Thursday, July 29, 2010

Jangan bawa politik ke bilik darjah - TPM


SEOUL 28 Julai - Guru-guru diberi amaran supaya tidak membawa fahaman politik masing-masing ke dalam bilik darjah berikutan keputusan kerajaan membenarkan mereka berpolitik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ada laporan mengenai perkara tersebut tindakan akan diambil terhadap guru-guru yang terlibat kerana melanggar pekeliling kerajaan.
Tegasnya, kebenaran kepada guru untuk berpolitik tidak seharusnya memberi kesan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana ia merupakan tugas hakiki mereka yang perlu diutamakan.
"Itu satu tanggungjawab utama yang guru mesti sempurnakan. Tidak ada kompromi dari segi pelajaran di Malaysia. Ibu bapa mahu anak mereka dididik secara dedikasi.
"Kalau guru ada masa dan mahu membantu masyarakat, dengan kebenaran ini bolehlah mereka beri sumbangan tetapi perlu ada keseimbangan dari segi tanggungjawab rasmi dan tidak rasmi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu hanya untuk guru dan bukan penjawat awam lain kerana tempoh mengajar adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 2 petang dan golongan pendidik mempunyai masa jika mahu menyumbang tenaga kepada masyarakat.
"Ini suatu keputusan yang sebenarnya mempunyai kebaikan kerana kalau ikut sejarah, peranan guru dalam masyarakat sejak dahulu dihargai, lebih-lebih lagi dalam masa sekarang, guru perlu menjadi pemimpin dalam masyarakat.
"Mereka mempunyai masa selain mengajar dan di luar waktu itu boleh berbakti kepada masyarakat," katanya.
Menurutnya, terpulang kepada guru untuk menyokong mana-mana parti politik, namun sebagai kakitangan awam beliau berharap mereka membantu serta menyokong program-program yang dijalankan kerajaan.
"Apabila kita sudah benarkan, perkara ini memang sudah diberi pertimbangan. Kita tidak boleh diskriminasi walaupun harapan kita sebagai kerajaan mereka akan sokong kita, namun itu kita tidak boleh sekat," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kebenaran itu bukan diberi secara automatik sebaliknya guru-guru perlu membuat permohonan daripada Ketua Setiausaha Negara untuk apa-apa jawatan yang hendak disandang.
"Diharapkan mereka faham, bantu kerajaan Barisan Nasional (BN), saya fikir syarat terperinci akan diumumkan oleh Kementerian Pelajaran nanti," jelasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment