Wednesday, September 22, 2010

 Pemilihan PKR cermin komposisi Malaysia

Dzulfikar Mashoor  

PETALING JAYA, 22 Sept: Pemilihan PKR kali ini berjaya mencerminkan representasi sebenar rakyat Malaysia, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
"Kalau nak tengok sebuah parti yang rupa dan wajahnya Malaysia, tengok Parti Keadilan (PKR).
"Kemeriahan pesta demokrasi yang parti sediakan di mana setiap anggota berhak mengundi," ujarnya petang tadi di Ibu Pejabat PKR.
Beliau berkata demikian kerana dari 385 ribu ahli parti yang berdaftar, 60 peratus pengundi Melayu, 23 peratus pengundi India, 12 peratus pengundi Cina dan 15 peratus terdiri oleh kaum-kaum minoriti Sabah dan Sarawak masing-masing berhak menentukan kepemimpinan parti.
Keanggotaan mengikut negeri pula, katanya menyaksikan Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai iaitu sebanyak 108 ribu ahli atau 30 peratus.
Kemudian, diikuti oleh Sabah (66 ribu), Perak (33 ribu), Pulau Pinang (31 ribu), Sarawak (22 ribu) dan Kuala Lumpur (17 ribu) yang masing-masing, menurut beliau sedang mencorak kepemimpinan di peringkat cabang, negeri dan pusat.
"Ianya juga memberi petunjuk kekuatan sebenar parti dari Perlis sampailah ke Sabah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Machang.
Ujarnya lagi, kerusi Presiden PKR yang kini disandang oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bakal menyaksikan dua pencalonan yang layak, iaitu Wan Azizah sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dikenali sebagai Ketua Umum PKR.
Manakala kerusi Timbalan Presiden, katanya menyaksikan empat calon layak bertanding, iaitu Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub dan Tian Chua.
Turut dimaklumkan, seramai 15 individu layak bertanding untuk mengisi empat kerusi Naib Presiden.
Mereka yang layak adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua, Chua Jooi Meng, Fuziah Salleh, Dr. Lee Boon Chye, Dr. Mansor Othman, Azmin Ali, S. Manikavasagam, Sivarasa Rasiah, Zaid Ibrahim, Dr. Xavier Jayakumar, Mustaffa Kamil Ayub, Yahya Shaari, Nurul Izzah Anwar dan Samsul Iskandar Md Akin.
Tambahnya lagi, sebanyak 67 cabang dari 84 cabang menyaksikan pertandingan sempena musim pemilihan kali ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa seramai 74 calon layak bertanding untuk mengisi 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
"Ini calon yang layak bertanding setakat ini, soal mereka mahu bertanding atau tidak, itu soal mereka," tegasnya sambil mengajak rakyat melihat perkembangan semasa pemilihan di sesawang rasmi parti itu, http://keadilanrakyat.org.
Semarakkan demokrasi parti
Demi menyemarakkan demokrasi berparti, beliau berkata, JPP turut membuka peluang seluas-luasnya kepada semua calon menggunakan portal rasmi parti untuk berkempen.
Tidak cukup dengan itu, jawatankuasa bercadang menganjurkan forum dan debat supaya pengundi mengundi berasaskan politik maklumat.
"Kita bincangkan juga sekarang untuk membuka suatu pentas forum dan debat kepada calon-calon untuk memberi ruang kepada calon menzahirkan pandangan.
"Dengan kita buat mengikut zon dari Utara, Tengah sehinggalah Sabah dan Sarawak, memberi peluang kepada semua anggota (pemilih) berinteraksi dan bermaklumat dengan calon-calon ini," ujarnya.
PKR, katanya mahu menjadikan pemilihan kali ini sebagai pelantar ujian untuk bagi menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka tahun depan.
"Pembelajaran ini benar-benar asli kerana parti pelantarkan sistem pemilihan ini seolah-olah mereka (pengundi) menghadapi pilihan raya yang sebenar.
"Ada isi borang calon, isi borang penamaan calon, bayar deposit, pamer borang penamaan calon, tempoh bantahan, bantahan diterima, kertas undi dicetak dengan tertera nama calon, mengundi dan keputusan diumumkan," ujarnya.
Tegasnya, kaedah pemilihan kali ini yang berasaskan maklumat menjadikan parti tersebut benar-benar mengiktiraf kuasa undi ahli.
"Ia suatu proses pembelajaran di mana proses pemilihan (secara) terbuka dan bebas tanpa naungan atau pengaruh daripada mana-mana pihak."
176 aduan, tiada politik wang
Dari makluman rasmi Pengerusi JPP, katanya telahpun menerima 176 aduan sama ada berkaitan calon, proses pemilihan ataupun aduan berkaitan disiplin kepartian.
Namun, katanya aduan-aduan yang diterima langsung tidak menyentuh soal politik wang dan rahsuah yang lazim berlaku dalam pemilihan Umno.
"Yang uniknya ialah tidak ada satu pun aduan berkaitan proses beli undi...satu anggota satu undi yang diamalkan kita adalah jawapan pada amalan politik wang yang melanda Umno," ujarnya.
Turut hadir, Dr, Molly Cheah (Pengerusi JPP), Radin Shamsul Kamar (Setiausaha Pengelola Pemilihan), Sharifah Shahida (Timbalan Setiausaha Agung) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Pengarah Komunikasi).

No comments:

Post a Comment