Wednesday, October 2, 2013

Korea Selatan pamer peluru berpandu


Peluru berpandu Hyeonmu-3 yang mampu mencapai jarak 1,000 kilometer, dipamerkan semasa perarakan ulang tahun ke-65 penubuhan Angkatan Tentera Korea Selatan di Seongnam, semalam. - AFP
SEOUL 1 Okt. - Korea Selatan hari ini mempamerkan peluru berpandu balistik Hyeonmu-2 dan Hyeonmu-3 yang direka untuk menyasarkan meriam dan peluru berpandu jarak jauh Korea Utara.
Seoul pada masa sama berikrar untuk meningkatkan usaha pencegahan terhadap jiran mereka yang sukar diramal itu.
Peluru berpandu Hyeonmu-2 dan Hyeonmu-3, masing-masing dengan kemampuan jarak sejauh 300 kilometer dan 1,000 kilometer dipamerkan kepada khalayak umum buat pertama kali pada satu perarakan tentera Korea Selatan yang jarang diadakan.
Kedua-dua peluru berpandu buatan tempatan itu mula didedahkan pada Februari lalu apabila Korea Utara mengadakan ujian peluru berpandu yang mengingkari amaran antarabangsa, dua bulan selepas kejayaan mereka melancarkan roket jarak jauh dan menghantar objek ke angkasa lepas.
"Kita mesti membina satu pencegahan anti-Korea Utara yang kuat sehingga negara itu menggugurkan senjata nuklearnya dan membuat pilihan yang tepat untuk rakyatnya dan keamanan semenanjung Korea,'' kata Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye semasa satu perbarisan sempena ulang tahun ke-65 penubuhan Angkatan Tentera Korea Selatan.
Turut hadir, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Chuck Hagel yang menyaksikan perarakan itu dari sebuah podium di lapangan terbang tentera di selatan Seoul.
Hagel yang dalam rangka lawatan empat hari ke Korea Selatan, turut melawat sempadan negara ini, semalam.
Menurutnya, AS tidak mempunyai rancangan untuk mengurangkan jumlah tentera Amerika di Korea yang kini berjumlah 28,500 orang.- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131002/lu_06/Korea-Selatan-pamer-peluru-berpandu#ixzz2gZxTXSGP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kerajaan Amerika Syarikat lumpuh


WASHINGTON 1 Okt. - Pejabat Pengurusan dan Bajet White House semalam mengarahkan sebahagian agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup selepas Kongres gagal meluluskan satu bajet persekutuan khas bagi mengelak kegagalan fungsi kerajaan, kali pertama seumpamanya dalam tempoh 17 tahun.
Pengarahnya, Sylvia Mathews Burwell berkata, agensi-agensi kini diarah melaksanakan rancangan penutupan ekoran ketiadaan peruntukan.
Arahan itu dikeluarkan 10 minit sebelum 12 tengah malam tadi (12 tengah hari waktu Malaysia) di mana kerajaan AS secara rasminya tiada peruntukan selepas sehari Dewan Perwakilan yang didominasi Parti Republikan dan Dewan Senat yang kerusi majoriti dipegang oleh Parti Demokrat, gagal meluluskan bajet khas tersebut.
Keadaan itu berlaku selepas Parti Republikan menggesa perubahan dilakukan ke atas rang undang-undang penjagaan kesihatan negara sebagai pertukaran kepada persetujuan mereka ke atas bajet khas berkenaan, namun ia ditolak oleh Presiden, Barack Obama dan Parti Demokrat.
Beberapa jam sebelum 12 tengah malam tadi, Dewan Senat dengan undian 54-46 menolak satu usul oleh Dewan Perwakilan berhubung rang undang-undang bajet sementara yang membolehkan bajet khas itu diluluskan.
Penolakan itu dibuat kerana rang undang-undang bajet sementara tersebut turut menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang penjagaan kesihatan selama setahun dan membatalkan pelaksanaan cukai ke atas peralatan perubatan.
Penutupan agensi-agensi kerajaan itu melibatkan kira-kira 800,000 kakitangan yang diberikan cuti tanpa gaji sehingga bajet tersebut diluluskan.
Tindakan itu juga menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (RM3.23 bilion) seminggu.
Antara agensi dan jabatan terlibat dengan penutupan itu termasuklah Jabatan Pertahanan membabitkan 400, 000 kakitangan, Jabatan Perdagangan (30,000), Jabatan Pengangkutan (18,481) dan Jabatan Tenaga (12,700).
Namun, bahagian kritikal kerajaan lain termasuk agensi ketenteraan, kawalan trafik udara dan kuasa serta senjata nuklear akan kekal beroperasi.
Jabatan Negara juga terus beroperasi memproses permohonan visa rakyat asing selain kedutaan serta konsulat masih meneruskan perkhidmatan kepada rakyat di luar negara.
Obama berkata, kegagalan fungsi kerajaan akan segera memberi kesan kepada rakyat dengan beratus ribu kakitangan kerajaan perlu bercuti daripada tugas selain pusat veteran, taman negara, kebanyakan agensi angkasa lepas dan operasi kerajaan lain akan terganggu.
Beliau menyalahkan Parti Republikan yang cuba menggunakan bajet tersebut untuk memenuhi janji yang sukar dicapai kepada sayap parti berhaluan kanan mereka. - AFP/AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131002/lu_03/Kerajaan-Amerika-Syarikat-lumpuh#ixzz2gZvxPr8i
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 beranak tinggal serumah

16 beranak tinggal serumahKediaman ini tidak layak dipanggil rumah namun, 16 beranak itu terpaksa bertahan.

MACHANG - Sekali pandang, pasti ramai beranggapan rumah didiami 16 beranak di Kampung Kuala Ayer Merah dekat sini, itu rumah tinggal dan tidak berpenghuni.

Hakikatnya, 16 nyawa berlindung dari panas dan hujan di rumah itu sekalipun menyedari mereka diancam bahaya rumah runtuh saban hari.

Ketua keluarga, Mohd Hadthi Zakaria, 41, berkata, dia sekeluarga tinggal di rumah itu sejak 11 tahun yang lalu, selepas pulang ke kampung halaman isterinya.

Menurutnya, dengan pendapatan sebagai penoreh getah kira-kira RM25 sehari, dia tidak mampu membaiki atau menyediakan rumah yang lebih baik untuk keluarganya biarpun menyedari anak-anaknya sangat memerlukan tempat berlindung yang lebih selesa.

“Anak-anak saya masih kecil, hanya tiga daripada mereka tidak bersekolah dan selebihnya sedang belajar, termasuk seorang di universiti. Saya terpaksa utamakan perbelanjaan persekolahan dan makan pakai mereka berbanding membaiki rumah ini.

“Lagipun rumah ini perlu dibaiki secara keseluruhan atau dibina baru. Struktur rumah ini sudah reput dimakan anai-anai, kosnya bukan sedikit sedangkan makan minum kami seharian pun, saya dan isteri terpaksa berjimat,” katanya.

Mohd Hadthi berkata, dia sekeluarga tidak tahu ke mana mahu mengadu nasib mereka dan terpaksa bertahan dari hujan dan panas biarpun mempunyai tempat tinggal.

Katanya, rumah yang diduduki keluarganya itu tidak layak dipanggil rumah namun, mereka tidak punya pilihan termasuk menyewa rumah akibat kesempitan wang.

Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa menumpang mandi dan mendapatkan bekalan air serta elektrik daripada rumah mertuanya yang terletak berdekatan.

“Kalau hujan lebat, anak-anak saya akan berlari ke rumah mertua saya dan duduk di beranda rumah untuk berlindung memandangkan rumah kami juga daif. Jika tidak, mereka tidur atau duduk dalam hujan sekalipun berada di dalam rumah.

