Sunday, October 3, 2010

Van undur ragut nyawa



SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun terbunuh selepas dilanggar sebuah van sekolah yang berundur di Taman Thivy Jaya, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.05 petang itu, mangsa, N Thavanesh Nair ketika itu mahu pulang ke rumahnya di taman berkenaan selepas selesai menamatkan sesi pembelajaran di sebuah tadika berhampiran.

Jurucakap polis berkata, sejurus berhenti di kawasan agak berbukit, mangsa dikatakan keluar bersendirian dan berjalan kaki di belakang van terbabit untuk menuju ke rumahnya.

“Bagaimanapun, van yang dipandu wanita berumur 39 tahun itu tiba-tiba berundur ke belakang dan terus melanggar mangsa. 

“Rempuhan agak kuat itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

"Pemandu wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu dengan cuai.

“Siasatan awal mendapati, wujud unsur kecuaian dalam kejadian ini sehingga menyebabkan kematian mangsa," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, polis masih giat menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan sama ada berlaku kerosakan pada van terbabit atau sebaliknya.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarganya di bilik mayat HTJS, jam 6.30 petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment