Thursday, July 29, 2010

Kaji semula kebenaran guru berpolitik


KUALA LUMPUR 28 Julai - UMNO Bahagian Cheras mahu kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan guru siswazah bergiat aktif dalam politik, demi menjaga kredibiliti dan kemuliaan profesion perguruan.
Ketuanya, Datuk Syed Ali Al-Habshee yang tidak bersetuju dengan langkah itu, menyifatkannya sebagai agak terburu-buru kerana ia boleh menimbulkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
"Saya berharap keputusan ini tidak dibuat secara terburu-buru kerana tanggungjawab sebenar guru ialah mendidik dan melahirkan pelajar berilmu.
"Untuk berpolitik, mereka hanya sekadar boleh menjadi ahli parti dan tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan penting.
"Kewibawaan warga pendidik harus dilindungi supaya mereka tidak dicemuh oleh masyarakat kerana perbezaan anutan politik," katanya dalam blog, umnobahagiancheras.blogspot.com.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan bahawa bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.
Syed Ali yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) berkata, langkah membenarkan guru kembali aktif berpolitik hanya menimbulkan kecelaruan di dalam masyarakat.
Selain itu katanya, ia dikhuatiri akan menyebabkan 140,000 guru siswazah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pendidik.
Beliau berkata, sejarah lalu sudah membuktikan apabila guru dibenarkan berpolitik akan berlaku pertelingkahan dan perselisihan dalam perkhidmatan.
"Akibatnya selain murid-murid menjadi mangsa adakalanya guru juga turut terheret dengan 'tekanan dan permusuhan politik' di sekolah sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan mereka,'' ujarnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan keputusan membenarkan golongan guru untuk berpolitik akan mengundang pelbagai implikasi kepada masyarakat.
Menurut beliau, jika dinilai daripada usaha meningkatkan mutu kepimpinan, keputusan itu disifatkan adalah baik namun beliau bimbang jika sebaliknya berlaku iaitu golongan guru yang tidak menyokong kerajaan berkecenderungan bertindak lebih agresif.
"Saya bimbang golongan ini akan bertindak di luar ruang lingkup etika perguruan dengan membawa sikap agresif dan emosi kepada masyarakat terutama penduduk kampung sekali gus memecah belahkan perpaduan sesebuah kampung itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, penyertaan golongan guru dalam politik pada masa dahulu melibatkan mereka yang berhaluan sederhana dan dihormati oleh masyarakat.
"Golongan ini mempunyai ilmu, bersikap sederhana dan menyokong kerajaan justeru perpaduan dalam masyarakat dapat disuburkan tetapi zaman sekarang saya bimbang berlaku sebaliknya menjadikan golongan ini tidak lagi dihormati," katanya.
habis.

No comments:

Post a Comment