Sunday, September 12, 2010

Pemasyhuran sultan jadi tanda tanya


TUANKU Ismail Petra yang masih berkerusi roda bersama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid menerima kunjungan rakyat jelata pada majlis rumah terbuka di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 11 Sept. – Majlis pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang dipercayai akan diadakan Isnin ini masih menimbulkan tanda tanya.
Ini ekoran Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad enggan mengesahkan atau menafikan wujudnya istiadat tersebut pada hari berkenaan.
Pada masa yang sama beliau menjelaskan, istana Kelantan belum mengeluarkan sebarang surat berhubung perkara tersebut.
‘‘Pihak istana setakat ini tidak mengeluarkan apa-apa surat jemputan untuk memanggil mana-mana pihak ke Istana Balai Besar.
‘‘Saya juga tidak boleh mengesahkan laporan majlis pemasyhuran itu benar atau tidak kerana setakat ini memang tidak ada surat yang dikeluarkan untuk tujuan tersebut,” katanya,
Bagaimanapun Mingguan Malaysia dimaklumkan, program khas yang bakal diadakan di Istana Balai Besar pada pukul 11.30 pagi Isnin itu diteruskan.
Sumber berkata, jemputan rasmi hanya akan dikeluarkan kepada media pada pagi Isnin termasuk penjelasan secara terperinci mengenainya
‘‘Sehingga kini program khas tersebut masih menjadi rahsia sehinggalah ia berlangsung,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.
Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.
Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009.
Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.
Bagaimanapun, konflik istana mula kelihatan apabila Tuanku Ismail Petra diberitakan oleh doktor pakar peribadi baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli, semakin sihat selepas pulang daripada menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura Julai lalu malah mampu menunaikan solat sunat tarawih.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, beliau juga tidak menerima apa-apa arahan daripada Pemangku Raja mengenai majlis pemasyhuran tersebut.
‘‘Setakat ini saya tidak dititahkan oleh Pemangku Raja untuk mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut dan selagi tidak dititahkan, saya tidak boleh beritahu media apa-apa komen mengenainya,” katanya.
Sementara itu sumber mendakwa, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar akan diadakan pada sebelah pagi dan diikuti dengan majlis pemasyhuran Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan pada sebelah petangnya.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

No comments:

Post a Comment