Tuesday, March 22, 2011

Situasi masih samar



TOKYO - Usaha mengawal reaktor di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi kuat dilaporkan menunjukkan perkembangan baik tetapi situasi sebenar masih tidak jelas.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang memantau perkembangan di loji Fukushima Daiichi itu mengesahkan keadaan masih serius.

Selain itu, sebahagian pekerja yang bertungkus lumus mengawal keadaan di loji itu dikeluarkan dari kawasan bangunan tersebut selepas asap dilihat terbentuk di reaktor No.3, semalam.

Pengendali loji Fukushima Daiichi, Tokyo Electrik Power (Tepco) mengumumkan memerlukan beberapa hari untuk menyambung semula kuasa bagi sistem penyejukan di reaktor No.3 dan No.4, iaitu yang paling teruk terjejas antara enam reaktor di kompleks itu.

Sementara itu, IAEA mengumumkan tahap radiasi di beberapa bandar besar Jepun tidak berubah dan kekal berada di bawah tahap berbahaya.

Terdahulu, kerajaan Jepun memberi amaran mengenai produk makanan di negara itu apabila ujian ke atas sayur bayam dan susu dari kawasan yang terletak kira-kira 120 kilometer dari loji itu turut menunjukkan kehadiran bahan radioaktif yang melebihi tahap berbahaya kepada kesihatan.

Bahan radioaktif turut ditemui dalam air paip di Tokyo dan beberapa kawasan lain yang terletak jauh dari loji nuklear tersebut.
sh

No comments:

Post a Comment