Tuesday, March 22, 2011

Barat terus mengganas



TRIPOLI - Kerakusan tentera bersekutu Barat untuk memusnahkan rejim pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dapat disaksikan apabila sebuah bangunan tiga tingkat di pusat tentera yang kerap digunakan Gaddafi musnah dalam serangan udara yang dilancarkan ke atas negara Arab itu, malam kelmarin.

Serangan itu adalah yang pertama dilancarkan ke atas Bab al-Azizia, iaitu kemudahan di Tripoli yang digunakan Gaddafi untuk menyampaikan ucapan bagi siaran televisyen sebelum ini.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai serangan ke atas negara pengeluar minyak itu mendakwa kononnya Gaddafi tidak menjadi sasaran tentera bersekutu.

Pentagon turut mengumumkan dua hari pertama misi itu dianggap berjaya kerana dapat melumpuhkan keupayaan rejim Gaddafi untuk menyerang balas penunjuk perasaan antikerajaan.

"Kami tidak mensasarkan Gaddafi. Mungkin beliau akan berada di sesuatu kawasan tanpa kami ketahui semasa serangan berlaku tetapi yang pasti kami tidak menyasarkan kediaman pemimpin itu," menurut jurucakap Pentagon.

Menurut AS, sebab utama campur tangan tentera bersekutu di Libya adalah bagi mewujudkan zon larangan terbang sejurus diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Khamis lalu.

Tentera bersekutu yang terdiri daripada Perancis, Britain dan AS dan beberapa negara lain mula menyerang aset ketenteraan Libya, Sabtu lalu, untuk melaksana usul yang didakwa bagi melindungi penduduk awam Libya.

AS melancarkan 124 peluru berpandu di seluruh Libya sejak Sabtu lalu dan tidak menolak lebih banyak serangan akan dilancarkan.
sh

No comments:

Post a Comment