Wednesday, September 22, 2010

Ubi rebus makanan kegemaran Sosilawati



BATU PAHAT 21 Sept. - Walaupun sudah berstatus jutawan, Datuk Sosilawati Lawiya masih menggemari masakan kampung terutama ubi rebus dan pucuk keladi ditumis dengan cili padi.
Dua juadah itu seolah-olah menjadi hidangan wajib bagi Sosilawati, 47, setiap kali usahawan kosmetik itu pulang ke Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini.
Menurut ibunya, Yatimi Abdul Rahman, 80, jutawan kosmetik itu sering memintanya menghidangkan ubi rebus apabila pulang ke kampung.
"Dia akan membeli ubi kayu dan meminta mak cik merebusnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu adik ipar Sosilawati, Azizah Ahmad, 37, berkata, setiap kali pulang ke kampung, jutawan kosmetik itu sering bertanyakan jika ada pucuk keladi untuk dimasak.
"Itu yang sering ditanya bila dia balik ke sini. Kak Wati suka sangat makan pucuk keladi ditumis cili padi. Masakan dulu-dulu bukan senang hendak dicari," katanya yang tinggal bersebelahan rumah Yatimi.
Menurut Azizah, jutawan kosmetik itu juga suka memasak malah kebiasaannya beliau yang mengemudi ahli keluarga lain untuk memasak menjelang hari raya.
"Dia memang suka memasak. Dia tak bagi saya masak di rumah sendiri, sebaliknya kami semua masak di rumah mak (Yatimi) dengan dia yang jadi ketuanya.
"Sekarang bila dia tak ada kami macam bingung, serba tak kena semasa memasak beramai-ramai," katanya.
Menurutnya, Sosilawati biasanya akan bercuti selama seminggu di Sri Menanti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.

No comments:

Post a Comment