Sunday, September 12, 2010

Istana tidak keluar surat


KOTA BHARU - Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan surat bagi menjemput mana-mana pihak menghadiri Majlis Pemasyhuran Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar Khamis lalu. 

Katanya, pihaknya masih belum menerima titah daripada Tengku Muhamad Faris untuk membuat sebarang kenyataan berhubung dengan desas desus majlis itu seperti mana yang laporan akhbar tersebut. 

“Selagi mana tidak dititahkan Pemangku Raja untuk mengulas isu ini, saya tidak boleh komen, cuma bagi peringkat ini saya tidak boleh mengesahkan betul atau menidakkan (majlis pemasyhuran) itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang mengatakan Tengku Muhammad Faris dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu. 

Laporan itu menyatakan, Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada jam 11.30 pagi. 

Sumber menyatakan pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik. 

Bagi tujuan tersebut, Abdul Halim menasihatkan agar pihak media menggunakan saluran rasmi sebagai sumber rujukan untuk membuat laporan berkaitan Istana Kelantan. 

“Kalau media nak buat kenyataan harus guna kenyataan rasmi dan kenyataan rasmi,” katanya yang enggan mengulas lanjut isu yang kini menjadi perhatian rakyat Kelantan tersebut. 

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias ketika ditanya hal tersebut enggan mengulas, namun menyatakan akan membuat kenyataan dalam masa terdekat. 

Bernama pula melaporkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau hanya menerima surat daripada Istana untuk menghadiri majlis hari raya. 

Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009. 

Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.

No comments:

Post a Comment