Thursday, August 26, 2010

Rakyat tak mau hanya UMNO yang mau


BN Sarawak masih perlu khidmat Abdul Taib


2010/08/26

KUALA LUMPUR: Kesediaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengundurkan diri selepas hampir lima dekad aktif dalam politik dan 29 tahun menerajui negeri itu, mendapat reaksi berbelah-bahagi pelbagai pihak. 

Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak setuju beliau berundur ketika ini, manakala penganalisis politik berpendapat sudah tiba masanya berbuat demikian untuk menyerahkan kuasa kepada muka baru.Di KUCHING, Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom, berkata semua parti komponen BN Sarawak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sependapat khidmat beliau masih diperlukan.Beliau berkata, pada retreat BN Sarawak yang diadakan di sini, pada 23 Jun lalu, semua parti komponen sebulat suara mahu Abdul Taib kekal menerajui BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 dan selepas itu. 

Saya percaya kenyataan mengejutkan dibuat Ketua Menteri ekoran ada pihak yang dengki dengan kejayaan beliau membangunkan Sarawak dan mahu beliau berundur, katanya mengulas kenyataan Abdul Taib, kelmarin, beliau sedia melepaskan jawatannya jika khidmatnya tidak lagi diperlukan. 

Naib Presiden PBB, Datuk Daud Abdul Rahman, berkata PBB tetap dengan keputusannya sebelum ini, mahukan Abdul Taib menerajui Sarawak kerana banyak projek pembangunan yang dirancangnya menerusi konsep politik pembangunan dan sudah diluluskan namun belum direalisasikan lagi. 

Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilfred Nissom, pula berkata Abdul Taib masih diperlukan untuk memimpin BN Sarawak dan beliau tidak perlu tunduk kepada desakan segelintir pihak yang mempunyai agenda politik tersendiri. 
PRS menyokong beliau terus memimpin kerajaan negeri dan mengetuai BN Sarawak. Mengapa perlu beliau berundur ketika khidmatnya masih diperlukan? 

Majoriti rakyat tahu prestasi cemerlang beliau selama ini tetapi yang menafikan kejayaan dibawa oleh Ketua Menteri ini hanya golongan kecil, katanya. 

Ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Sylvester Entri Muran, pula berkata Abdul Taib masih diperlukan bagi meneruskan pembangunan serta mengekalkan kestabilan politik negeri. 

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai membawa perubahan sepanjang 29 tahun menjadi Ketua Menteri, membuktikan kemampuan sebenar Abdul Taib sebagai pemimpin ulung dan tiada alasan mengapa beliau harus berundur ketika ini. 

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusoff, berkata kesediaan Abdul Taib untuk berundur adalah suatu keputusan yang tepat dan bijak bagi menjamin BN terus berkuasa di Sarawak. 

Beliau yang juga Ketua program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, keputusan Abdul Taib itu akan dihormati rakyat dan akan menyatukan banyak pihak yang bertelagah di negeri itu. 

No comments:

Post a Comment