Sunday, September 12, 2010

Masih awal nyatakan sokongan individu bertanding



SHAH ALAM – Biar pun sudah ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan sokongan kepada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Azmin Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, namun ada yang berpendapat masih awal untuk membuat keputusan. 

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa ketika dihubungi berkata, setakat ni beliau tidak pernah menyatakan sokongan kepada Azmin mahupun seorang lagi calon yang ingin bertanding iaitu Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim. 

“Saya akan menunggu pengumuman dulu dan melihat individu yang menawarkan diri untuk bertanding sebelum membuat sebarang keputusan. 

“Azmin sendiri pun belum mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding atau tidak, maka masih terlalu awal untuk saya menyatakan sokongan kepada beliau mahupun Zaid,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau mengatakan kedua-dua individu yang disebut-sebut akan bertanding itu sebagai layak untuk memegang jawatan nombor dua parti. 

“Azmin dan Zaid masing-masing berkaliber dan jika ada Ahli Parlimen yang mengumumkan sokongan awal terhadap Azmin itu adalah hak mereka untuk menyuarakan pendapat,” katanya. 

Sementara itu, ADUN Rawang, Gan Pei Nei berkata, beliau langsung tidak mengetahui namanya tersenarai dalam kumpulan Ahli Parlimen yang menyokong Azmin seperti diumumkan dalam sidang media baru-baru ini. 

“Pada saya, masih awal untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak kerana calon yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pun belum lagi diketahui. 

“Saya hanya akan menyatakan sokongan selepas pengumuman calon bertanding sudah dibuat dan ia bergantung juga kepada calon mana yang mampu mengemukakan manifesto yang lebih bagus,” katanya. 

Menurutnya, setiap undi adalah penilaian ahli-ahli terhadap calon yang bertanding. 

“Kedua-dua mereka iaitu Azmin dan Zaid mempunyai kelebihan dan pengalaman dalam bidang politik yang boleh membawa kepada kemajuan parti. 

“Namun, apa yang lebih penting ialah setiap calon perlu meletakkan perjuangan parti dan rakyat di hadapan dan seterusnya tertakluk kepada ahli untuk membuat penilaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment