Thursday, July 22, 2010

Pengelola Istana tidak dibenar buat kenyataan?


KOTA BHARU 21 Julai - Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kesihatan dan rawatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Singapura, bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.
Peringatan itu dititahkan oleh Tuanku Ismail sendiri melalui Doktor Pakar Peribadi baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli sekembali baginda dan rombongan dari Singapura hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Dr. Amir dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr.Amir, beliau telah dititahkan oleh Tuanku Ismail untuk 'menasihatkan' Abdul Halim dan semua anggota di bawah seliaannya yang sedang berkhidmat di Istana Kelantan supaya tidak membuat apa-apa kenyataan akhbar mengenai kesihatan dan rawatan yang telah dilakukan oleh baginda di Singapura tempoh hari.
Beliau berkata, langkah itu diambil kerana Abdul Halim tidak mengikuti rombongan tersebut dan tidak berada di Singapura.
"Beliau juga tidak pernah berhubung atau dihubungi oleh mana-mana pihak dari rombongan perubatan Tuanku yang bertugas di sana. Ia ditakuti akan menyebabkan kenyataan akbar beliau nanti tidak tepat dan mengelirukan masyarakat umum.
"Memandangkan Abdul Halim bukanlah doktor perubatan, maka ada ketikanya kenyataan akhbar beliau telah melanggari etika perubatan pesakit dan mengaibkan Sultan Kelantan dan keluarga baginda.
"Pada masa yang sama, Sultan Kelantan juga murka kerana Abdul Halim atau wakilnya tidak pernah datang menjenguk baginda di Istana Mahkota sejak keberangkatan pulang Tuanku pada Mac lalu," katanya.
Tuanku Ismail selamat tiba di negeri ini kira-kira pukul 1.20 petang selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura sejak 15 Julai lalu.
Baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan dua anakanda baginda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Temenggung Kelantan.
Turut berada di lapangan terbang bagi menyambut kepulangan Tuanku Ismail ialah kekanda baginda, Tengku Salwani, Tengku Merjan, Tengku Rozan dan kerabat baginda yang lain kecuali Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Dalam kenyataan itu juga, Dr. Amir turut memaklumkan bahawa keberangkatan pergi dan balik Tuanku Ismail tidak pernah diuruskan oleh Abdul Halim.
Sebaliknya kata beliau, ia dikendalikan oleh Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Wan Hashim Wan Daud dan beberapa individu lain melalui Jabatan Perdana Menteri serta beberapa saluran setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat baginda tidak lama dahulu.
"Jika Abdul Halim masih berminat juga menguruskan urusan rombongan perubatan Sultan Kelantan ini, hanya urusan pembayaran balik bil hospital dan penginapan kepada Tengku Temenggung yang belum selesai.
"Ini memandangkan bayaran bil hospital dan hotel telah dibayar oleh Tengku Temenggung menggunakan wang poket baginda sendiri. Urusan-urusan lain telah dapat diselesaikan oleh pihak kami dengan baik dan teratur," katanya.

No comments:

Post a Comment