Sunday, September 12, 2010

Tunai janji raya dengan anak

KUALA KRAI: Selepas hampir setahun menghilangkan diri, pasangan suami isteri, Kasmaliza Kassim, 29, dan Mahadi Che Mansor, 31, menunaikan janji mereka untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama anak mereka di Kampung Tengah, di sini.
Kasmaliza dan Mahadi bagaimanapun bertekad untuk membawa semua anak secara berperingkat ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri bagi memulakan kehidupan baru mereka sebagai sebuah keluarga besar.
“Saya dan suami merancang membawa lapan anak kami yang ditinggalkan di Kuala Krai hidup bersama di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, semuanya masih dalam peringkat perbincangan bersama Pudin (Mahadi).

“Ini kerana kami masih menumpang di rumah seorang rakan yang juga rakan kongsi Pudin. Insya-Allah, kami berharap dapat menempuh kehidupan baru bersama anak,” kata Kasmaliza ketika ditemui di rumah ayahnya, Kassim Mat Diah, 55, di sini, kelmarin.

Menurutnya, memandangkan empat lagi anaknya masih bersekolah, mereka menangguhkan untuk membawa anak ke Kuala Lumpur sehingga tempoh persekolahan selesai dua bulan lagi, manakala Nia Khalisa, 2, dan Nurul Hidayah, 13, dijaga oleh penjaga masing-masing di Kota Bharu dan Jempol, Negeri Sembilan.

Kasmaliza dan suami berharap permohonan bantuan bagi mendapatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu diluluskan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Jika permohonan mendapatkan rumah PPRT itu berjaya, saya akan menetap di sini dan suami akan terus bekerja di Kuala Lumpur.

“Dengan cara itu saya berharap keluarga ini bersatu kembali seperti dulu, selain mengimpikan untuk membina sebuah keluarga bahagia,” katanya.

Kasmaliza berkata, dia pulang bersama suami dan empat anaknya pada Selasa lalu dengan menaiki kereta seorang rakannya yang bermurah hati meminjamkan kenderaan terbabit.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Nurul Hidayah berkata, dia terlalu gembira mendapat seorang adik baru walaupun terpisah hampir setahun dengan ibu bapanya.

No comments:

Post a Comment