Thursday, July 29, 2010

Jangan pilih kasih - Pas


KUALA LUMPUR 28 Julai - Pas menyambut baik langkah kerajaan membenarkan guru siswazah bergiat aktif dalam politik tetapi pada masa menggesa supaya tidak berlakunya elemen pilih kasih.
Ketua Penerangannya, Idris Ahmad mengharapkan penjelasan kerajaan mengenai kebenaran berpolitik itu kerana sekiranya unsur pilih kasih diamalkan, maka matlamat sebenar untuk menyuburkan demokrasi akan menjadi sia-sia.
Menurut beliau, pengumuman itu bersesuaian dengan hak kebebasan rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ia tidak boleh hanya membenarkan guru pro-UMNO sahaja menyertai politik.
"Pas mengharapkan tidak ada pilih kasih ketika kebenaran diberi sama ada mereka hendak aktif dalam pembangkang atau kerajaan, kerana kuasa muktamad kebenaran ini terletak kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam blognya, idrisahmad.wordpress.com di bawah entri bertajuk "Guru dibenar berpolitik jangan untuk guru UMNO sahaja".
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan bahawa bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.
Tambah Idris, Pas meminta kerajaan supaya selepas ini jangan menjadikan tindakan guru aktif berpolitik terutama dalam parti pembangkang sebagai alasan utama untuk ditukarkan tempat kerja.
"Kita yakin guru-guru yang sudah terdidik dengan moral yang tinggi tahu tentang tugas mereka walaupun mereka aktif berpolitik. Mereka sudah diasuh supaya amanah dengan kerjaya mereka," katanya.
"Guru-guru ini boleh diambil tindakan bukan kerana terlibat dalam aktiviti Pas atau pembangkang, tetapi bertindaklah kalau guru tersebut mengabaikan tugas seperti ponteng kelas dan tidak menjalankan tugas akademik," katanya.

No comments:

Post a Comment