Wednesday, September 22, 2010

PDRM lancar Facebook


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Menyedari kepentingan laman sosial popular Facebook, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan akaunnya sendiri bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara pasukan itu, media dan masyarakat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, langkah itu diambil bagi menggalakkan komunikasi antara PDRM dan masyarakat secara interaktif tanpa mengambil kira perbezaan kaum, status, umur dan jantina.
Katanya, laman sosial Facebook itu merupakan usaha terbaru pasukan tersebut menyampaikan perkhidmatan PDRM dengan menggunakan teknologi.
"Secara tradisinya, masyarakat yang memerlukan perkhidmatan polis akan hadir ke balai polis untuk dapatkan perkhidmatan dan sekarang tidak lagi.
"Maka strategi membawa perkhidmatan polis kepada masyarakat (antaranya Facebook) dilihat satu pendekatan memecahkan dinding halangan dan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap polis," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pusat Media dan Facebook PDRM iaituwww.facebook.com/polisdirajamalaysia oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusof.
Ismail berkata, pusat media yang diwujudkan itu pula adalah bertujuan untuk menyalurkan berita tepat, sahih, benar dan cepat kepada masyarakat.
Katanya, peranan dan tanggungjawab itu bukan sahaja terletak pada media masa tetapi turut digalas PDRM selaku agensi utama dalam penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
"PDRM dan media boleh jalinkan kerjasama bagi menyampaikan berita kepada masyarakat dengan telus dan tidak dibelenggu dengan apa-apa masalah antara kedua-dua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment