Friday, March 4, 2011

Hampir RM1.6 juta dikutip

SH


KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mengutip RM1,545,330 nilai saman yang dibayar orang ramai dalam tempoh tiga hari bermula 28 Februari hingga 2 Mac lalu.

:Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kutipan itu adalah jumlah saman trafik daripada 10 jajahan di Kelantan yang turut melibatkan kutipan melalui kaunter-kaunter Pejabat Pos.

“Selepas diumumkan tarikh tutup pada penghujung bulan lalu, hampir semua

kaunter bayaran saman trafik masih diserbu orang ramai dan yang senarionya hampir sama dua hari sebelum tempoh akhirnya tamat pada 28 Februari lalu.

“Masing-masing mahu menjelaskan bayaran saman dengan kadar segera sebelum tempoh bayaran yang mempunyai diskaun ditamatkan pada 28 Februari dan dilanjutkan semula sehingga 10 Mac ini,” katanya selepas meninjau kaunter bayaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa, semalam.

Azli berkata, sepanjang bulan Februari lalu, Ibu IPD Kota Bharu mengutip sebanyak RM1,114,112 bayaran saman iaitu jumlah yang sekali ganda daripada bulan sebelumnya (Januari) iaitu sebanyak RM752,680.

“Kenaikan jumlah kutipan ini meningkat ke 50 peratus berbanding tahun sebelumnya dan ini merupakan satu petanda yang baik di mana orang ramai mula mempunyai kesedaran untuk membayar saman bagi mengelakkan di senarai hitam atas kesalahan trafik yang dilakukan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini status kenderaan mereka jika menerima saman supaya pembayarannya dapat dirancang kerana ia mempunyai kaitan dengan jabatan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Semakan perlu dilakukan bagi memudahkan urusan untuk melakukan pembaharuan cukai jalan dan lesen dan tidak menimbulkan masalah di kemudian hari jika tidak dapat membawa kenderaan mereka akibat disenarai hitam.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak lagi melengah-lengahkan masa untuk membayar saman di saat-saat akhir bagi mengelak pelbagai kesulitan terutamanya kesesakan di kaunter pembayaran.

Dalam pada itu, tempoh lanjutan 10 hari untuk membayar saman seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin digunakan sepenuhnya warga Kota Bharu untuk melangsaikan saman tertunggak.

Tinjauan Sinar Harian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan beberapa pejabat pos sekitar bandar di sini hari ini mendapati, kaunter masih sesak dengan orang ramai sehingga ada yang menunggu di luar bangunan dan sesetengah pula mendapat nombor giliran mencecah angka 2,000 sebelum jam 1petang.

No comments:

Post a Comment