Thursday, July 22, 2010

Bantu SAR: Perak beri 2,023 hektar tanah


IPOH 21 Julai – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian sebidang tanah seluas 2,023 hektar bagi memperkasakan semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tanah tersebut akan dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) sebagai ladang kelapa sawit.
Katanya, hasil daripada aktiviti di ladang itu akan disalurkan ke sebuah tabung khas yang diwujudkan untuk menampung perbelanjaan SAR yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata, tanah tersebut terletak di Besout, Sungkai iaitu berdekatan dengan tanah yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina.
“Selain peruntukan tahunan berjumlah jutaan ringgit yang diberikan kerajaan negeri dan Pusat untuk pengurusan dan penyelarasan SAR selama ini, tabung khas ini diwujudkan untuk menampung keperluan SAR yang daif dan perlu dibantu.
“Kita harap dengan dana yang diperoleh daripada projek penanaman kelapa sawit ini, ia akan memberi pulangan yang baik bagi kita membantu SAR di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perak di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengumumkan pemberian sebidang tanah seluas 1,012 hektar oleh kerajaan negeri kepada sembilan sekolah persendirian Cina di sini untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit.
Tanah berkenaan yang terletak di Besout, Sungkai akan diuruskan oleh Semangat Suwa Sdn. Bhd. yang ditubuhkan oleh lembaga pengurusan sembilan buah sekolah tersebut.
Pemberian tanah kepada sembilan sekolah persendirian Cina itu dibuat berikutan keputusan yang telah diambil pada era pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang sebelum ini.
Menurut Zambry, tanah diberikan kepada SAR itu dijangka mampu memberikan pendapatan jutaan ringgit setahun apabila dibangunkan kelak.
“Keuntungan yang diperoleh akan disalurkan kepada tabung khas, sama ada secara terus melalui kerajaan negeri atau Yayasan Perak.
“Wakil Pertubuhan Pendokong Sekolah-sekolah Agama Rakyat Negeri Perak (PPSR) ada datang jumpa saya minggu lalu untuk berbincang dengan kerajaan negeri bagaimana mereka boleh terlibat sama dalam menguruskan dana tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment