Wednesday, July 21, 2010

Bakti sumbang RM50,000 kepada Adibah Amin


ROSMAH Mansor bertanya sesuatu kepada Khalidah Adibah Amin dan diperhatikan Noorainee Abdul Rahman (dua dari kiri) di Bangunan Bakti Siti Hasmah, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Julai - Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menyumbang RM50,000 kepada ahli akademik dan penulis terkenal, Adibah Amin yang kini diserang angin ahmar tiga tahun lalu.
Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sumbangan itu merupakan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (MDB) yang sudi memberi kerjasama dalam menjayakan usaha membantu Adibah.
Kata beliau, ia khusus untuk membantu Adibah atau nama sebenarnya, Khalidah Adibah Amin menampung kos rawatan dan ubat-ubatan.
Beliau berkata, sejak mengetahui Adibah diserang sakit itu, Bakti terus membuat keputusan untuk membantunya memandangkan penulis tersebut banyak memberi sumbangan kepada negara menerusi penulisan dan ilmu yang dicurahkannya.
"Kita sedia maklum bahawa untuk menampung kos rawatan penyakit strok itu bukannya murah. Justeru Bakti bersedia membantu bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga beliau.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada MDB dan ahli-ahli Bakti yang telah bertungkus-lumus menjayakan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Adibah di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Sementara itu, adik Adibah, Fadzillah Amin, yang turut hadir berterima kasih kepada Bakti.
"Pada masa ini, Adibah hanya perlu mengambil ubat dan menjalani rawatan fisioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kesihatannya tidak seteruk tiga tahun lalu.
"Adibah mula belajar untuk berjalan semula, sudah boleh bercakap walaupun perlahan dan sentiasa menunjukkan tahap kesihatan yang positif," katanya.
Menceritakan detik Adibah diserang strok, Fadzillah berkata, pada awalnya Adibah diserang penyakit kayap tetapi beliau tidak mengendahkan penyakit itu dan terus bekerja menghasilkan karya-karyanya walaupun usianya ketika itu mencecah 71 tahun.
Bagaimanapun, ujar Fadzillah, lama-kelamaan penyakit kayap itu menjadi teruk sehingga memberi kesan pada saraf Adibah dan berikutan itu Adibah terus diserang strok.
Adibah yang kini berumur 74 tahun bukan sahaja terkenal di kalangan pendidik dan peminat sastera malah pernah dinobat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Adik Manjasetelah menjayakan watak Cikgu Bedah dalam filem tersebut.
Anak sulung Tan Sri Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain itu juga pernah menerima Anugerah Penulisan SEA, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena dan Anugerah Wartawan Cemerlang Negara oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia.

1 comment: