Thursday, July 29, 2010

Hanya guru dibenar berpolitik




Najib Tun Razak melihat gambar keluarganya selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai kumpulan siswazah selain daripada bidang pendidikan terbabit dalam politik.
Perdana Menteri berkata, ini bagi mengelak timbul konflik kepentingan kerana mereka mempunyai kuasa eksekutif berbanding mereka dalam profesion perguruan.
"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa memegang jawatan (terlibat politik), macam guru ini mereka mendidik jadi tidak ada kuasa eksekutif, tidak berlakulah konflik kepentingan.
"Jadi kita mula dengan kumpulan guru dahulu selepas itu kita tengok sama ada wajar ia wajar diperluaskan pada bidang lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Najib mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bahawa mulai 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan terlibat dalam politik.
Ia berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu berperanan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
Tentang kemungkinan wujud suasana berpuak-puak di sekolah apabila guru aktif berpolitik, Najib berkata, perkara itu mungkin berlaku tetapi boleh dibendung.
"Saya melihat langkah ini boleh mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air sebab kita hendak guru-guru menyumbang dari segi kepimpinan bersifat keintelektualan di peringkat akar umbi.
"Mereka ini golongan disegani kerana memiliki kelulusan dan pengetahuan yang lebih daripada kelompok lain dan kepimpinan mereka lebih diterima kerana bersandarkan kepada keilmuan dan kedudukan dalam masyarakat," katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan para guru agar tidak mengabaikan tugas utama sebagai pendidik atau membelakangkan arahan jika memegang jawatan politik sebaliknya menghormati struktur kepimpinan dalam sekolah dan jabatan.
Menurutnya, tugas seorang guru yang tidak bersifat material membolehkan mereka menyumbang kepada pembentukan akhlak yang lebih baik.
"Saya tidak fikir guru akan bersikap keterlaluan walaupun ada jawatan politik kerana mereka daripada golongan yang dewasa dari segi pemikiran sebab itu dari dulu pun tidak berlaku perpecahan dalam sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment