Sunday, September 12, 2010

Rumah ibu Wati suram



BATU PAHAT – Suasana rumah ibu jutawan terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya, di Seri Menanti, Seri Medan, di sini, cukup berbeza berbanding tahun sebelumnya yang memang begitu meriah, dengan keceriaan terpancar di wajah ahli keluarga, terutama ibunya. 

Tahun ini, tanpa kehadiran usahawan kosmetik itu, yang lebih mesra dengan panggilan Wati, membuat persiapan menyambut Aidilfitri dalam kalangan keluarganya di kampung menjadi sangat sederhana. 

Ini kerana kemeriahan Aidilfitri dalam kalangan keluarga tercetus dari kehadiran Wati dan keceriaan yang ada padanya. 

Abangnya, Maskor Lawiya, 55, berkata, dia memang rindukan Wati kerana beliaulah penyeri suasana perayaan. Beliau juga mesra dengan kanak-kanak yang mengunjungi rumah ibunya. 

Menurutnya, keadaan pada tahun ini agak suram. Mereka terasa sunyi dan hiba tanpa Wati bersama mereka pada raya kali ini. 

“Kami sekeluarga masih lagi mengharapkan agar Wati dapat pulang di bulan Syawal ini untuk bersama kami. 

“Biasanya setiap Syawal, sejak beberapa tahun lalu, rumah terbuka di rumah ibu diuruskan oleh Wati bersama ahli-ahli keluarga. 

"Sanak saudara dan kenalan dari jauh dan dekat tidak putus putus datang,” katanya. 

Adik ipar Sosilawati, Muslimah Shawan, 28, berkata, kakak iparnya memang seorang yang baik hati dan sejak 1997, layanan terhadapnya sama seperti adik sendiri. 

Menurutnya, Wati tidak pernah membeza-bezakan adik beradiknya dan kenangan yang paling diingatinya ialah pada malam menjelang Syawal, dia dan kakak iparnya itu sibuk mengisi duit raya dalam sampul untuk tetamu yang hadir.: 

“Perkara yang paling saya terharu sangat ialah akak Wati telah pun menempah tujuh kilogram dodol untuk persiapan rumah terbuka di sini yang sepatutnya diadakan hari ini (semalam),” katanya. 

Manakala, ibunya Yatmi Abdul Rahman, 70, ketika ditemui wartawan :Sinar Harian: di kediamannya, tidak banyak berkata-kata dan banyak termenung mengenang nasib anaknya. 

“Saya percaya Wati masih hidup dan berharap dia pulang seperti tahun lalu. 

“Buat masa ini saya anggap Wati masih berada di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke kampung kerana sibuk bekerja,” katanya. 



Pernah diugut suami bekas pekerja 

Sosilawati dikatakan pernah diugut beberapa bulan lalu kerana memberhentikan salah seorang pekerjanya di Kuala Lumpur. 

Muslimah, yang menceritakan perkara itu semalam berkata hanya beberapa ahli keluarga yang mengetahuinya. 

Mereka tidak memberitahu ibu beliau kerana khuatir memudaratkan kesihatannya. 

Menurut Muslimah, setelah memberhentikan pekerja berkenaan, suami pekerja tersebut telah berjumpa dengan kakak iparnya dan mengugutnya dengan mengacukan pisau. 

Katanya, pada mulanya dia tidak memikirkan langsung ugutan itu berkaitan dengan kes ini, tetapi setelah difikirkan kembali ia mungkin boleh dijadikan satu andaian. 

“Bagaimanapun, kami sekeluarga telah menyerah�kan kepada polis untuk tindakan selanjut dan mengharapkan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya. 



Keluarga bekas suami sentiasa ambil berat 

Misteri kehilangan Sosilawati masih menjadi tanda tanya dan pelbagai pihak mengharapkan kes ini dapat diselesaikan dengan segera. Mereka yang turut berdoa untuk keselamatan beliau termasuklah keluarga bekas suaminya, Nasharuddin Elias. 

Ibu Sosilawati, Yatmi Abdul Rahman berkata, walaupun telah bercerai dengan bekas suaminya yang juga artis terkenal, Nash, hubungan mereka tidak pernah terputus. 

Menurutnya, Nash sering menghubungi keluarga dan bertanya khabar Wati dan dia seorang yang cukup baik, tetapi mungkin jodoh mereka tidak panjang. 

“Dia ada juga menghubungi kami sekeluarga dan bertanyakan khabar kami semua,” katanya. 

Sementara itu, Muslimah memberitahu, kedua-dua bekas suaminya yang terdahulu adalah individu yang baik kepada mereka sekeluarga dan mengambil berat terhadap mereka. 

Menurutnya, keluarga bekas suami keduanya ada datang ke rumah ibu di Seri Menanti untuk mengetahui keadaan sebenar misteri kehilangan kakak Wati. 

“Perkara berkenaan menunjukkan mereka masih lagi mengambil berat terhadap akak walaupun sudah tiada apa-apa lagi hubungan keluarga. 

“Begitu juga dengan bekas suaminya yang pertama sering kali menghubungi kami bertanya khabar, terutama anak-anaknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment