Wednesday, September 22, 2010

SPRM perlu siasat


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pergerakan Puteri UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumbangan RM4 bilion yang diterima oleh Pas daripada sebuah syarikat dua hari lalu.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sumbangan oleh syarikat I'DA World Group Sdn. Bhd. kepada parti politik itu menimbulkan banyak persoalan dan dilihat sebagai tindakan membalas budi kerajaan negeri Kelantan.
Jelasnya, persoalan timbul berikutan syarikat tersebut dikatakan telah menerima projek bernilai RM300 bilion daripada kerajaan negeri Kelantan, sementara sumbangan RM4 bilion itu dibuat secara terangan-terangan atas nama Pas dan bukannya kerajaan negeri.
"Lebih pelik apabila majlis penyerahan sumbangan itu tidak dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan sendiri, sebaliknya hanya menghantar wakil untuk menerima replika cek.
"Perkara itu perlu disiasat dan dijelaskan kerana adalah mustahil sesebuah syarikat mahu menghulurkan sumbangan dalam jumlah yang begitu besar jika tidak mendapat sebarang manfaat daripada perbuatan tersebut.
"Pergerakan Puteri UMNO melihat ada sesuatu yang tidak kena terhadap pemberian sumbangan itu dan mahu SPRM menjalankan siasatan jika terdapat unsur rasuah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tegasnya, SPRM juga perlu bertindak pantas dan tegas dalam menyiasat pemberian sumbangan tersebut yang dibuat secara terang-terangan yang seperti mahu mewajarkan bahawa tindakan tersebut tidak menyalahi undang-undang.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik I'DA World sebagai berkata, sumbangan RM4 bilion itu bertujuan membangun dan menambah baik infrastruktur di sempadan Rantau Panjang, Kelantan.
Pengerusi Eksekutif I'da World, Abdul Rahim Abdul Wahab bagaimanapun menafikan sumbangan itu mempunyai kaitan dengan projek mega Seri Tujuh di Tumpat, Kelantan yang bernilai RM313.71 bilion yang diperoleh oleh syarikat tersebut.

No comments:

Post a Comment