Friday, March 4, 2011

Puluhan ribu pelarian yang takut dan lapar banjiri sempadan



LARI DARIPADA KEKACAUAN: Warga Mesir yang melarikan diri daripada kekacauan di Libya sedang beratur untuk menaiki kapal tentera laut Mesir di Zarzis, yang terletak di bahagian timur Tunisia. Kapal tersebut akan membawa mereka pulang ke tanah air. -- Foto REUTERS

GENEVA: Sempadan-sempadan di Libya telah dibanjiri puluhan ribu pelarian yang kelaparan dan ketakutan.
Mesir dan beberapa negara Eropah telah mengambil langkah membawa keluar pelarian melalui pengangkutan udara selain menghantar kapal-kapal bagi menangani penghijrahan raksasa yang kelam-kabut itu.Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Melissa Fleming, memberitahu AP bahawa lebih 180,000 pelarian telah tiba di sempadan Libya.Lebih 77,300 orang telah menyeberang dari Libya ke Mesir di bahagian timur, kebanyakan mereka warga Mesir, sedang jumlah yang sama pula telah menyeberang ke Tunisia di bahagian barat, kata beliau.Lagi 30,000 masih di Libya, menanti untuk ke Tunisia.Cik Fleming berkata pasukan Encik Muammar Gaddafi kelihatan menjadikan warga Mesir dan Tunisia sasaran mereka kerana mungkin menganggap warga kedua-dua negara itu penyebab utama pemberontakan di Libya.Beberapa pekerja Somalia dan Habsyah di sekitar Benghazi, bandar kedua terbesar Libya yang dikuasai pembangkang, kini terasa 'dalam buruan' kerana disangkakan askar upahan Encik Gaddafi, tambah beliau.Oleh kerana kebanyakan pelarian itu lelaki muda, pakar PBB memberi amaran mereka perlu segera dibantu bagi mengelakkan rusuhan.Cik Angelina Jolie, seorang pelakon yang juga duta muhibah PBB bagi pelarian, kelmarin menyeru semua negara agar memberikan para pelarian itu perjalanan selamat dan memastikan mereka diberi suaka.Duta Amerika Syarikat di Geneva, Cik Betty King, berkata Amerika akan memberikan AS$12 juta ($15.3 juta) bagi membantu memindahkan para pelarian itu.Penyelaras bantuan darurat PBB, Cik Valerie Amos, mengumumkan di New York bahawa beliau telah memperuntukkan AS$5 juta daripada dana tindakan kecemasan PBB.Perdana Menteri David Cameron bagi Britain berkata negaranya telah memulakan satu pengangkatan udara kelmarin bagi membawa pulang warga Mesir yang terkandas.Tentera Mesir juga telah menghantar dua kapal ke Tunisia bagi membantu warga mereka di sana.Perdana Menteri Sepanyol, Encik Jose Luis Zapatero, yang melawat Tunisia kelmarin, berkata negaranya telah menghantar 30 tan bantuan.Muktamar Islam (OIC), yang merangkumi 57 negara Islam, berkata ia akan menyediakan dua hospital lapangan dan ambulans.Ia juga akan menyediakan tempat perlindungan bagi 10,000 orang selain makanan.Pengarah Program Makanan Sedunia PBB, Cik Josette Sheeran, yang baru melawat sempadan Libya dengan Tunisia, berkata:'Jelas bagi saya, apabila melihat lautan manusia menyeberangi sempadan pada kadar 2,000 orang sejam, ia menunjukkan bahawa dunia mesti segera bertindak bagi menghalang bencana kemanusiaan.' - AP.Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment