Wednesday, September 22, 2010

Azmin dahului pencalonan Timbalan Presiden PKR


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Setelah kira-kira satu pertiga cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara selesai bermesyuarat pada Ahad lalu, Naib Presiden, Azmin Ali terus mendahului pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden.
Beliau memperoleh 36 pencalonan untuk jawatan itu diikuti Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim (19); Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub (10) dan Pengarah Strategik parti itu, Tian Chua (dua).
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat satu pencalonan bagi jawatan itu daripada cabang Masjid Tanah Melaka manakala bekas Timbalan Setiausaha Agung, P.S. Jenapala yang turut menawarkan diri belum menerima sebarang pencalonan.
Mesyuarat 203 cabang yang bermula 17 September lalu akan berakhir pada 3 Oktober ini.
Senarai nama yang dicalonkan bertanding di peringkat pusat itu akan dimuktamadkan dan dipamerkan pada 24 Oktober ini.
Lebih 400,000 ahli akan mengundi secara langsung di peringkat cabang bagi memilih barisan kepimpinan pusat dari 29 Oktober sehingga 21 November ini sebelum diadakan Kongres Kebangsaan PKR 2010 pada 27 November ini.
Mengikut perlembagaan PKR, hanya dua pencalonan diperlukan untuk bertanding mana-mana jawatan dalam parti tersebut.
Penyandang jawatan itu sejak 2003, Senator Dr. Syed Husin Ali tidak mempertahankan jawatan berkenaan dengan alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin lebih muda.
Azmin dikatakan menjadi pilihan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memenangi jawatan berkenaan.
Malah pada 6 September lalu, 20 ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara PKR mengumumkan sokongan penuh mereka terhadap Azmin.
Namun, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang tidak termasuk dalam kumpulan berkenaan pada sidang akhbar di Kuching, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu pula menyatakan sokongan terbuka terhadap Zaid untuk merebut jawatan itu.
Dalam pada itu, Anwar yang telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding sebagai Presiden turut mendapat lima pencalonan bagi jawatan tersebut.
Manakala sebahagian besar cabang yang telah bermesyuarat pula mencalonkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan jawatan Presiden.

No comments:

Post a Comment