Thursday, July 22, 2010

Pi mai pi mai tang tu

Isyarat positif Pas mahu berdamai

KUALA LUMPUR 21 Julai – Gesaan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan supaya UMNO dan Pas segera menamatkan persengketaan melalui satu pelan damai, menghidupkan kembali harapan orang Melayu untuk melihat kedua-dua parti itu bersatu.
Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohamed Aziz berkata, kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas itu boleh disifatkan sebagai isyarat positif bahawa Pas juga mahukan perdamaian sama seperti UMNO.
Menurutnya, gesaan itu perlu dipandang serius oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti kerana ia boleh menjadi titik-tolak terhadap permuafakatan orang Melayu.
‘‘Majlis tertinggi kedua-dua parti perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh para pemimpin dan ulama untuk sama-sama mencari jalan ke arah perdamaian demi kepentingan agama, bangsa serta negara.
‘‘Bagi merealisasikan hasrat itu, saya tawarkan diri sebagai wakil UMNO untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohamed mengulas kenyataan Nasrudin dalam laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini bahawa UMNO dan Pas perlu mempunyai satu pelan damai supaya persengketaan kedua-dua pihak berjaya ditamatkan.
Beliau yang tersentuh hati membaca laporan itu menyifatkan Nasrudin seorang yang berjiwa besar.
‘‘Saya bangga negara kita mempunyai anak bangsa seperti beliau yang berfikiran positif dan jauh ke depan.
‘‘Kalau Pas boleh berlapang dada, kita di pihak UMNO juga perlu berlapang dada. Kita tamatkan persengketaan, buangkan sifat ego dan kepentingan peribadi,’’ tambah beliau.
Mohamed yang juga Ketua UMNO Bahagian Sri Gading dan Ahli Parlimen Sri Gading turut menyeru para pemimpin parti melupakan perbezaan pemikiran dan cari persamaan yang boleh membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.
‘‘Selama ini kita terlalu membesar-besarkan perbezaan yang terlalu sedikit sehingga lupa UMNO dan Pas sebenarnya mempunyai lebih banyak persamaan.
‘‘Kalau dulu Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng yang berbeza agama dan ideologi boleh duduk semeja dan berbincang, kenapa tidak kita yang sama-sama Melayu dan beragama Islam,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment