Thursday, August 26, 2010

Perkauman UMNO

Pertahan khatib doakan Guan Eng pendirian kolot Pas

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mempertahan khatib jemputan, Zakaria Ahmad mengenai doa yang dibacakan dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang merupakan pendirian kolot parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan Pemuda Pas tersebut hanya akan menyebabkan agama Islam terus dipandang mudah dan diperlekeh oleh masyarakat luar.
Katanya, Pemuda Pas tidak sepatutnya menyokong atau mengizinkan perkara yang berbau politik mempengaruhi jemaah di dalam masjid.
"Mereka tidak layak menentukan halal haram doa yang dibacakan Zakaria.
"Sebaik-baiknya biar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan mengenai isu berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mempertahan Zakaria ketika mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri itu.
Menurut Reezal, tindakan Pemuda Pas mempertahankan Zakaria hanya merupakan pendirian yang berunsur politik semata-mata dan bukannya melibatkan hukum agama.
"Jika doa seumpama itu boleh dilakukan, kenapa ahli Pas di Kelantan tidak mendoakan musuh mereka dalam pakatan pembangkang, Karpal Singh, dalam khutbah Jumaat di semua masjid di negeri itu supaya menerima hukum hudud.
"Kita akan dapat tengok bagaimana reaksi rakyat Kelantan selepas perkara itu dilaksanakan," katanya.
Selain itu, katanya, banyak lagi tempat selain masjid boleh dijadikan tempat berdoa jika betul doa yang dibacakan Zakaria semata-mata untuk memohon kepada Allah supaya Guan Eng diberikan hidayah.

No comments:

Post a Comment