Thursday, July 29, 2010

Bayi jantung berlubang perlu RM30,000


KUALA LUMPUR 28 Julai - Keluarga Mohan Raj, bayi berusia enam bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang hari ini merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pembedahannya.
Ketua Penerangan Pemuda MIC, S. Subramaniam berkata, Mohan yang juga menghidap sindrom Down memerlukan rawatan segera bagi memastikan tahap kesihatannya tidak menjadi semakin kronik.
"Pemuda MIC telah melancarkan tabung kutipan derma untuk Mohan bagi membolehkan pembedahan yang dianggarkan menelan kos RM30,000 itu dapat dijalankan segera,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bapa bayi tersebut, N. Sellvaraja yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tidak mampu menanggung kos pembedahan jantung yang akan dilakukan di Hospital Pakar Gleneagles di sini.
Ibu Mohan, P. Lalitha yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut berkata, pendapatan suaminya kecil tidak mampu membiayai kos pembedahan itu manakala dia pula tidak bekerja.
"Saya merayu orang ramai dan sesiapa sahaja membantu agar Mohan dapat dibedah secepat mungkin,'' katanya.
Sementara itu, Subramaniam berkata, mereka yang prihatin boleh menyumbang kepada tabung khas melalui cek, draf bank dan kiriman wang atas nama Mohan Raj a/l Sellvaraja.
Katanya, semua sumbangan boleh dihantar kepada Biro Sosial dan Kebajikan Pemuda MIC di Wisma Manikavasagam, Tingkat 7, Jalan Rahmat melalui Jalan Ipoh, 50350 Kuala Lumpur.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi biro berkenaan di talian 03-40431111 atau 012-6103905.

No comments:

Post a Comment