan untuk hidup berikutan lewat dihantar untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 

Katanya, beliau diberitahu seorang penjaga di situ kejadian berpunca akibat anaknya dihempap bayi lain di pusat jagaan berkenaan. 
“Seorang lagi penjaga mendakwa dia meninggal anak saya untuk membuat susu sebelum datang semula dan mendapati bayi saya tidak lagi bernafas. Saya tidak tahu mana yang betul... laporan bedah siasat hospital pula menyatakan anak saya meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak, “ katanya. 

Sementara itu, suami Noor Sarima, Azrul Nuraizam Hamzah, 29, berkata beliau tidak akan lagi menghantar anaknya ke mana-mana pusat jagaan selepas ini, kerana trauma dengan kejadian yang menimpa. 

“Apa yang saya kesalkan ialah tindakan pusat jagaan yang lewat memaklumkan kami berhubung kejadian serta tidak menghantar Aqil untuk mendapatkan rawatan segera selepas tidak sedarkan diri akibat dihempap bayi lain, ” katanya.

Awas! 3 penyamun di Alor Setar


Mangsa samun dihentak pencakar besi


2010/05/20

ALOR SETAR: Seorang lelaki tua cedera di kepala akibat dihentak dengan pencakar ketika bergelut dengan tiga lelaki yang menyamun rumahnya dan melarikan barang kemas serta wang tunai kesemuanya berjumlah RM52,000 di Kampung Titi Haji Idris, di sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Kasim Ahmad, 72, dan isteri, Asmah Omar, 66, yang sedang tidur dikejutkan oleh bunyi bising pintu belakang rumahnya sebelum mendapati pintu biliknya ditolak dan dihentak.
Menyedari rumahnya dimasuki penjenayah, mangsa bersama isteri menahan pintu bilik bagi menghalang suspek masuk namun gagal hingga menyebabkan berlaku pergelutan.
Suspek dipercayai memasuki rumah itu dengan memotong pagar menggunakan pemotong besi sebelum menggunakan cara sama pada jeriji besi di pintu dapur rumah mangsa. Mereka kemudian menghentak pintu dengan tong gas sebelum menyerang mangsa dan menggeledah rumah berkenaan. 

Kasim berkata, selepas gagal menahan pintu biliknya dari dipecah tiga lelaki bertopeng itu beliau berjaya menyelinap keluar dan bergelut dengan dua daripada tiga suspek. 

"Ketika bergelut saya diserang bertubi-tubi tetapi sempat menolaknya hingga jatuh. 

"Ketika itu juga tanpa disedari kepala saya dihentak dengan pencakar menyebabkan muka saya berlumuran darah. 
"Kemudian tiga penyamun itu mengikat kaki dan tangan saya dengan wayar kabel di luar bilik manakala isteri yang berada di dalam bilik juga diikat dengan cara sama. Mereka juga mengugut kami menggunakan pisau," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Selain itu, Asmah berkata, suspek mengugut akan membunuh dia dan suaminya jika terus melawan sambil bertanya tempat kami menyimpan wang. 

"Mereka menggeledah keseluruhan bilik kami dan membawa lari wang tunai yang saya simpan di bawah katil," katanya.

Muka seperti makhluk asing



IGOR (kiri) dan kembarnya, Grichka yang memiliki wajah seperti makhluk asing menghadiri satu parti di Cannes, Perancis kelmarin.


CANNES - Muka satu pasangan kembar yang merupakan pelakon televisyen terkenal di Perancis, Igor Bogdanoff dan Grichka Bogdanoff kini kelihatan seperti wajah makhluk asing
yang kerap disiarkan dalam filem dan televisyen, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan kembar itu sebelum ini popular semasa berlakon dalam siri fiksyen sainsTemps X pada 1980-an sebelum menjadi peminat pembedahan plastik.
Muka pasangan kembar itu menjadi seperti wajah makhluk asing yang dipaparkan dalam filem dan televisyen akibat kesan terlalu banyak menjalani pembedahan plastik.
Gambar wajah mereka seperti makhluk asing itu dirakamkan oleh jurugambar semasa mereka menghadiri satu parti di Cannes, Perancis kelmarin.
Mereka difahamkan menjalani banyak pembedahan plastik di bahagian pipi dan dagu termasuk menggunakan Botox. - Agensi

Berbogel demi ' keamanan '


Berbogel sampaikan mesej keamanan


SEORANG wanita yang berbogel duduk di atas bumbung sebuah teksi di Westminster Square, London kelmarin.


