Thursday, July 22, 2010

Tuanku Ismail Petra dukacita sikap MB

SULTAN Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang selesai menjalani rawatan susulan di Singapura diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/AZRAN FITRI RAHIM


KOTA BHARU 21 Julai – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut keberangkatan pulang baginda daripada menjalani rawatan susulan di Singapura hari ini.
Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media lewat petang ini.
Tengku Muhammad Fakhry berkata, ia merupakan satu tindakan biadab yang ditunjukkan oleh pembesar negeri ini ketika baginda berangkat pulang.
Beliau bagaimanapun berkata, Tuanku Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan kesihatan baginda supaya segera sembuh dan selamat kembali daripada menjalani rawatan tersebut.
“Keadaan kesihatan Tuanku berada pada tahap yang amat baik dan berdasarkan laporan terkini pemeriksaan doktor-doktor pakar di Singapura, Tuanku mempunyai keupayaan minda dan fizikal yang baik dan boleh membuat apa-apa keputusan dengan sendiri.
“Di sini, Tuanku ingin menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan baginda dengan ketidakhadiran menteri besar, exco-exco negeri Kelantan termasuk juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri untuk menyambut keberangkatan pulang baginda.
“Tindakan ini adalah satu tindakan yang amat biadab dan diharapkan tidak berulang lagi,” katanya.
Tuanku Ismail selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira pukul 1.20 petang ini selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura sejak 15 Julai lalu.
Baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan anakanda baginda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry.
Turut berada di lapangan terbang bagi menyambut kepulangan Tuanku Ismail ialah kekanda baginda, Tengku Salwani, Tengku Merjan, Tengku Rozan dan kerabat baginda yang lain kecuali Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Bagaimanapun tidak kelihatan pembesar negeri termasuk Nik Abdul Aziz dan barisan exco kerajaan negeri menyambut kepulangan baginda.
Sebelum ini, krisis Istana Kelantan mencetuskan polemik yang berpanjangan termasuk tindakan pihak berkuasa yang menggunakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membawa baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ketika dalam perjalanan dari Istana Mahkota menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum berangkat ke Hospital Mount Elizabeth pada 4 Mei lalu.
Pada masa yang sama, banyak pihak menuding jari kepada Nik Abdul Aziz kerana gagal melaksanakan tugas memberikan nasihat kepada institusi diraja tersebut untuk menyelesaikan kemelut itu sehingga ia berlarutan.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas bagaimanapun menjawab ‘senyap adalah nasihat’, disebabkan itu beliau mengambil sikap mendiamkan diri kerana menganggap isu tersebut hanya melibatkan masalah kekeluargaan

No comments:

Post a Comment