Sunday, October 3, 2010

Kos haji dijangka naik



GUAR CEMPEDAK – Kenaikan kos mengerjakan haji dijangka akan berlaku pada musim hadapan, jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Menurutnya, sekiranya kos yang ditetapkan ketika ini dikekalkan, subsidi sebanyak RM3060 perlu diberikan kepada setiap jemaah haji yang berangkat ke Tanah Suci. 

“Ada kemungkinan (kos mengerjakan haji) akan naik, kita sedang pertimbangkan kemungkinan itu, bagaimanapun kita belum membuat perkiraan berapa peratus yang wajar kita naikkan. 

“Saya jangka selepas pasukan kita sampai ke Mekah, kajian itu akan dapat dilihat dengan lebih jelas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri, di Dewan Serbaguna, di sini, semalam. 

Pada majlis yang sama, Jamil Khir turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada kira-kira 300 penerima, termasuk 10 pelajar cemerlang Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Jerai. 

Beliau berkata, banyak kos yang perlu diambil kira termasuklah harga sebenar untuk setiap bilik hotel memandangkan pihak pengurusan perlu mencari hotel-hotel baru sebagai penginapan jemaah haji kerana hotel-hotel di sekitar kawasan Masjidil Haram, yang sudah ditempah untuk tempoh lima hingga 10 tahun, telah diruntuhkan. 

“Pengurusan Tabung Haji membuat kajian dari semua sudut, berkaitan pengangkutan, penginapan hotel serta pengangkutan di antara Jeddah, Mekah ke Madinah, daripada Madinah balik ke Mekah, pergi ke Arafah, kemudian ke Muzdalifah dan Mina, melontar pada hari-hari Tasyrik, dan bertolak balik. 

“Oleh kerana bangunan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram sudah diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan ‘Courtyard’ atau kawasan baru bagi Masjidil Haram, yang boleh menampung lebih 3 juta jemaah, kos juga dijangka akan meningkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment