Thursday, July 22, 2010

3 hadapi Lembaga Disiplin UMNO



KUALA LUMPUR – Tiga ahli UMNO Bahagian Rantau Panjang dirujuk kepada Lembaga Disiplin berikutan pertelagahan yang dilihat menjejaskan imej parti. 

Mereka adalah Ketua UMNO, Abdullah Mat Yassin, bekas ketuanya Datuk Mohd Zain Ismail dan Puteri UMNO, Norhayati Mat. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat memutuskan tindakan itu setelah mengadakan persidangan perwakilan baru-baru ini. 

Menurut Najib, keputusan merujuk mereka berdua kepada Lembaga Disiplin adalah untuk mempertimbangkan keputusan yang wajar diambil. 

“Setakat ini, masih belum ada tindakan yang diambil,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. 

Sehubungan itu, Bahagian Perhubungan UMNO Kelantan akan mengambil alih pentadbiran bahagian itu sehingga keadaan kembali pulih. 

26 Jun lalu dua puak dalam UMNO Bahagian Rantau Panjang mengadakan persidangan perwakilan serentak iaitu yang diketuai Abdullah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan satu lagi yang dipimpin Mohd Zain di dewan UMNO bahagian itu. 

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, MT turut memutuskan untuk meletakkan pentadbiran UMNO Sungai Petani di bawah penyeliaan Badan Perhubungan UMNO Kedah. 

Menurutnya, keputusan itu diambil oleh meredakan keadaan kedua-dua UMNO bahagian tersebut. 

“Sebab apa kita bagi kepada Badan Perhubungan, supaya dua-dua pihak kalau ada masalah boleh rujuk kepada Badan Perhubungan,” kata beliau sambil menambah pentadbiran bahagian akan diserahkan kemudian apabila keadaan reda. 

“Kaedah ini bukan luar biasa, sudah banyak kali masalah wujud dan diatasi. Dalam sejarah UMNO banyak kali berlaku,” katanya. 

Beliau ketika ditanya sama ada parti itu masih lagi diterima masyarakat biarpun menghadapi permasalahan berkata, UMNO masih lagi diterima. 

“Ini dapat dilihat melalui jumlah ahli semakin meningkat setiap bulan. Sehingga kini sejumlah 3, 186850 ahli UMNO berdaftar selepas pemutihan. 

“Jumlah ini adalah selepas ditolak dengan ahli yang meninggal dunia dan yang gagal dikesan,” katanya.

No comments:

Post a Comment