Thursday, July 29, 2010

Hanya guru dibenar berpolitik


PUTRAJAYA - Kerajaan belum bercadang untuk membenarkan pegawai siswazah lain selain dalam bidang pendidikan untuk melibatkan diri dalam politik bagi mengelak berlaku konflik kepentingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam kes guru yang bertugas mendidik anak bangsa dan tidak mempunyai kuasa eksekutif, tidak akan berlaku konflik kepentingan jika mereka memegang jawatan dalam parti politik.
"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa (eksekutif) memegang jawatan (dalam politik). Bila kita ada jawatan tertentu, ada kemungkinan boleh berlaku pertembungan dari segi kepentingan atau konflik kepentingan.
"Kita mula dengan kumpulan guru dulu, lepas itu kita tengok sama ada wajar kita perluaskan untuk kumpulan-kumpulan (pegawai siswazah) lain atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 'Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan' di sini semalam.
Najib mengulas mengenai langkah kerajaan membenarkan pegawai pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.
Dalam laporan akhbar semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru pada suatu masa dahulu memainkan peranan penting untuk memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
Berikutan pengumuman itu, kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara kini boleh terlibat dalam politik.
Mengulas lanjut, Najib memberitahu, dengan membenarkan guru terlibat dalam politik, ia akan dapat mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air.
Jelas beliau, golongan tersebut boleh menyumbang dari segi kepimpinan yang bersifat intelektual.

No comments:

Post a Comment