“Rumah ini menjadi tempat kami tidur dan makan sahaja, selebihnya kami banyak habiskan masa di luar rumah memandangkan lantai rumah ini juga reput. Pernah terjadi anak-anak jatuh ke bawah rumah ketika tidur,” katanya.

Mohd Hadthi berkata, selain menoreh getah, dia turut mencari pendapatan tambahan dengan mengusahakan ‘prebet sapu’ di sekitar kampung namun, tidak banyak yang mampu diusahakannya.

Katanya, isterinya, Zurina Fauzi, 37, juga turut membantunya menoreh getah dengan menghantar anak bongsu mereka yang berusia setahun di bawah jagaan ibu mertuanya demi sesuap nasi.

“Saya bimbangkan masa depan anak-anaknya yang masih kecil, terutamanya yang sedang belajar. Mereka tidak mendapat kemudahan seperti orang lain.

“Anak-anaknya tidak dapat  belajar dengan baik kerana tidak mempunyai ruang dan bekalan elektrik untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

“Saya sangat berharap ada pihak sudi membantu kami. Cukuplah sekadar tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk anak-anak agar mereka dapat belajar dengan baik seterusnya mengubah nasib keluarga kami,” katanya.

Agensi kerajaan AS diarah tutup

Agensi kerajaan AS diarah tutupPengangguran terus meningkat berikutan agensi kerajaan AS ditutup.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Agensi-agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) diarah tutup selepas Kongres gagal meluluskan satu bajet khas, semalam.

Pengarah Pengutusan dan Bajet Rumah Putih, Sylvia Mathews Burwell berkata, penutupan itu dilakukan bagi mengelakkan kegagalan fungsi pentadbiran.

“Kerajaan tidak mempunyai peruntukan cukup. Kini Kongres perlu bertindak segera meluluskan resolusi jangka pendek bagi membolehkan bajet fiskal dari baki tahun ini digunakan,” katanya.

Menurutnya, kelulusan bajet itu penting bagi memulihkan operasi perkhidmatan awam yang sedang kritikal.

Arahan tersebut dikeluarkan kira-kira 10 minit sebelum kewangan kerajaan AS habis dibelanjakan selepas sehari perdebatan di Dewan Perwakilan yang didominasi Parti Republikan dan Dewan Senat yang menyaksikan kerusi majoriti dipegang oleh Parti Demokrat.

Ia adalah penutupan separuh tahun pertama kerajaan AS sejak 17 tahun.

Lebih daripada 700,000 kakitangan awam kini mendapat cuti tanpa gaji dan tiada jaminan ganti rugi dari kerajaan, laporan dipetik dari AP.

Senarai hitam kontraktor bina Hospital Serdang


2013/10/02
 
Pelabuhan Klang: Kerajaan akan menyenarai hitam kontraktor yang bertanggungjawab membina Hospital Serdang jika siasatan mendapati pembinaannya tidak mematuhi kod reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata satu kumpulan pakar sudah ditubuhkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyiasat punca kejadian terbabit dan laporan mengenainya dijangka diperoleh pada hujung bulan ini.
Boleh ambil tindakan mahkamah

“JKR sudah memberi nasihat kepada Kementerian Kesihatan mengenai langkah yang perlu diambil. Kalau kesalahan di peringkat kontraktor, kita boleh ambil tindakan seperti senarai hitam dan tindakan mahkamah terhadap kontraktor yang bina hospital ini.

“Tetapi, kita juga akan tengok sama ada kalau kumpulan pakar atau pihak reka bentuk yang tidak betul atau pelaksanaan kontrak yang tidak betul. Semua perkara ini akan kita tengok selepas selesai siasatan forensik.

“Kalau ia babitkan kumpulan profesional, kita akan serah kepada pihak yang sepatutnya kerana arkitek, jurutera atau juru ukur bahan mempunyai badan tersendiri untuk uruskan hal seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Seksyen 3 rangkaian Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) menghubungkan persimpangan Teluk Panglima Garang ke persimpangan Pulau Indah di sini, semalam.

Tuesday, October 1, 2013

Turki tarik balik larangan pakai tudung


Recep Tayyip Erdogan

ANKARA 30 Sept. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini mengumumkan akan menghentikan pengharaman pemakaian tudung dalam kalangan wanita di institusi kerajaan.
Pengumuman itu adalah sebahagian daripada usul pakej pembaharuan hak asasi manusia oleh kerajaan yang telah lama ditunggu-tunggu.
Peraturan baharu itu bagaimanapun tidak akan digunapakai untuk institusi kehakiman dan tentera.
Erdogan dalam pada itu turut mengumumkan rancangan untuk memulangkan harta biara milik etnik Assyria Kristian yang dirampas oleh negara ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_07/Turki-tarik-balik-larangan-pakai-tudung#ixzz2gSrpCAIe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Komander MNLF dipercayai masih hidup


Manila: Mayat yang ditemui bersama kad pengenalan Habier Malik, komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang mengetuai serangan di Zamboanga baru-baru ini disahkan bukan mayat pemimpin kanan itu.

Pegawai Kebangsaan Filipina berkata, kami dimaklumkan orang yang memiliki lad pengenalan itu bukan Habier.


Pegawai kanan keselamatan Filipina, Alan Purisima memberitahu wartawan, pihaknya berusaha mendapatkan bukti sama ada memang habier yang terbunuh.

Anggota tentera menemui kad pengenalan Habier dalam pakaian seorang pemberontak yang mati.


Wajah mangsa sama seperti Habier hingga mencetus spekulasi dia terbunuh.


Purisima berkata, pihaknya kini mengumpul bukti DNA untuk mengenal pasti mangsa.

Terdapat laporan lain mengatakan Malik meninggalkan Zamboanga sebelum tentera melancarkan opeerasi membersih saki-baki pemberontak, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Wanita hamil 13 janin


Baghdad: Seorang wanita Iraq yang berusia awal 40-an hamil dengan 13 janin walaupun sudah melahirkan tujuh anak termasuk anak kembar sejak dia berkahwin 24 tahun lalu.

Suaminya, Fadhil Al Azawi yang juga peladang dari wilayah tengah Salahuddin berkata, ujian perubatan menunjukkan isterinya mengandungkan 13 janin selepas lima tahun tidak hamil.


Fadhil berkata, dia berkahwin dengan seorang lagi wanita tahun lalu selepas isterinya gagal hamil lagi. “Saya gembira dengan kehamilan isteri saya tetapi pada masa yang sama saya juga bimbang bagaimana untuk menjaganya. “Berita isteri saya mengandungkan 13 janin cukup mengejutkan. Saya kini sibuk menguruskan persediaan untuk menyambut kelahiran bayi. Saya mungkin satu-satunya bapa yang mempunyai anak kembar 13,” katanya. Pakar sakit puan di Hospital Takreet, Dr Mikdam Al Jabouri berkata, ujian imbasan menunjukkan wanita itu hamil dengan 13 janin. “Ujian awal menunjukkan empat daripada janin itu sudah mati kerana jantung mereka tidak lagi berdenyut, manakala yang lain dalam keadaan baik.

“Si ibu juga dalam keadaan baik dan ini adalah kes kehamilan paling jarang ditemui. Bagaimanapun, kami menjangka lebih banyak janin akan mati pada awal peringkat kehamilan dan mungkin jumlah yang lahir kelak kecil saja,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Dua jeneral AS di Afghanistan diarah bersara


 
WASHINGTON: Pasukan Marin Amerika Syarikat (AS) hari ini mengarahkan dua jeneral di Afghanistan supaya bersara kerana gagal mempertahankan markas tentera daripada diserang Taliban, tahun lalu.

Jeneral berpangkat dua bintang itu didakwa bertanggungjawab menyebabkan dua askar marin AS terbunuh dengan beberapa pesawat musnah.
Komandan Pasukan Marin AS, Jeneral James Amos, berkata beliau membuat keputusan itu selepas menilai hasil siasatan selama empat bulan yang dijalankan terhadap kes berkenaan.

Lima belas pejuang Taliban menyerang dan mengambil alih Kem Bastion di barat daya Afghanistan pada September 2012.

Amos berkata beliau meminta Mejar Jeneral Charles M. Gurganus dan Mejar Jeneral Gregg A. Sturdevant supaya bersara dan mereka bersetuju berbuat demikian.

Gurganus adalah komander tentera bersekutu di barat daya Afghanistan manakala Sturdevant adalah komander Marin Udara AS di wilayah sama. - AP 

Monday, September 30, 2013

Memandu boleh rosakkan ovari?

Memandu boleh rosakkan ovari?Memandu didakwa boleh beri kesan sampingan kepada golongan wanita.

RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang ulama terkemuka di Arab Saudi mendakwa bahawa memandu boleh memberi kesan sampingan kepada golongan wanita termasuk merosakkan ovari selain menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah klinikal.

Jumaat lalu, dalam satu wawancara yang dipaparkan di dalam laman sesawang sabq.org, Sheikh Saleh al-Lohaidan turut menyokong hujahnya itu bersama dengan kajian perubatan yang menunjukkan perbuatan memandu sebenarnya memberi kesan secara terus kepada ovari selain menolak pelvis ke atas.

"Perkara ini dapat dilihat dengan jelas kerana wanita yang memandu secara kerap biasanya akan mempunyai anak yang mengalami pelbagai masalah klinikal," jelasnya menurut laporan Reuters.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan daripada tindakan beberapa aktivis yang mengadakan kempen baru untuk membantah larangan tersebut pada 26 Oktober depan.

India gelar Pakistan pusat keganasan


 
New York: Pakistan perlu menghentikan aktiviti keganasan di wilayahnya, kata Perdana Menteri India, Manmohan Singh ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), kelmarin.

Sambil menyifatkan Pakistan sebagai 'pusat keganasan', Manmohan juga menegaskan, India tidak akan sekali-kali bertolak ansur dalam isu Kashmir.
Tolak desakan Nawaz

Ucapan berkenaan dianggap menolak sama sekali desakan Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif menyelesaikan isu Kashmir mengikut resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Sebaliknya, beliau menyokong penyelesaian semua isu berdasarkan Perjanjian Simla.

“India sedia menyelesaikan semua isu dengan Pakistan termasuk Jammu Kashmir menerusi dialog dua hala mengikut Perjanjian Simla Agreement,” katanya kerana India menganggap resolusi PBB tidak lagi berguna.

Singh berkata, keganasan masih ancaman terbesar kepada keselamatan dan kestabilan ialah keganasan yang mengorbankan ramai mangsa tidak berdosa.
“Dari Afrika ke Asia, kita lihat bukti ancaman ini sejak beberapa hari lalu saja,” katanya merujuk kepada serangan dekat Jammu, Khamis lalu, dan di Nairobi, Kenya.

Keganasan tajaan

“Keganasan tajaan kerajaan di seberang sempadan paling membimbangkan India dan kenyataannya, pusat keganasan di rantau kami ialah negara Pakistan,” katanya.

Singh, bagaimanapun, sedia menyelesaikan semua isu termasuk Jammu Kashmir menerusi dialog dua hala.

“Bagaimanapun, jika kemajuan dicapai, adalah penting wilayah Pakistan tidak digunakan untuk membantu keganasan terhadap India. - AGENSI

Pertempuran baru tercetus di Filipina

Pertempuran baru tercetus di FilipinaBeberapa anggota tentera berkawal berhampiran sebuah rumah yang musnah akibat pertempuran di bandar Zamboanga, kelmarin.

MANILLA - FILIPINA.Pertempuran di bandar selatan Zamboanga dilaporkan kembali tercetus, semalam selepas tentera meneruskan operasi memburu saki-baki anggota kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Operasi itu turut menyebabkan tiga anggota puak pemisah tersebut maut manakala enam askar cedera.

"Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan kami kerana mereka cuba melarikan diri selepas ditangkap. Bagaimanapun, kami berjaya mengawal ancaman tersebut," kata jurucakap tentera, Ramon Zagala kepada AFP.

Susulan daripada insiden itu, seramai 189 anggota MNLF dilaporkan terkorban manakala 292 ditahan atau menyerah diri.

Kelmarin, tentera mengisytiharkan krisis selama tiga minggu itu sudah berakhir selepas 195 tebusan berjaya dibebaskan.

7 lagi pemberontak MNLF dibunuh


PASUKAN tentera melambai tangan kepada penduduk dari bumbung sebuah masjid selepas berjaya menawannya semula di bandar pelabuhan Zamboanga, Filipina semalam.


MANILA - Pasukan tentera dan polis khas Filipina semalam membunuh tujuh lagi pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dalam beberapa pertempuran di bandar pelabuhan Zamboanga yang menyaksikan krisis tebusan berlanjutan selama hampir tiga minggu.
Enam pemberontak dibunuh ketika bersembunyi di dalam sebuah rumah di kejiranan Santa Barbara dan enggan menyerah diri.
Seorang lagi dibunuh dalam satu pertempuran yang tercetus di Rio Hondo, satu daripada lima komuniti yang ditawan oleh hampir 500 orang anggota MNLF sejak 9 September lalu.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ra- mon Zagala memberitahu, pihaknya juga menemui tujuh laras senapang dan satu pelancar bom tangan.
Walaupun konflik di Zamboanga sudah berakhir, Zagala bagaimanapun menegaskan bahawa keadaan masih lagi berbahaya untuk penduduk pulang ke rumah masing-masing, sehinggalah pasukan tentera selesai menjalankan operasi pembersihan.
Kelmarin, pegawai Kementerian Pertahanan Filipina dan tentera mengumumkan bahawa konflik itu sudah berakhir. Ia juga menyatakan, 195 penduduk kampung yang dijadikan perisai manusia telah diselamatkan.
Dianggarkan seramai 4,000 anggota tentera dan polis berjaya membunuh 190 orang pemberontak manakala 292 yang lain ditangkap atau menyerah diri selepas mereka kepenatan, selain kehabisan makanan dan peluru.
Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar memberitahu, dewan bandar raya dibuka semula pada hari ini. Pihaknya juga sedang merancang untuk membina semula komuniti yang terjejas teruk selepas hampir 10,000 buah rumah dibakar oleh pemberontak atau musnah dalam pertempu- ran.
Pemberontakan paling berdarah itu berlaku berikutan MNLF menuduh Manila mungkir janji kerana mengadakan rundingan dengan kumpulan pemisah terbesar di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gJmbKRB2 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, September 29, 2013

Wanita misteri hilang di celah dinding

Wanita misteri hilang di celah dindingAzim merakamkan lokasinya bertemu dengan wanita berpakaian kilang dan hilang di celah lubang kecil.

SUNGAI NIBONG - Pengalaman terserempak dengan wanita berpakaian kilang dan kemudiannya menghilangkan diri di celah dinding mungkin tidak dapat dilupakan seorang lelaki.

Dia yang dikenali dengan nama Azim berkongsi kisah berkenaan kepada Sinar Harian.

Azim berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di bawah jejantas Sungai Nibong kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, ketika itulah dia terpandang wanita berpakaian kilang duduk di atas batu dengan wajahnya yang begitu muram.

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

“Pada mulanya saya terkejut kenapa dia lari dan bergegas saya mengejarnya kerana bimbang keadaan yang amat gelap di situ, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ruang berkenaan begitu sempit iaitu sebesar ibu jari saya saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu terus membelenggu dalam ingatan Azim sehingga kini.

Sama seperti Azim, rakannya, Zul turut melalui pengalaman yang sama ketika jam 3 pagi apabila terserempak dengan wanita berpakaian kilang sama seperti yang dilihat Azim.

Zul berkata, dia terserempak dengan wanita itu setiap tiga malam berturut-turut dan pada masa yang hampir sama.

“Hari ketiga saya bertekad untuk memandang mukanya, apabila saya nampak mukanya, ada raut persis wanita Indonesia tapi dalam keadaan yang amat sugul dan menyedihkan, apa lagi, terus saya memandu laju,” katanya.

Ketika berkongsi kisah berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, lokasi berkenaan dipercayai menjadi kawasan panas kemalangan jalan raya.

Ada yang beritahu ada kanak-kanak sekolah yang dilanggar beberapa kali di situ hingga menemui ajal.

Tun Dr. M sangkal laporan The Economist mengenai Mukhriz

PUTRAJAYA 29 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyangkal laporan The Economist bahawa anaknya Datuk Mukhriz akan menjadi ancaman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya beliau menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO kelak.
Dr. Mahathir berkata, majalah kewangan yang berpejabat di London, United Kingdom itu tidak boleh memikirkan sebarang perkara baik untuk ditulis terhadap sesiapa pun.
"Di Malaysia, kita (anggota politik) tidak mengamalkan budaya jahat itu... iaitu menyingkirkan sesiapa," katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
The Economist, dilaporkan berkata jika Mukhriz yang juga menteri besar Kedah menang, beliau akan diajak oleh kumpulan anti-Najib sebagai proksi bapanya dan kemudiannya seorang perdana yang lemah boleh digulingkan melalui satu gerakan dalaman.
Ditanya mengenai pandangan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu ceramah baru-baru ini bahawa kerajaan perlu menyemak semula perjanjian dengan Sabah dan Sarawak dalam memastikan kepentingan dua negeri itu dilindungi selepas membantu pembentukan Malaysia, beliau berkata: "Kerajaan telah menguruskan perkara itu."
Bagaimanapun, Dr. Mahathir enggan mengulas lanjut mengenainya.
Terdahulu, beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali membaca buku cerita kepada kanak-kanak di perpustakaan yang terletak di dalam bangunan yayasan itu dan melawat gerai pameran di sana.
Selepas menghadiri hari terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana, beliau dan isteri turut menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Sirkit Pancing Putrajaya siri ketiga tahun 2013 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia anjuran Perbadanan Putrajaya di Tasik Presint 8 di sini.
Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang sirkit pancing itu.
Nik Nazriariffin Nik Hassan, 34, muncul juara dengan memenangi hadiah pertama berjumlah RM7,000 setelah menangkap ikan tenggalan seberat 3.1 kilogram (kg).
Tempat kedua yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 dimenangi Mohd Akmal Hashim, 26, dengan tangkapan ikan tenggalan seberat 2.4 kg, manakala tempat ketiga dimenenangi Rosli Chik Mat, 45, yang memenangi hadiah wang tunai RM3,000 selepas menaikkan ikan tenggalan seberat 1.9 kg.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130929/dn_27/Tun-Dr-M-sangkal-laporan-iThe-Economisti-mengenai-Mukhriz#ixzz2gHXOlNgw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemberontak MNLF tewas

Pemberontak MNLF tewasSETIAUSAHA Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar Roxas (tengah) dan Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire Gazmin (kanan) meninjau kawasan pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak MNLF di Zamboanga semalam. - Foto AFP

Kempen tentera kerajaan Filipina ke atas pemisah berakhir

MANILA: Kempen tentera kerajaan Filipina ke atas pemberontak yang menentang rundingan damai, berakhir semalam, dengan hampir 500 militan terbunuh atau ditahan, manakala 200 tebusan dibebaskan di selatan negara itu.

“Ancaman ke atas Zamboanga sudah berakhir. Tiada lagi kubu musuh yang tinggal,” kata jurucakap tentera Leftenen Kolonel Ramon Zagala.
Beliau berkata, polis akan mengambil alih kawalan keselamatan daripada tentera untuk ‘membersihkan’ pusat perdagangan wilayah yang dikuasai Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan memburu pemimpin gerila Nur Misuari yang masih bebas.


Tentera berkata, Nur Misuari yang mengasaskan MNLF pada awal 1970an, menghantar beratus-ratus pengikutnya diketuai Leftenen Habier Malik, ke Zamboanga tiga minggu lalu dalam usaha melengahkan rundingan sebuah lagi kumpulan pemisah Islam yang menjadi pesaingnya.

Sejumlah 183 pemberontak terbunuh, manakala 292 lagi ditahan sepanjang pertempuran yang berlarutan sejak tiga minggu lalu. Bagaimanapun Misuari dan Malik gagal ditemui. Kerajaan percaya Misuari bersembunyi di sebuah kawasan lain di wilayah selatan.

Zagala berkata pihak berkuasa sedang memeriksa identiti beberapa lelaki bersenjata yang terbunuh untuk mengenal pasti jika Malik adalah salah seorang daripada mereka.

Jabatan kehakiman juga mengumumkan rancangan untuk memfailkan pertuduhan ke atas pemberontak yang ditahan termasuk Misuari. Seramai 23 askar dan polis selain 12 orang awam terbunuh dalam pertempuran itu.
Militan menahan sejumlah tebusan ketika mereka menawan beberapa daerah di pesisir pantai Zamboanga yang mempunyai sejuta penduduk. Kerajaan menghantar 4,500 tentera untuk menentang mereka.

Lebih 10,000 rumah turut dibakar dalam pertempuran sengit di jalanan yang memaksa lebih 100,000 orang atau satu persepuluh daripada jumlah penduduk Zamboanga melarikan diri.

Pegawai kerajaan Filipina berkata, pihaknya percaya bahawa semua 195 tebusan yang ditahan kumpulan pemisah sama ada berjaya melarikan diri, dibebaskan atau diselamatkan pasukan bersenjata. - AFP

Pendek kerana kurang minum susu


2013/09/29
Bangkok: Golongan muda Thailand kebiasaannya pendek kerana mereka tidak minum banyak susu, kata Menteri Kesihatan Awam, Pradit Sintawanarong.

Ini berdasarkan kajian kementerian berkenaan yang mendapati purata ketinggian remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun ialah 167.1 sentimeter, manakala bagi perempuan, 157.4 sentimeter.
Kurangnya amalan minum susu dipercayai punca utama mengapa ketinggian mereka begitu, kata Dr Pradit.

Penduduk Thai kurang minum susu berbanding di negara lain di Asia Tenggara dengan purata 14 liter susu seorang setiap tahun.

Ini berbanding dengan kadar purata negara lain serantau sebanyak 60 liter manakala kadar antarabangsa, 103.9 liter setahun, katanya lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Thailand, Pornthep Siriwanarangsan, berkata pihak kementerian merancang untuk menaikkan kadar ketinggian remaja lelaki Thai berusia 18 tahun kepada 175 sentimeter dan 162 sentimeter bagi remaja perempuan.

