Thursday, August 26, 2010

Syarikat saman UMNO gagal rayu keputusan


PUTRAJAYA 25 Ogos - Syarikat pembekal barangan pilihan raya, Elegant Advisory Sdn. Bhd. hari ini gagal memperoleh kebenaran untuk merayu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman RM218 juta terhadap UMNO.
Syarikat tersebut mengemukakan tuntutan undang- undang ke atas UMNO kerana didakwa tidak menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian sebulat suara ketika menolak permohonan Elegant Advisory.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif turut memerintahkan syarikat itu selaku pemohon membayar kos guaman RM2,500 kepada UMNO.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Malanjum menyatakan, permohonan itu tidak dibenarkan kerana pemohon gagal mengemukakan isu-isu perundangan baharu seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau bagaimanapun sempat menasihati Elegant Advisory agar berurusan secara teratur pada masa hadapan seperti menandatangani perjanjian sebelum terlibat dalam sebarang projek.

No comments:

Post a Comment