LONDON - Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an duduk berbogel di bumbung sebuah teksi di sini kelmarin sambil melakukan aksi senaman yoga bagi membantah peperangan di Afghanistan, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut turut berdiri dan menjerit meminta askar-askar asing keluar dari Afghanistan.
Anggota-anggota polis kemudian menutup tubuh wanita itu dengan kain dan menahannya buat seketika.
Namun aksi wanita itu di Westminster Square telah menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga ada pelancong yang merakamkan gambarnya. - Agensi

Lebih 20 tahun penduduk hidu najis babi



TAN Tee Beng meninjau kawasan kandang babi yang didakwa penduduk mengeluarkan bau busuk dan saliran air najis haiwan itu masuk ke longkang rumah di Kampung Kepala Gajah, Nibong Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini. - utusan/sazali che din


NIBONG TEBAL 19 Mei - Penduduk sekitar Kampung Kepala Gajah di sini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran sisa buangan najis babi dari sebuah ladang ternakan haiwan itu yang beroperasi berhampiran kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa, operasi di ladang ternakan itu menyebabkan kawasan sekitar perkampungan yang diduduki majoriti masyarakat Melayu itu mengalami pencemaran bau yang serius terutamanya selepas waktu petang.
Menurut mereka, tindakan segera wajar diambil kerana masalah bau busuk di kawasan itu sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun penduduk sudah banyak kali mengajukan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Keadaan menjadi lebih buruk pada musim hujan apabila sistem perparitan yang tidak sempurna di kampung itu menyebabkan banjir membawa bersama sisa kumbahan berkenaan melimpah ke rumah penduduk.
Salah seorang penduduk, Osman Darus berkata, masalah itu bukan sahaja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian tetapi dikhuatiri akan mengancam kesihatan penduduk dalam tempoh jangka masa panjang.
"Pada masa ini pun sudah ada penduduk yang mengadu sering sesak nafas kerana bau dari ladang tersebut terlalu busuk, kadang-kadang kita hendak makan pun hilang selera.
"Penduduk kampung sudah lama bersabar ekoran aduan demi aduan yang diajukan kepada pihak berkuasa umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng di sini baru-baru ini.
Osman berkata, penduduk kampung juga terpaksa mengharungi saat meloyakan apabila banjir yang membawa sisa buangan najis babi melimpah masuk ke rumah mereka.
Seorang peniaga di kampung itu, Mohd. Subakir Remun, 52, pula berkata, masalah bau busuk semakin menjejaskan perniagaan kedai makan miliknya apabila sering menerima rungutan daripada para pelanggan.
"Kami minta agar pemilik ladang sensitif dan memahami masalah ini kerana perkara ini bukan perkara baru malah sudah dibangkitkan sejak lebih 20 tahun. Ia sudah jadi beban sehingga hendak berniaga pun susah," katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak 40 tahun lalu.
Pandangan itu disokong seorang lagi penduduk, Ahmad Shaari, 57, yang berpendapat, sistem pengairan sedia ada perlu diubah bagi memastikan sisa-sisa kumbahan najis dari ladang tersebut dialihkan ke tempat lain.
Menurutnya, masalah sistem pengairan dan perparitan yang tidak sempurna di kawasan itu memburukkan lagi keadaan terutamanya pada musim hujan yang menyebabkan banjir kilat.
Sementara itu, Tee Beng berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik ladang itu, Ong Chin Hee yang bersetuju untuk membersih dan mendalamkan sistem perparitan di kawasan tersebut.
Selain itu, Chin Hee juga bersetuju untuk mengalihkan sistem saliran sedia ada bagi membolehkan air sisa kumbahan najis dari ladangnya boleh dialihkan ke tempat lain.
"Tetapi perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri supaya meluluskan agar sisa kumbahan sedia ada disalurkan ke tempat lain," jelasnya.

Pengawal keselamatan Istana Kelantan meninggal





Maznah Mustafa (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika menunggu jenazah suaminya, Allahyarham Ramli Mohd. di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 19 Mei - Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd., 50, yang ditembak penyerang misteri ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada 1 Mei lalu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.23 pagi di sisi isterinya, Maznah Mustafa dan lima orang anaknya selepas 19 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.
Jenazah Ramli dibedah siasat pakar forensik yang tiba daripada Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Masjid Muhammadi selepas solat Maghrib untuk disembahyangkan dan dikebumikan di kampung halamannya di Kok Keli, Tumpat.
Allahyarham merupakan bekas tentera dan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan secara kontrak dengan Istana Kelantan sejak 17 tahun lalu.
Berikutan itu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra mahu polis meletakkan keutamaan kepada kes Allahyarham.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad yang memaklumkan titah itu berkata, baginda berharap polis akan dapat menemui petunjuk bagi menyelesaikan segera kes pembunuhan itu.
"Pemangku Raja Kelantan amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan baginda berharap polis dapat meletakkan keutamaan kepada kes ini.
"Baginda juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ramli," katanya kepada pemberita di Rumah Mayat HRPZ II.
Pemangku Raja turut merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor-doktor pakar di HRPZ II yang selama ini telah bertungkus lumus memberikan rawatan terbaik kepada Allahyarham.
Semalam, Ramli dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan baginda telah menziarahi Allahyarham malam tadi dan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada keluarga Ramli.
Ramli ditembak pada pukul 12.25 tengah malam 1 Mei lalu oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang di Tumpat.
Sehingga kini, motif kejadian tersebut masih menimbulkan tanda tanya walaupun polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Peguam syarie mesti beragama Islam