Kementerian itu juga mahu mempromosi amalan menyusu bayi bagi enam bulan pertama selepas kelahiran selain kanak-kanak minum dua hingga tiga gelas susu sehari, manakala yang lebih tua, dua gelas sehari, kata Dr Pradit. - AGENSI

5 maut serang hendap di Narathiwat


NARATHIWAT 28 Sept. - Seramai empat anggota polis dan seorang penduduk kampung terbunuh dan 12 lagi cedera akibat satu serangan hendap yang dilancarkan kumpulan pemisah di wilayah selatan Thailand, semalam.
Pegawai polis, Kapten Prachaup Nimruang berkata, konvoinya bersama 15 anggota diserang kira-kira 20 anggota pemisah ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas menyiasat kes letupan bom di daerah Ruso.
"Seorang penduduk terbunuh selepas memandu kereta di lokasi kejadian berbalas tembakan antara pihak keselamatan dan kumpulan pemisah.
"Empat anggota polis maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ketika dalam perjalanan untuk memberi bantuan kepada kami yang sedang bertempur dengan kumpulan bersenjata terbabit," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_09/5-maut-serang-hendap-di-Narathiwat#ixzz2gEi50thB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas ratu cantik hina Islam dalam poster


ANTWERP 28 Sept. - Pereka kasut terkemuka, Christian Louboutin hari ini memohon perintah injunksi agar satu kempen anti-Islam dihentikan, selepas mendapati produknya digunakan dalam poster kempen itu.
Bekas Ratu Cantik Belgium 1991, Anke Van Dermeersch (gambar) yang juga Senator dari Parti Vlaams Belang, kini giat menjalankan kempen menentang pendatang asing terutamanya orang Islam.
Dalam poster kempennya yang bertajuk 'Wanita menentang Keislaman', Van Dermeersch dilihat memakai sepasang kasut tinggi Louboutin hitam dengan tapak berwarna merah, sambil mengangkat skirt berwarna hitam yang dipakainya.
Ia jelas menunjukkan bahagian kaki Senator itu yang tertera perkataan menghina Islam antaranya perkara berkaitan 'kesesuaian Syariah' diletakkan di paras buku lali, manakala 'hukuman merejam' di bahagian paha.
Van Dermeersch yang tampil ke mahkamah Antwerp hari ini, turut dilihat memakai kasut sama seperti digunakan dalam poster kempen anti-Islam tersebut.
Louboutin yang menjalankan perniagaan beribu pejabat di Paris mendakwa, poster itu menjejaskan imej jenama kasut mewahnya yang turut dipakai oleh bintang terkenal seperti Victoria Beckham, Rihanna, Kim Kardashian dan Kate Moss. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_08/Bekas-ratu-cantik-hina-Islam-dalam-poster#ixzz2gEhsz4fx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peserta Filipina dinobat Miss World 2013


Peserta Filipina, Megan Young dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ratu cantik Miss World di Nusa Dua, Bali, Indonesia semalam.-AP


NUSA DUA, Bali - Peserta Filipina, Megan Young dinobat sebagai Miss World dalam pertandingan ratu cantik berkenan yang berlangsung di sini semalam.
Young mengenepikan lima finalis lain termasuk peserta Perancis dan Brazil.
Acara berprestij itu disiarkan secara langsung di lebih 180 negara.
Kemenangannya diumumkan ketika kawalan keselamatan dipertingkatkan ekoran siri bantahan oleh kumpulan radikal Islam di Indonesia sejak beberapa minggu lalu.
Terdahulu, beratus-ratus orang Islam mengadakan solat hajat semalam sebagai memprotes pertandingan ratu cantik antarabangsa itu
Solat hajat itu disertai oleh beratus-ratus anggota Barisan Pembela Islam (FPI) yang berhimpun di sebuah masjid di Sentul, pinggir bandar raya Jakarta.
"Indonesia jelas tentang pendiriannya berhubung pertandingan Miss World, kami menolaknya di negara ini atau di mana sahaja," kata seorang anggota FPI, Ustad Maman.
Pertandingan akhir Miss World kali ini menampilkan 129 peserta dari seluruh dunia.
Sejak beberapa minggu lalu ribuan penduduk Islam mengadakan protes jalanan di seluruh Indonesia untuk mengecam acara itu yang dilabel sebagai 'pertandingan jalang' dan 'pornografi'.
Terdahulu, beberapa kedutaan asing di Indonesia memberi amaran acara berkenaan berisiko menjadi sasaran serangan pengganas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2gDzijJSu 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, September 28, 2013

Muhammad Ali jadi mangsa intipan NSA


2013/09/28
Washington: Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) secara sulit memasang alat curi dengar pada telefon pengkritik Perang Vietnam termasuk lagenda tinju Muhammad Ali dan pejuang kulit hitam Martin Luther King selain dua senator yang masih bertugas.

Dokumen rahsia mendedahkan perkara itu kepada Senator Amerika Syarikat.
NSA terpaksa mendedahkan beberapa perenggan penting termasuk aktiviti pengintipan ketika Perang Dingin.

Sekat sentimen anti Vietnam

Keterangan itu meliputi tahun 1960-an dan 1970-an sebagai cubaan menyekat sentimen anti Vietnam yang meningkat.

Ia termasuk pengintipan melalui telefon dan kabel dua senator, Franck Church, ahli Idaho dari Demokrat dan Senator Republikan, Howard Baker, yang menyokong Perang Vietnam ketika itu.

NSA juga memintas komunikasi dari luar negara termasuk perbualan wartawan Tom Wicker dari New York Times dan penulis satira popular Washington Post, Art Buchwald.
Muhammad Ali diletakkan dalam senarai pemantauan mulai 1967 selepas menyuarakan tentangan terhadap Perang Vietnam dan gelarannya ditarik balik serta diharamkan bertinju, berikutan enggan menyertai tentera secara sukarela. - AGENSI

White Widow diburu

Samantha Lewthwaite
Samantha Lewthwaite


LONDON - Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita warga British yang digelar White Widow dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di pusat beli-belah di Kenya.

Jurucakap Interpol berkata, Samantha Lewthwaite, 29,  ialah isteri kepada Germaine Lindsay, salah seorang daripada empat suspek pengebom nekad yang menyerang rangkaian pengangkutan awam di London pada Julai 2005 sehingga mengorbankan 52 orang.

“’Notis merah’ itu dikeluarkan atas permintaan pihak keselamatan Kenya dengan melabelkan beliau sebagai individu paling dikehendaki.

Difahamkan, laporan dipetik dari AP beliau juga dikatakan terbabit dalam memiliki bahan letupan dan konspirasi dalam beberapa serangan bom di Kenya mulai Disember 2011.

Menurutnya, bagaimanapun, notis Interpol itu tidak menyebut sama ada Lewthwaite terbabit dalam kejadian menawan kompleks beli-belah di Nairobi .

Tentera Filipina terus gempur

Tentera Filipina terus gempurTentera masih menggempur di bandar Zamboanga untuk menahan serpihan pengikut MNLF.

ZAMBOANGA - FILIPINA. Tentera Filipina meneruskan operasi menggempur kumpulan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di selatan Filipina.

Jurucakap tentera Ramon Zagala berkata, sekurang-kurangnya 45 pengikut kumpulan Komander Habier Malik ditahan dalam keadaan kepenatan dan sebilangan mereka menyerah diri.

“Pada dasarnya mereka tewas. Operasi pembersihan ini dijangka berakhir tidak lama lagi memandangkan kumpulan itu kekurangan peluru dan bekalan makanan.

Sementara itu, laporan dipetik dari AFP, Jabatan Kehakiman Filipina  akan mendakwa Pengerusi MNLF, Nur Misuari kerana memberontak dan melanggar Akta republik 9851 atau Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa berhubung serangan di bandar Zamboanga.

Presiden Benigno Aquino III sebelum itu berkata, kerajaan memiliki saksi yang boleh membuktikan Misuari terlibat dalam serangan MNLF di Zamboanga.

Aktivis dakwa Sudan bunuh 50 penunjuk perasaan


KHARTOUM 27 Sept. - Beberapa kumpulan hak asasi kemanusiaan hari ini menuduh kerajaan Sudan menembak mati kira-kira 50 penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi membantah pemotongan subsidi minyak di negara ini.
Menurut Pusat Kajian Keadilan dan Keamanan Afrika yang berpangkalan di London, kesemua penunjuk perasaan itu ditembak di kepala dan di dada dalam demonstrasi yang berlaku pada Selasa dan Rabu lalu.
"Menurut beberapa sumber tempatan dan kumpulan aktivis, jumlah korban itu berkemungkinan lebih tinggi daripada jumlah yang dinyatakan," jelas kumpulan tersebut menerusi satu kenyataan.
Media tempatan semalam melaporkan, sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_07/Aktivis-dakwa-Sudan-bunuh-50-penunjuk-perasaan#ixzz2g8IAU5zE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Al-Shabaab didakwa seksa tebusan


Beberapa anggota tentera Kenya berkawal di luar pasar raya Westgate di Nairobi, Kenya kelmarin. - AFP
NAIROBI 27 Sept. - Kumpulan militan al-Shabaab yang menyerang sebuah pasar raya, di sini baru-baru ini, didakwa menyeksa tebusan termasuk merogol, mencacatkan dan memenggal kepala tebusan, lapor sebuah akhbar Kenya, hari ini.
Akhbar The Star yang memetik kenyataan sumber perubatan melaporkan, pemeriksaan ke atas mayat-mayat tebusan di pasar raya Westgate, lokasi serangan itu dilancarkan, mendapati banyak mangsa diseksa sebelum mereka dibunuh atau meninggal dunia.
Seorang doktor berkata, antara kekejaman yang dilakukan oleh al-Shabaab adalah mengorek mata tebusan, memotong telinga, hidung dan jari mangsa serta hidung mangsa dikepit menggunakan playar.
"Ini bukanlah satu dakwaan, sebalik apa yang benar-benar berlaku dalam krisis tebusan selama empat hari itu," kata doktor itu.
Bagaimanapun, laporan doktor yang berkhidmat dalam pasukan polis itu masih belum dapat disahkan.
Doktor terbabit yang enggan dikenali itu dikerah ke lokasi kejadian pada awal pagi kelmarin bagi merawat dan menilai situasi krisis tersebut.
Polis Kenya meminta orang ramai bersabar ketika mereka bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dari lokasi kejadian dan menyiasat keadaan.
Menteri Dalam Negeri Kenya, Joseph Ole Lenku, sebelum ini turut memaklumkan bahawa kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mayat mungkin mengambil masa sehingga seminggu. - AGENSI
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas orang ramai melahirkan kemarahan terhadap tindakan pihak berkuasa Kenya merahsiakan situasi sebenar krisis berkenaan.
Dalam kejadian yang bermula pada Sabtu lalu, sekumpulan militan al-Shabaab menyerbu pasar raya Westgate dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai serta menahan sejumlah tebusan.
Seramai 61 orang awam, enam anggota keselamatan dan lima militan disahkan terbunuh sepanjang krisis empat hari itu, manakala sebanyak 71 orang lagi dilaporkan masih hilang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_03/Al-Shabaab-didakwa-seksa-tebusan#ixzz2g8HkxebA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nur Misuari akan didakwa


Sebahagian daripada anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang ditahan tentera Filipina dalam operasi pembersihan kumpulan pemisah tersebut di Zamboanga City, Filipina, semalam. - REUTERS
ZAMBOANGA 27 Sept. - Jabatan Kehakiman Filipina, hari ini akan mengemukakan dakwaan terhadap ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari atas kesalahan melakukan pemberontakan, ekoran serangan kumpulan bersenjata itu ke atas bandar Zamboanga pada pertengahan bulan ini.
Jabatan itu berkata, Nur Misuari akan didakwa di bawah Akta Republik 9851 atau Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa berhubung melancarkan serangan di bandar Zamboanga yang menyaksikan lebih 100 orang maut.
Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima telah menghantar pasukan khas pendakwa raya ke bandar Zamboanga bagi menguruskan proses memfailkan dakwaan ke atas Misuari dan anggota MNLF yang terlibat melancarkan serangan tersebut.
Presiden Benigno Aquino III, sebelum ini berkata, kerajaan mempunyai saksi yang boleh membuktikan Misuari terlibat dalam serangan MNLF di Zamboanga yang berlanjutan lebih dua minggu.
Sementara itu, tentera Filipina, semalam menahan sekurang-kurangnya 70 anggota MNLF dan menembak mati enam yang lain, ketika kumpulan bersenjata itu cuba menawan beberapa perkampungan di bandar ini.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, kebanyakan anggota MNLF yang ditahan berada dalam keadaan keletihan dan kekurangan peluru.
Katanya, kesemua mereka ditahan atau menyerah diri ketika pertempuran di beberapa perkampungan di tepi pantai yang mereka tawan sejak 9 September lalu selepas tentera mematahkan serangan mereka ke atas Zamboanga.
Menurut Zalaga, tentera perlu membersihkan sepenuhnya kawasan perkampungan itu daripada kumpulan bersenjata MNLF, sebelum mengisytiharkan insiden serangan di bandar itu berakhir.
"Sasaran utama kini ialah menahan komander kumpulan tersebut, Habier Malik dan beberapa pengikutnya yang tidak diketahui jumlahnya.
"Pada dasarnya mereka telah pun ditewaskan dan kumpulan itu kini tidak lagi memiliki peluru, makanan dan semangat untuk berperang tetapi mereka masih perlu ditahan," tegas Zalaga.
Setakat ini, tentera berjaya membunuh 138 anggota kumpulan MNLF dengan 162 lagi ditahan atau menyerah diri dalam operasi tentera menumpaskan kumpulan bersenjata itu.
Tentera Filipina dalam pada itu berjaya menyelamatkan kumpulan tebusan terakhir yang ditawan oleh kumpulan bersenjata MNLF di Zamboanga.
"Kami telah menyelamatkan enam tebusan terakhir, sekali gus menjadikan mangsa tebusan yang telah diselamatkan meningkat kepada 195 orang," ujar Zalaga. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_01/Nur-Misuari-akan-didakwa#ixzz2g8Bu7IVV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isteri Mat Yo mohon maaf

Isteri Mat Yo mohon maafSiti Aisya nafi sebar video, mohon orang ramai henti cemuh suami

Kuala Lumpur: "Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.

“Saya percaya, kebenaran kes ini akan terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku,” kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12 September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.


“Saya tidak mengetahui mengenai penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?

Dua individu miliki video

“Ramai menyangka saya yang menyebarkan video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Siti Aisya yang tertekan susulan kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
“Malah, masyarakat menuduh tindakan saya memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.

“Jujur saya katakan, saya hormat orang tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran sebenar akan timbul,” katanya sambil menangis.

Insiden kekecohan membabitkan isteri kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar secara meluas sejak Selasa lalu.

Rakaman selama 54 saat itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Tak terlintas saman

Siti Aisya turut meminta masyarakat tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya, sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.

Ditanya sama ada beliau bertindak menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas video berkenaan mula tersebar.

Al-Shabab mengaku sasar warga asing


2013/09/27
Bunuh bukan Islam antara objektif serangan di Kenya

Johannesburg: Kumpulan al-Shabab yang menyerang pasar raya Westlake di Kenya menyifatkan orang asing adalah 'sasaran yang sah'.

