Wednesday, July 21, 2010

PRK Hulu Selangor: Mahkamah Pilihan Raya tolak bantahan awal Zaid Ibrahim


KUALA LUMPUR 20 Julai – Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menolak bantahan awal Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim terhadap permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan untuk membatalkan petisyen pilihan raya kecil kerusi Parlimen kawasan tersebut.
Hakim Datuk Azahar Mohamed yang bertindak sebagai Hakim Pilihan Raya memutuskan demikian setelah mendapati Zaid tidak mengemukakan alasan penting yang mencukupi ketika mengemukakan bantahan awal tersebut.
Beliau juga berpendapat bantahan awal Zaid adalah cacat dan tidak memenuhi keperluan mandatori yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA) 1954 dan Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
Dengan keputusan tersebut, Hakim Azahar menetapkan esok untuk mendengar permohonan Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh Zaid itu dan bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden ketiga.
SPR mengemukakan bantahan awal atas alasan Zaid dalam petisyen tersebut gagal menyatakan bukti kukuh terhadap dakwaannya berhubung amalan rasuah dan sogokan semasa pilihan raya kecil itu berlangsung.
Zaid yang diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Azahar Azizan Harun mengemukakan bantahan awal dengan membangkitkan isu bahawa hakim tersebut tiada bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung petisyen berkenaan selagi beliau tidak mendengar perbicaraan penuh.
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Kamalanathan ketika membalas hujah pula berkata, Mahkamah Pilihan Raya mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan petisyen itu tanpa perlu mendengar perbicaraan penuh.
Dalam petisyen yang difailkan pada 24 Mei lalu, Zaid, 59, selaku pempetisyen menamakan Kamalanathan, 45; Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan; dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.
Menurut Zaid, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil yang diadakan pada 25 April lalu dan diwartakan pada 6 Mei lalu, Kamalanathan memenangi kerusi Parlimen itu dengan undi sebanyak 24,997 sementara beliau memperoleh hanya 23,272 undi.
Pempetisyen memohon supaya pilihan raya itu diisytiharkan terbatal dan tidak berkesan mengikut Seksyen 32(a) EOA kerana kononnya terdapat perbuatan rasuah dan sogokan secara am yang begitu berleluasa.
Selain itu, Zaid memohon mahkamah memutuskan bahawa Kamalanathan tidak dipilih atau dilapor pilih sebagai Ahli Parlimen dan pemilihannya sebagai tidak sah serta batal.
Kamalanathan pada 1 Julai lalu memfailkan notis usul untuk membatalkan petisyen itu dengan alasan ia adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah selain Zaid gagal mengenal pasti kepada siapa rasuah itu diberi.
SPR dan Nor Hisham diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad, Suzana Atan, Mohd. Azhar Mohd. Yusof dan Norhisham Ismail.

No comments:

Post a Comment