JAMIL Khir Baharom (depan, empat, kiri) bergambar bersama Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka selepas Istiadat Penyampaian Pentauliahan di Istana Negara, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Mei - Peguam syarie di Mahkamah Syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, syarat tersebut termaktub dalam peraturan dan enakmen Mahkamah Syariah.
Menurutnya, rasional ditetapkan Islam sebagai asas untuk menjadi peguam syarie bukan sahaja disebabkan penggunaan dalil dan ayat-ayat al-Quran oleh peguam ketika di mahkamah.
Sebaliknya, jelas beliau, banyak lagi sebab lain berkaitan agama yang memerlukan peguam syarie beragama Islam untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah.
''Kita tidak menghalang, cuma, ada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk seseorang itu menjadi peguam syarie.
''Mereka ini mesti beragama Islam. Ini bukan boleh buat suka-suka. Kita bercakap soal peraturan,'' katanya ketika ditemui selepas meninjau Masjid Negara yang akan dibaik pulih, di sini hari ini.
Turut sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Jamil Khir mengulas mengenai seorang wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lepas dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan.
Hakim, Datuk Mohd. Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.
Victoria, 48, diberi tempoh 14 hari untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut. Tarikh bagi pendengaran kes itu masih belum ditetapkan.
Victoria yang memperoleh diploma dalam Undang-Undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, pihaknya tidak mengetahui agenda di sebalik permohonan itu, namun, ia secara jelas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
''Sama ada kita setuju atau tidak, peraturan (syarat) ini tidak dipatuhi. Kalau tidak dipatuhi, bagaimana kita hendak setuju,'' ujarnya.
Mengenai tindakan Victoria yang akan mencabar keputusan hanya peguam beragama Islam boleh menjadi peguam syarie di mahkamah, Jamil Khir berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan tuntutan itu.

Wednesday, May 19, 2010

UMNO P. Pinang tetap adakan ceramah



PULAU PINANG 18 Mei - Badan Perhubungan UMNO negeri akan terus menganjurkan ceramah untuk mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng walaupun berhadapan pelbagai cabaran.
Ketua Penerangannya, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan menggunakan segala kesempatan dan kemudahan yang ada untuk membongkar kelemahan kerajaan negeri ini.
Menurutnya, UMNO akan memperhebatkan penganjuran ceramah di seluruh negeri mengikut cara yang betul iaitu dengan memohon permit daripada pihak polis kerana mereka juga berhak untuk bersuara.
Beliau yang kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Balora Mastika di Pekan Kongsi, Balik Pulau Sabtu lalu untuk penganjuran ceramah, menyifatkan tindakan itu sebagai bacul.
''Kerajaan negeri takut kita bongkar cerita mereka sebab itu mereka double standard dengan batalkan program kita tiba-tiba, mereka ini memang tidak layak cakap pasal kebebasan media.
''Tidak mengapalah, tidak kira macam mana hebat tekanan yang kerajaan negeri beri, UMNO tetap akan anjurkan ceramah ini secara berterusan, tak boleh guna dewan kita guna cara lain," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim di sini hari ini.
Akhbar ini pada 16 Mei lalu melaporkan, kerajaan negeri pada saat-saat akhir telah membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Balora Mastika di Pekan Kongsi bagi penganjuran program Pentas Pemuda UMNO.
Akibat tindakan itu, penganjur terpaksa meneruskan program dengan menjadikan sebuah lori sebagai pentas serta kawasan lapang di depan dewan yang dikunci dan bergelap itu sebagai lokasi baru ceramah.
Ceramah disampaikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam.
Polis turut merekodkan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin, semalam.

Azhar tidak takut digantung



PULAU PINANG 18 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim sudah bersedia malah tidak takut menghadapi kemungkinan digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka membincangkan kesnya Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu berkata, beliau tidak akan patah semangat hanya kerana perkara itu disebabkan masih boleh membuat kenyataan dan bersuara menerusi saluran yang betul di luar.
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan pakatan pembangkang terhadap dirinya sebagai tidak betul kerana menurutnya apabila seseorang hendak dirujuk ke jawatankuasa itu, ia perlu dibuat serta- merta.
''Bukan seperti mereka buat, bila dah habis bahas kemudian keluar minum lepas itu bila masuk balik baru nak buat usul, ini memang tidak betul, malah usul tersebut pun tidak dibahas tapi tiba-tiba bangun sokong usul dan habis.
''Kerajaan negeri tak perlu cakap pasal cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), pasal kebebasan, CAT 'tahi kucing', kerajaan negeri ini memang macam itu, siapa kritik tak puji mereka mesti kena tindakan.
''Jadi, kalau nak rujuk, silalah rujuk, mereka yang buat tuduhan dan bukan rujuk saya, mereka buat keputusan dan majoriti hakim juga mereka kerana kita hanya ada tiga berbanding mereka lima," katanya di sini hari ini.
Azhar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Speaker DUN, Datuk Halim Hussain bahawa beliau dijangka dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Julai ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan dirujuk ke jawatankuasa tersebut kerana didakwa melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbau hasutan ketika hari terakhir persidangan pada 6 Mei lalu.
Beliau dikatakan menggunakan perkataan '13 Mei' ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, tindakan ke atas dirinya itu adalah kerana mahu menutup mulutnya ekoran kelantangan beliau mengkritik dan mencungkil kelemahan pentadbiran Guan Eng
''Lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat di negeri ini, Barisan Nasional (BN) tidak pernah merujuk mana-mana ADUN pakatan pembangkang ke jawatankuasa itu sedangkan kritikan dan kutukan mereka lebih dahsyat," katanya.

Dua ADUN digantung 12 bulan





KUCHING 18 Mei - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang digantung daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selama 12 bulan berkuat kuasa serta merta hari ini.
Dominique Ng Kim Ho (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Padungan) dan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung atas kesalahan yang dilakukan semasa sidang DUN, Mei tahun lalu.
Dominique digantung kerana menghina Dewan dengan mengeluarkan kenyataan 'Kanggaroo Court' manakala Chieng Jen membuat tuduhan liar terhadap Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman.
Kedua-dua kes tersebut kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan DUN sebelum keputusan penggantungan dibuat menerusi kiraan undi daripada ahli dewan berdasarkan sistem kiraan majoriti.
Seramai 61 ahli terlibat dengan pengundian iaitu 53 ahli bersetuju dengan penggantungan Dominique manakala tujuh menentang dan satu undi lagi berkecuali.
Sementara itu, seramai 60 ahli dewan mengundi berhubung penggantungan Chieng Jen iaitu 54 bersetuju manakala enam lagi menentang.
Keputusan penggantungan kedua-dua ADUN berkenaan kemudiannya diumumkan Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar.

Boikot barangan yahudi


Palestin pulau barangan Yahudi

Seorang lelaki Palestin membuang barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan haram yahudi di tebing barat ke dalam api sebagai menyokong kempen memulaukan barangan yahudi di kampung Salfit, Tebing Barat, semalam. - AP


RAMALLAH 18 Mei - Rakyat Palestin hari ini memperhebatkan kempen untuk memulaukan barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan haram Yahudi dengan melakukan kunjungan rumah ke rumah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengharaman itu di seluruh Tebing Barat.
Penyelaras kempen, Haitham Kayali berkata, kempen rumah ke rumah itu adalah sebahagian daripada kempen kebangsaan untuk mengharamkan produk dari kawasan penempatan Yahudi.
"Hari ini kempen rumah ke rumah bermula di semua bandar di Palestin," katanya.
Menurut Kayali, 3,000 belia Palestin akan melawat kira-kira 427,000 rumah di seluruh Tebing Barat bagi mengedarkan risalah yang menyenaraikan barangan yang diharamkan dan memaklumkan kepada keluarga Palestin tentang bahaya barangan tersebut kepada perjuangan mereka untuk menuntut kemerdekaan.
Mereka kemudian akan menggantung sepanduk di luar rumah terlibat untuk mengesahkannya sebagai bebas daripada barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan Yahudi.
Rakyat Palestin menganggap kehadiran kira-kira 500,000 pendatang haram Yahudi di lebih 120 kawasan penempatan haram di seluruh Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis sebagai ancaman besar terhadap perjuangan mereka untuk menegakkan sebuah negara Palestin.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas bulan lepas meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan perdagangan barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan Yahudi, berikutan kempen selama beberapa bulan yang melibatkan pembakaran produk itu di khalayak ramai.
Mereka yang didapati bersalah menjual beli barangan dari kawasan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan denda sebanyak AS$22,000 (RM70,400).
Kempen rumah ke rumah itu dijalankan oleh Dana Karameh (Maruah), yang diwujudkan untuk meningkatkan ekonomi Palestin dan membantu mereka yang terjejas kehidupannya disebabkan sekatan ke atas perdagangan dengan kawasan penempatan Yahudi. - AFP

Mahkamah jatuh hukum hari ini





Bung Mokhtar bersama Zizie Izzette meninggalkan pekarangan mahkamah selepas keputusan kes ditangguhkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat, dekat Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Mei - Kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isterinya, pelakon, Zizie Izette menjurus kepada kesalahan prosedur perkahwinan bukan jenayah.
Tindakan dua orang abang dan seorang adik lelaki pelakon itu bersama dua rakan Bung Moktar menjadi wali serta saksi pula adalah untuk mengelakkan berlakunya maksiat.
Oleh yang demikian, kesemua mereka memohon agar dikenakan bon berkelakuan baik atau denda yang minimum berbanding hukuman penjara.
Itu merupakan antara rayuan yang dikemukakan oleh pasangan itu dan saksi-saksi kepada pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini hari ini.
Kesemua mereka mengemukakan rayuan tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan masing-masing ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 20 April lalu.
Bagaimanapun, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menangguhkan sehingga esok untuk menjatuh hukuman bagi membolehkannya meneliti rayuan dan hujah pihak pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh dua pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zusyafarain Yusof dan Shafezan Rosli. Kesemua tertuduh diwakili peguam syarie, Amli Embong.
Bung Moktar atau nama sebenar, Moktar Radin, 51, menghadapi tuduhan berpoligami dengan Zizie tanpa kebenaran mahkamah.
Zizie atau nama penuhnya Zizie Izette A. Samad, 32, pula didakwa bernikah dengan suaminya tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Daerah Gombak Timur.
Pasangan itu juga mengaku saling bersubahat antara satu sama lain dalam majlis pernikahan pada pukul 8.50 malam, 16 Disember tahun lalu di sebuah rumah beralamat No. 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati dekat sini.
Pada majlis pernikahan itu, Bung Moktar memberikan mas kahwin RM80, wang hantaran RM31,000 dan sebentuk cincin berlian serba satu.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 124 dan Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang memperuntukan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika bernikah dengan pemegang watak utama drama 'Aduhai Esah', Bung Moktar mempunyai seorang lagi isteri, Datin Nor Asidah Alimudin yang dikahwininya sejak 24 Ogos 1991.
Hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama selama 19 tahun, Bung Moktar dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Khairulnizam, Mohd Kurniawan Naim, Nor Khairunisah dan Nur Safurah.
Abang Zizie yang juga wali pada majlis perkahwinan itu, Datuk Ahmad Shahazmi, 42, bersama dua lagi adiknya, Samzy Fuzette, 34, dan Shaheizy Sam, 28, mengaku bersubahat dengan adik ipar mereka yang berpoligami tanpa kebenaran pada masa, hari dan tempat yang sama.
Turut mengaku bersalah atas tuduhan sama ialah dua rakan Bung Moktar iaitu Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56.
Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 134 enakmen sama yang turut membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ahmad Shahazmi, Samzy Fuzette dan Shaheizy Sam, masing-masing turut menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan.
Ahli perniagaan itu dituduh mengakad nikah adik perempuannya itu tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Daerah Gombak Timur manakala Samzy Fuzette dan Shaheizy Sam pula didakwa bersuhabat dengan abang mereka dengan menjadi saksi.
Sementara itu, pihak pendakwaan membantah kesemua tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik kerana mahkamah perlu mengutamakan kepentingan ummah berbanding peribadi.
Hukuman yang bakal dikenakan perlu mengangkat martabat undang-undang syariah agar ia digeruni, tegas pihak pendakwaan.
Oleh itu, mereka memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada kesemua tertuduh tetapi juga kepada masyarakat agar kesalahan itu tidak menjadi ikutan.
Prosiding hari ini juga menarik perhatian sekumpulan wanita daripada gabungan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan demonstrasi aman di perkarangan mahkamah seawal pukul 8.20 pagi.
Demonstrasi itu diadakan kerana mereka tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar berpoligami tanpa melalui prosedur yang sepatutnya.
Bung Moktar bagaimanapun tidak menghiraukan kumpulan itu yang dilihat beria-ia cuba mengambil perhatiannya dengan menggoyang-goyangkan sepanduk masing-masing.
Salah seorang daripada ahli kumpulan itu juga dilihat sempat bertanyakan soalan kepada Zizie ketika di dalam mahkamah sama ada pernikahan mereka diketahui oleh isteri pertama Bung Moktar.
Zizie dengan tenang menjawab: ''Ya, dia tahu dan dia izinkan.''
Sejurus selepas mahkamah menangguhkan prosiding kira-kira pukul 11.30 pagi, pasangan itu dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah sambil 'diiringi' oleh kumpulan NGO tersebut.
Sambil ditenangkan oleh isterinya, Bung Moktar sempat berseloroh dengan kumpulan tersebut dengan berkata: ''Jumpa awak semua esok.''

Tuesday, May 18, 2010

PERGI PERANG JANGAN LUPA BAWA KONDOM !


Askar wanita Britain diarah bawa kondom 

KABUL - Askar wanita yang akan ke Afghanistan diarahkan Kementerian Pertahanan Britain supaya membawa kondom selepas peningkatan kehamilan yang membimbangkan semasa misi ketenteraan. 

Iklan di dalam sebuah majalah tentera memberi amaran kepada askar wanita supaya mengambil langkah perlindungan kerana terdapat `50 lelaki untuk setiap wanita’. 

Peraturan ketenteraan di Britain melarang askar mengadakan hubungan seks di kawasan perang. 

Namun menurut pegawai tentera, larangan itu diabaikan sekiranya hubungan seksual itu berlaku antara askar berpangkat sama dan tidak mendatangkan kesan kepada operasi. 

Statistik menunjukkan 133 askar wanita hamil di Afghanistan dan Iraq daripada Januari 2003 hingga Februari tahun lepas.

Awas! 4 penyamun ada di Sik, Kedah

Tembak perut


Oleh Mohamad Hussin

2010/05/18
ALOR SETAR: Sekumpulan penyamun yang berpura-pura menjual getah beku bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah pekerja kedai getah menyebabkan mangsa cedera parah di perut dalam satu kejadian samun membabitkan kerugian RM10,000 di Kampung Sungai Senam, Sik, semalam.
.PARAH...Md Zahir dirawat  di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas terkena tembakan di perut.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Md Zahir Md Ariff, 34, yang berasal dari Kampung Lubuk Tualang, Sik, ditembak di perutnya dari jarak dekat oleh seorang daripada empat suspek yang sebelum itu berpura-pura membawa 17 kilogram (kg) getah beku untuk dijual.

Difahamkan, selepas menimbang getah dibawa suspek, mangsa masuk ke dalam kedainya mengambil wang bagi membuat pembayaran, sebelum disamun dan ditembak dengan pistol buatan sendiri.

Suspek melepaskan dua das tembakan ke arah rakan mangsa, namun tersasar.

Mangsa sempat bergelut dengan suspek walaupun terkena tembakan sebelum rebah berlumuran darah akibat cedera parah di perut.
Dia dihantar ke Hospi untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, keempat-empat penyamun berusia antara 20 hingga 30-an itu menaiki dua motosikal berhenti di depan kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Zaidong Mustafa, berkata ketika kejadian mangsa yang juga anak saudara kepada pemilik kedai itu menjalankan kerja harian bersama pekerja warga Bangladesh sebelum didatangi empat suspek.

Beliau berkata, empat lelaki menaiki dua motosikal pergi ke kedai getah berlesen di Kampung Sungai Senam, Sik, menjual getah beku 17kg.

“Ketika mangsa membuka laci mengambil wang dan membuat bayaran, tiba-tiba seorang daripada suspek menembak mangsa dari jarak dekat menyebabkan salah satu daripada tiga das tembakan terkena perut mangsa.

“Rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal berikutan suspek melepaskan tembakan ke arahnya.

“Suspek melarikan diri bersama wang tunai RM10,000, manakala mangsa dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Zaidong berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, isteri mangsa, Firiani Bustaman, 32, berkata dia menyedari mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan rakan suaminya yang menghubunginya sejurus kejadian itu.

“Saya terkejut selepas mendengar berita suami ditembak. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana suami selamat cuma cedera di perut.

“Dia baru empat bulan bekerja dengan bapa saudaranya,” katanya.

Awas! 5 penyamun ada di Kuantan sekarang!





Pemandu lori rugi RM7,000 disamun 5 lelaki


KUANTAN: Seorang pemandu lori kelapa sawit mengalami kerugian sebanyak RM7,000 selepas rumahnya di Kota Gelangi Tiga, Jerantut dimasuki lima penyamun bersenjatakan parang awal pagi tadi.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Noor Asyikin Shamsuri berkata ketika kejadian kira-kira 2.15 pagi itu mangsa, 37, bersama isteri dan empat anak mereka serta ayah pemandu lori tersebut sedang tidur di ruang tamu.
"Suspek yang dipercayai warga Indonesia masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang, mangsa yang tersedar daripada tidurnya kemudian bangun dan cuba melawan tetapi gagal," kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek turut mengacukan parang ke leher mangsa dan mengikat pasangan suami isteri tersebut manakala empat lagi menggeledah bilik tidur mangsa.

Katanya, kejadian itu bagaimanapun tidak disedari empat anak mereka dan ayah pemandu lori terbabit yang masih tidur.

"Kumpulan penyamun itu kemudian melarikan diri selepas mengambil komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai milik pemandu lori tersebut yang kesemuanya bernilai RM7,000," katanya.-Bernama

Pelukis kartun yang menghina Rasulullah hidup dalam keadaan bahaya




http://www.voa-islam.com/photos/felix2.jpg
STOCKHOLM
Polis Sweden  pada Minggu lepas  16/05/2010 telah menangkap seorang yang dipercayai terlibat  dengan pembakaran rumah pelukis Lars Felix yang membuat lukisan kartun  menghina Nabi Muhammad SAW.
Polis mengatakan mereka menangkap seorang warga Sweden  keturunan Kosovo berusia 21 tahun di bandar Andskrona Selatan, pada hari Sabtu di rumahnya sekitar 40 km dari rumah pelukis tersebut.
Bahagian depan rumah pelukis tersebut mengalami  sedikit kerosakan ketika rumah tersebut dilempar bom petrol  yang menyebabkan  salah satu tirai rumah terbakar , semasa peristiwa tersebut berlaku pelukis tersebut tidak berada di dalam rumah berkenaan.
Serangan ini adalah yang serangan kedua selama seminggu yang dialami Felix, yang pada tahun 2007  dia membuat lukisan kartun Nabi Muhammad SAW  dalam bentuk penghinaan terhadap Rasulullah SAW, yang mengundang banyak ancaman terhadap dirinya.
Felix melaporkan kepada pemberita "dia hidup dalam keadaan bahaya yang besar dan nyata":  Saya tidak boleh lagi  tinggal di rumah ini.
Felix awal minggu ini mengalami sebuah serangan semasa  memberikan kuliah umum di Universitas Uppsala, dimana seorang lelaki dari barisan pertama selama kuliah disampaikan datang menghampirinya dan memukul kepalanya.
Difahamkan terdapat  satu pertubuhan tentera di  Iraq  yang mempunyai  hubungan dengan Al-Qaeda pada bulan August  tahun lalu menjanjikan hadiah 100 ribu dolar bagi sesiapa sahaja yang dapat membunuh Felix.

Bagimana umurmu dihabiskan? Susun gambar 8 tahun!


Hampir 8 tahun susun gambar


HARRIS duduk di tepi susunan kepingan gambar lukisan pada abad ke-19 yang mengambil masa hampir lapan tahun untuk diselesaikan di rumahnya.


SHEPTON MALLET, Britain - Seorang pesara yang berumur 86 tahun, Jack Harris menghabiskan masa hampir lapan tahun untuk menyiapkan satu susun suai gambar lukisan yang berukuran 1.52 meter panjang di rumahnya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Setelah pesara itu menganggap semua 1,500 kepingan gambar sudah disusun, dia kemudiannya berdiri untuk mengagumi kejayaannya.
Namun, semasa berdiri itu, dia mendapati kemungkinan seekor anjing telah memakan sekeping gambar terakhir yang sepatutnya diletakkan di satu ruang kosong pada susun suai gambar berkenaan.
Seorang menantu perempuan pesara itu, Eve Harris berkata, bapa mentuanya berasa amat sedih kerana dia tidak dapat melengkapkan gambar susun suai itu.
"Dia (bapa mentuanya) berasa amat kecewa setelah mendapati sekeping gambar telah hilang," katanya.
Keluarga Haris percaya kepingan gambar terakhir itu mungkin tercampak secara tidak sengaja.
Menantu perempuannya itu memberikan kepingan susun suai gambar itu sebagai hadiah Hari Krismas pada 2002.
Pesara itu yang merupakan bekas ahli perniagaan diberikan pelbagai jenis kepingan susun suai pada setiap tahun dan dia akan menyelesaikan susunan gambar berkenaan pada musim panas.
Namun, kata Harris, susun suai lukisan cat pada abad ke-19 itu terpaksa diselesaikan selama tujuh setengah tahun kerana ia berbeza dengan susun suai gambar yang pernah dilakukannya sebelum ini. - Agensi

Dah jumpa punca gula tak ada


Sorok lebih 5.5 metrik tan gula


LEBIH 5.5 metrik tan gula didapati disimpan di dalam kedai runcit ini yang terletak 
di Jalan Yahya Ahmad, Dungun ketika serbuan dilakukan semalam.


KUALA TERENGGANU - Dua lelaki ditahan kerana didapati menyorok sebanyak 5.5 metrik tan gula setelah sekian lama menipu pelanggan termasuk memaksa mereka menunjukkan sijil nikah ketika hendak membeli gula.
Perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki berusia 40-an dan lewat 50-an itu terbongkar apabila kedai mereka yang terletak di Jalan Yahya Ahmad, Dungun dekat sini diserbu pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Serbuan dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Dungun diketuai oleh Ahmad Mahmood serta dibantu oleh lima anggota polis.
"Kami terkejut kerana mendapati hampir separuh ruang kedai dipenuhi stok gula bernilai kira-kira RM9,000 pada hal sebelum ini mereka kata tiada gula.
"Kami juga terkejut kerana peniaga runcit pada kebiasaannya menyimpan gula sebanyak 100 kilogram pada satu-satu masa,'' kata Ahmad ketika dihubungi Kosmo! semalam.

BN tewas tipis

BN tewas tipis
SESAK...pengundi memenuhi halaman 
pusat mengundi, semalam.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng, 50, meraih 18,845 undi manakala Hui Yew, 45, memperoleh 18,447 undi dengan Narawi hanya memperoleh 232 undi dan sekali gus hilang wang pertaruhan.Pengumuman keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Wong See Meng, kira-kira jam 10.55 malam tadi.
Pilihan raya parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Parlimen Sibu memiliki 54,695 pengundi berdaftar dengan 2,537 daripadanya adalah pengundi pos. Peratusan keluar mengundi adalah sekitar 70 peratus.
Mengikut pecahan peratus pengundi, 66 peratus adalah pengundi Cina diikuti Melayu, 17 peratus, Iban (15 peratus), Orang Ulu (0.11 peratus), Bidayuh (0.5 peratus) manakala lain-lain pengundi, 0.14 peratus.
Ho Leng adalah Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, di sini.
Beliau berkelulusan undang-undang dari Inner Temple, Inns of Court, School of Law, London manakala Narawi pula adalah bekas tentera yang kini seorang ahli perniagaan.

Hui Yew pula adalah Penolong Bendahari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu dan sepupu kepada penyandang kerusi berkenaan, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew dan adalah lepasan undang-undang dari Hull University, London.

Belum baligh lagi


Syed Ali tempelak Nik Aziz

KUALA LUMPUR 17 Mei - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menganggap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "meludah ke langit dan terkena muka sendiri" kerana tidak tahu membezakan antara kebenaran dan kemungkaran di dalam politik.
Menurutnya, Menteri Besar Kelantan itu boleh disifatkan sebagai pemimpin politik yang cemas melihatkan sokongan kepada parti pembangkang ketika ini semakin terhakis.
"Beliau hanya mahu wakil rakyat pembangkang dijadikan seperti kerbau dicucuk hidung dan boleh ditarik ke kiri atau ke kanan tanpa banyak bantahan.
"Mujurlah sekarang ini sudah ramai wakil rakyat pembangkang keluar parti kerana sedar dengan penyelewengan dan penipuan oleh pemimpin mereka," ujar Syed Ali dalam blog UMNO Bahagian Cheras, http://umnobahagiancheras.blogspot.com/.
Menurut beliau lagi, jika ada wakil rakyat daripada parti menyokong kerajaan menyertai pembangkang khususnya Pas, sudah tentu Nik Abdul Aziz memberi gelaran yang baik kepada mereka.
Bagaimanapun katanya, apabila pembangkang keluar parti, Nik Abdul Aziz akan memberi gelaran buruk termasuk terbaru menganggap ahli Parlimen yang melompat parti sebagai "belum baligh".
Kata Syed Ali lagi, soal keluar parti bukan bermakna seseorang itu belum matang tetapi berlaku kerana seseorang itu tahu akan parti yang diwakilinya tidak amanah kepada rakyat.
"Beliau bercakap tanpa menggunakan akal fikiran yang matang malah mahu setiap percakapannya dijadikan fatwa walaupun bercanggah dengan kebenaran,'' katanya.
Menurut Syed Ali, jika Nik Abdul Aziz amanah dengan tanggungjawab yang diberi, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengeliru dan menyesatkan fikiran rakyat.
"Pemimpin pembangkang yang berada dalam keadaan jahil berpolitik seperti Nik Aziz sebenarnya menjadi beban kepada parti sehingga menimbulkan kekecewaan kepada wakil rakyat mereka," ujarnya.
Tambah Syed Ali, ahli Pas turut keliru dengan pendirian Nik Aziz, apakah beliau bercakap itu dalam keadaan sedar atau sekadar melepaskan geram kerana kecewa dengan kemerosotan pengaruh politik partinya.

Tolong bantu mereka yang susah


Ibu tunggal jadi tukang cuci sara 5 anak

KUALA TERENGGANU 17 Mei - "Jika diingat masa lalu, memang sedih. Kami sekeluarga pernah makan sebiji telur dikongsi beramai-ramai kerana tidak cukup wang untuk membeli lauk."
Begitulah luahan Fatimah Salleh, 48, ibu tunggal yang kini menyara lima orang anaknya setelah kematian suami 10 tahun lalu.
Dia yang berasal dari Kedai Buluh, Bukit Payung dekat sini mengakui, mereka putus tempat bergantung apabila suaminya, Shafie Botak, 55, meninggal dunia kerana menghidap penyakit buah pinggang.
Sejak itu ujarnya, dia terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada lima anaknya yang masih bersekolah dengan bekerja sebagai tukang cuci dan sapu di sebuah syarikat swasta dengan gaji RM400 sebulan.
"Memang saya bertekad untuk menghantar anak-anak ke sekolah walau apa cara sekalipun. Saya tidak mahu pelajaran mereka terabai walaupun kami hidup susah.
"Namun kerana tidak cukup wang, anak saya yang sulung terpaksa berhenti sekolah ketika dia memasuki tingkatan empat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jelasnya, dia yang mempunyai lima orang anak itu terpaksa berulang-alik ke bandar dengan menaiki bas awam sejauh 11 kilometer untuk ke tempat kerja di bandar Kuala Terengganu setiap hari.
Walaupun dia terpaksa memerah keringat setiap hari namun dia sedikit pun tidak pernah mengeluh kerana mengingatkan tanggungjawab suaminya yang meminta dia menjaga anak-anaknya dengan baik.
"Walaupun kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan kadang-kadang terpaksa meminta belas ihsan orang namun tidak sesekali saya akan abaikan anak-anak saya.
"Saya juga bersyukur kerana anak-anak saya memahami dan tidak pernah meminta apa-apa sekalipun melihat kanak-kanak lain mempunyai basikal untuk ke sekolah," jelasnya.
Menurut wanita itu, kehidupan dia sekeluarga kini semakin bertambah baik apabila anak keduanya kini membantu keluarganya dengan menjadi pengajar di sebuah kolej swasta di negeri Johor.