Ia juga mengesahkan laporan saksi mengatakan penyerang membebaskan orang Islam tetapi membunuh atau menjadikan pengunjung bukan Islam sebagai tebusan.
Dalam satu komunikasi emel, al-Shabab berkata: "Pihak mujahidin membuat pemeriksaan teliti di pasar raya itu bagi memisahkan orang Islam daripada kafir sebelum melakukan serangan."

Menurut laporan sebelum ini, saksi berkata, penyerang mengumpul pengunjung pasar raya, bertanya sesuatu mengenai agama Islam sebelum menyuruh pengunjung Muslim keluar.

Menggunakan senapang

Seramai 18 warga asing maut termasuk enam dari Britain, Perancis, Kanada, Trinidad, Belanda, Australia, Peru, India, Ghana, Afrika Selatan dan China.

Sebaik masuk ke pasar raya itu, penyerang membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak menggunakan senapang dan bom selain mengambil tebusan.
Angka kematian ketika ini ialah 72 orang dan mungkin keningkat kerana mayat belum ditemui masih ada dalam pasar raya itu.

Al-Shabab mengancam membalas dendam tindakan Kenya menghantar askar ke Somalia untuk menyerang kumpulan itu.

Kumpulan itu mengancam tindakan balas ke atas Kenya kerana menghantar askar ke Somalia bagi menentang al-Shabab.

Ditanya sama ada al-Shabab benar-benar mahu membunuh orang asing, kumpulan itu berkata: “Sasaran kami ialah menyerang Kerajaan Kenya di wilayahnya, mana-mana kawasannya adalah sasaran sah dan Kenya mesti memikul tanggung-jawab atas kehilangan nyawa, orang asing atau tempatan,” katanya.

Al-Shabab bermaksud 'Belia' dalam bahasa Arab. Kumpulan itu sudah melancarkan serangan bom di Somalia terhadap tentera dan sasaran kerajaan selain pengeboman sebuah kolej, restoran dan lokasi lain.

Lewat malam kelmarin, pemimpin al-Shabab buat kali pertama mengesahkan kumpulan itu bertanggungjawab menyerang Westlake.

Dalam satu audio di laman web al-Shabaab - www.somalimemo.net, Ahmed Godane atau Mukhtar Abu al-Zubayr berkata, serangan itu sebagai membalas pencerobohan Kenya di selatan Somalia bagi menghancurkan kumpulannya pada Oktober 2011. - REUTERS

Zamboanga hadapi krisis kemanusiaan

Zamboanga hadapi krisis kemanusiaanPenduduk diletakkan di tempat perlindungan sementara di sebuah stadium kerana serangan MNLF disifatkan sebagai satu ‘krisis kemanusiaan’.

Wanita, kanak-kanak paling trauma selepas keganasan meletus

Manila: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bandar Zamboanga menghadapi krisis kemanusiaan selepas beribu-ribu orang terjejas kerana keganasan berikutan serangan pemisah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Beratus-ratus askar dan polis terbabit dalam pertempuran selepas pemisah MNLF memasuki bandar itu dan mengambil tebusan yang memaksa pihak berkuasa bertindak balas.
15 askar, polis terbunuh


Seramai 15 askar dan polis terbunuh manakala 104 pemisah terbabit maut, kata jurucakap polis.

Berpuluh-puluh pemisah MNLF juga ditahan atau menyerah diri tetapi masih ada yang lain terus bebas dan menjadikan orang awam sebagai perisai manusia.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menganggarkan 158,000 terjejas kerana keganasan itu dan lebih 10,000 kediaman musnah.

Lebih 109,000 orang kini kehilangan tempat tinggal di Zamboanga dan hampir 19,000 lagi di Basilan.
“Kami semakin bimbang dengan keadaan ini dan semakin ramai yang terperangkap dalam keganasan,” kata Wakil dan Penyelaras Kemanusiaan PBB di Filipina, Luiza Carvalho.

“Kami amat bimbang dengan golongan paling lemah iaitu wanita dan kanak-kanak,” katanya dengan menyifatkan mereka paling trauma dan sukar menjalani kehidupan seperti biasa.

Kira-kira 70,000 berlindung di sebuah stadium sukan utama di Zamboanga dalam keadaan sesak dan kotor.

OCHA memberi amaran, wujud risiko penyakit berjangkit tersebar. Mereka juga memerlukan makanan, air minuman, khidmat kesihatan, peralatan memasak, khemah dan keperluan lain.

“Kami paling gusar bekalan keperluan tidak diagihkan dengan baik dengan mereka yang berada di luar pusat perlindungan tidak dilupakan,” kata Carvalho. - AFP

Tentera selamat tebusan, bunuh 15 pemberontak


BEBERAPA anggota tentera melihat mayat yang dipercayai gerila MNLF di hadapan sebuah kediaman yang musnah di Zamboanga kelmarin.


ZAMBOANGA - Sejumlah tebusan terakhir yang ditawan pemberontak Islam di selatan Filipina berjaya diselamatkan selepas hampir tiga minggu pertempuran berlaku, kata pihak tentera semalam.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, 15 gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang membentuk beberapa kumpulan kecil terbunuh dalam pertempuran malam kelmarin.
"Kami telah menyelamatkan enam tebusan terakhir.
"Kami diberitahu ini merupakan kumpulan tebusan terakhir yang ditawan MNLF. Kami telah menyelamatkan 195 tebusan semuanya," kata Zalaga pada sidang akhbar di sini.
Sebelum ini, beberapa ratus gerila MNLF yang dipimpin oleh Nur Misuari menceroboh dan melakukan serangan di bandar raya ini pada 9 September lalu.
Mereka menjadikan beratus-ratus orang awam sebagai tebusan serta bertempur dengan pasukan keselamatan.
MNLF bertindak demikian kerana menentang rundingan damai Manila dengan kumpulan penentang terbesar di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Sekitar 200 orang termasuk 166 gerila terbunuh dan lebih 100,000 penduduk di bandar pelabuhan di Pulau Mindanao ini terpaksa melarikan diri.
Zalaga berkata, sekitar 300 gerila sudah menyerah diri atau ditangkap.
Menurutnya, beberapa kawasan di bandar ini belum selamat sepenuhnya kerana masih terdapat insiden tembakan dan dua letupan kuat semalam.
Bagaimanapun, Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar berkata, sebahagian besar aktiviti di bandar itu pulih seperti biasa dengan kebanyakan pejabat, bank, premis perniagaan dan sekolah dibuka semula.
Perkhidmatan di lapangan terbang dan pelabuhan juga kembali beroperasi. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2g81x38YR 
Hakcipta terpelihara 

Friday, September 27, 2013

Maut dihempap pokok kelapa



TELUK INTAN: "Saya nampak pokok kelapa itu tumbang dan jatuh atas jalan. Sebaik meninjau, saya terkejut apabila melihat seorang penunggang dalam keadaan tenat akibat dihempap pokok berkenaan," kata saksi.

Saksi berkenaan, Zuhairi Mohd Ibrahim, 46, yang juga pengawal keselamatan, berkata dia nampak kejadian malang menimpa lelaki warga emas yang maut dihempap pokok kelapa di Jalan Sungai Nibong, dekat kilang Bernas, di sini, kira-kira 9.15 pagi ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Abdul Rashid Tahir, 72, dari Parit 15-A, Sungai Lampam, di sini, menunggang motosikal dan dalam perjalanan dari rumahnya ke pasar besar Teluk Intan untuk menghantar ragi kepada peniaga.

Difahamkan, apabila mangsa sampai di hadapan kilang beras itu, pokok kelapa itu tumbang ditiup angin kencang, sebelum menghempapnya menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan, manakala motosikalnya terbabas kira-kira 40 meter dan terjunam ke parit.

