Thursday, July 22, 2010

Nenek uzur jaga lapan cucu

BUTTERWORTH: Seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga lapan cucu merayu pihak tertentu membaiki rumahnya yang reput dan menunggu masa untuk roboh.
Che Ani Din, 53, dari Bagan Jermal di sini, berkata bahagian dapur dan bilik rumahnya reput akibat dimakan anai-anai manakala bumbung pula bocor setiap kali hujan.
Menurutnya, rumah pusaka yang diduduki sejak lebih 20 tahun lalu itu walaupun kelihatan ‘cantik’ di bahagian luar, namun di bahagian dalam sudah usang.

“Sebelum ini, sudah tiga kali wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mengambil gambar rumah saya, tetapi belum ada perkembangan.

“Malah, ada pihak berjanji membaiki rumah ini, namun hanya tinggal janji. Saya tidak mampu membaiki sendiri kerana sudah uzur selain menghidap darah tinggi,” katanya.

Katanya, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM135 sebulan dan wang itu digunakan untuk menjaga lapan cucu dengan enam bersekolah berikutan masalah keluarga.

“Kadang kala saya dibantu anak, Rohana Ismail, 20-an, yang bekerja kilang tetapi pendapatannya tidak seberapa,” katanya yang turut mendapat simpati jiran.

Dua daripada cucunya, Mohd Adam Mohd Rosdi dan kembarnya, Mohd Afiq, 9, hanya mendapat bantuan baju dan kasut sekolah.

No comments:

Post a Comment