Tuesday, March 22, 2011

Blogger setuju tidak terbit semula artikel memfitnah menteri



KUALA LUMPUR 21 Mac - Blogger Amizudin Ahmat hari ini bersetuju untuk tidak menerbitkan semula artikel bertajuk 'Hei Pak Menteri... mana mau lari...' di blognya yang didakwa memfitnah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Persetujuan itu direkodkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datin Zabariah Mohd. Yusof ketika permohonan injunksi inter-parte (antara pihak) itu didengar di kamar beliau hari ini.
Ia diperoleh berdasarkan persetujuan bersama antara Amizudin yang diwakili peguam Gan Chee Wei dengan peguam Badrul Munir Bukhari bagi pihak Rais sehingga selesai pelupusan kes saman tersebut terhadapnya.
Pada 2 Februari lalu, Rais memperoleh injunksi sementara yang menghalang Amizudin, 42, atau ejennya daripada terus menyiarkan artikel berbaur fitnah itu sehingga permohonan injunksi inter-parte didengar.
Rais, 69, selaku plaintif memfailkan writ saman dan injunksi tersebut pada 31 Januari lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, Rais menyatakan, pada 28 Disember tahun lalu, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan penerbitan artikel tersebut.
Beliau mendakwa, artikel tersebut mengandungi perkataan palsu dan fitnah, ditulis dengan niat jahat berserta gambar plaintif dimuatkan di http://sharpshooterblogger.blogspot.com.
Hakim Zabariah menetapkan 6 April ini bagi pengurusan kes saman tersebut.

utusan

No comments:

Post a Comment