Buang kembar parasitik

Bandung: Selepas seminggu akhirnya Yani Mulyani berkesempatan melihat sendiri anak yang baru dilahirkannya di Hospital Hasan Sadikin, semalam.
Pertemuan itu berlangsung dengan suasana pilu apabila Yani, 33, tidak berhenti-henti menangis melihat keadaan anaknya, Ginan Septian Nugraha yang mengalami kembar siam parasitik.

Keadaan itu berlaku apabila pasangan kembar Ginan terbentuk dalam ruang mulutnya menyebabkan dia terpaksa dibedah sejurus selepas dilahirkan pada minggu lalu.
Sejak dilahirkan, Yani tidak sempat melihat keadaan Ginan kerana bayi itu segera dikejarkan ke hospital atas nasihat bidan. Di hospital Ginan menjalani pembedahan bagi membuang bayi parasit atau dinamakan doktor sebagai tumor epignathus teratoma kelmarin.

Dalam keadaan berkenaan Yani ternyata pasrah dengan ketentuan Tuhan menerima keadaan Ginan yang mengalami kecacatan pada bahagian bawah rahangnya selepas menjalani pembedahan itu. Menurut doktor rahang Ginan tidak dapat ditutup kerana sebelum ini terpaksa menahan berat saudara kembarnya selama dalam kandungan. Sambil terus menatap anaknya, Yani tidak berhenti-henti menangis melihat pergerakan anaknya yang baru berusia seminggu berkenaan. - Agensi
Foto
YANI menyentuh Ginan yang masih dirawat di hospital.

Mat Yo pasang pengawal, enggan respons isu isteri



MAT YO (dalam bulatan) memasuki keretanya sambil diiringi pengawal keselamatan selepas menjalani latihan di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kontroversi isu pengawal keselamatan, Azman Mohd. Nayan yang dikatakan dimaki hamun dan ditendang isteri pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim, Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo, bertindak di luar jangkaan semalam apabila memasang pengawal keselamatan semata- mata untuk mengelak dirinya daripada ditemu bual pihak media.
Tindakan terdesak itu dilakukan sebaik sahaja penyerang sensasi itu tamat sesi latihan bagi persediaan menjelang perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Padang Seri Gelam di sini pukul 6.50 petang.
Media yang datang seawal pukul 4.30 petang terlebih dahulu dikecewakan oleh Mat Yo apabila beliau enggan melayan wartawan dan hanya berkata: "Saya dah lambat ni, nak pergi training (latihan)."


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2g24deKeR 
Hakcipta terpelihara 

Adam AF2, Fiza sah suami isteri



ADAM menyerahkan sepersalinan kelengkapan solat kepada Fiza pada majlis pernikahan mereka di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Adam AF2 sah menjadi suami kepada pelakon Fiza Halim tepat pukul 10.30 pagi di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini semalam.
Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 32, dinikahkan dengan Adam atau nama sebenarnya Mohd. Aizam Mat Saman, 30, oleh Pendaftar Nikah dan Rujuk Daerah Petaling Jaya, Suhaimi Ahmad Wakid dan berwalikan bapa Fiza, Abdul Halim Abdul Aziz.
Pasangan yang berkenalan selama dua bulan itu bersyukur kerana majlis yang berlangsung dengan ringkas dan dihadiri saudara terdekat berjalan lancar.
"Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan saya sangat gembira kerana akhirnya hari yang saya tunggu telah tiba. Kami kini selamat menjadi suami isteri.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2g24Lfn78 
Hakcipta terpelihara 

Indonesia tetap anjur ratu cantik Miss World



PARA peserta pertandingan ratu cantik Miss World beraksi dalam satu acara di Nusa Dua, Bali pada 24 September lalu.


NUSA DUA, Bali - Peringkat akhir pertandingan ratu cantik Miss World akan diadakan di sini esok selepas acara berkenaan menerima kecaman hebat daripada kumpulan-kumpulan Islam di Indonesia.
Hampir 500 anggota polis dan 700 pengawal termasuk sejumlah anggota keselamatan tempatan yang lengkap berpakaian tradisional serta berkeris telah dikerah untuk berkawal semasa pertandingan itu berlangsung.
Seramai 129 peserta akan bersaing dalam pertandingan kali ini dengan acara berkenaan akan disiarkan secara langsung di lebih 180 buah negara.
Namun, bantahan keras oleh kumpulan-kumpulan Islam di Indonesia memaksa pihak berkuasa memindahkan acara berkenaan dari ibu kota Indonesia, Jakarta ke Bali.
Majoriti penduduk pulau peranginan itu beragama Hindu.
Banyak pertubuhan Islam di Indo- nesia menyelar pertandingan tersebut kerana dianggap seperti memperdagangkan tubuh dan maruah wanita.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan mengancam untuk mengadakan protes di lokasi acara berkenaan berlangsung di sini esok.
"Kami akan mengadakan protes kerana pertandingan ini tidak boleh diterima," kata ketua cabang Barisan Pertahanan Islam (FPI) wilayah Jawa Timur, Haidar Al-Hamid.
Beratus-ratus anggota FPI telah mencuba untuk memasuki Bali dari Jawa Timur awal bulan ini tetapi usaha mereka dipatahkan oleh pihak berkuasa.
Bali pernah digegarkan dengan insiden letupan yang mengorbankan lebih 200 orang yang kebanyakannya pelancong asing pada tahun 2002.
Pada tahun lalu, penyanyi terkenal, Lady Gaga dihalang mengadakan konsert di Indonesia selepas beberapa kumpulan Islam mengancam untuk membakar lokasi persembahannya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2g22NXJZy 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, September 26, 2013

Pepijat NSA intip India, PBB


2013/09/26
New Delhi: Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) menyasarkan kedutaan India di Washington dan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) India di New York dengan peralatan pengintipan canggih yang mungkin menyebabkan cakera keras disalin, kata satu laporan semalam.

Akhbar The Hindu yang bekerjasama dengan wartawan akhbar The Guardian, Glenn Greenwald, berkata pejabat India berada dalam senarai teratas negara yang dipilih untuk pengintipan intensif.
NSA “memilih pejabat PBB India dan kedutaan sebagai ‘lokasi sasaran’ untuk menyusup ke dalam sistem komputer dan telefon mereka dengan pepijat berteknologi tinggi,” kata akhbar itu, memetik satu dokumen rahsia dari agensi perisikan berkenaan.

Teknik Lifesaver

Ia berkata misi India itu ditandakan untuk pelbagai teknik pengintipan termasuk satu dengan nama kod Lifesaver yang membabitkan pengimejan cakera keras komputer.

India dan Amerika melupakan kesukaran masa lalu mereka dan menjadi sekutu kuat sejak dekad lalu dengan Perdana Menteri Manmohan Singh dijangka bertemu Presiden Barack Obama di Washington Jumaat ini.

Pendedahan berhubung aktiviti pengintipan Amerika itu, dibocorkan menerusi dokumen diperoleh bekas kontraktor NSA, Edward Snowden, sudah menegangkan hubungan antara Obama dan sekutu luarnya, terutama Presiden Brazil, Dilma Rousseff.
Laporan The Hindu itu memberi banyak perincian berhubung pendedahan sebelumnya diterbitkan dalam Guardian oleh Greenwald pada Julai lalu bahawa 38 kedutaan dan misi diplomatik menjadi sasaran NSA, termasuk India.

New Delhi sebelum ini mempertahankan pengintipan meluas ke atas pengguna internet dan panggilan telefon oleh agensi perisikan Amerika, mengatakan pengawasan seperti itu membantu mencegah “serangan pengganas.”

AFP